LAWATAN MUHIBBAH DARUL HADITH, MASJID ASSYAFAAH, SINGAPURA KE INHAD


(23 Julai 2009, Khamis, Dewan Senat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)) –  Lawatan yang diketuai oleh Ustaz Haji Mohd Ali b. Haji Atan itu tiba dari Singapura pada jam 11.30 pagi dengan menaiki bas yang membawa seramai 20 orang delegasi. Pertemuan buat pertama kalinya antara Darul Hadith dan INHAD itu disambut dengan penuh mesra oleh Ustaz Hj Mohd Farid Ravi b. Abdullah selaku Pengarah INHAD. Delegasi ini turut disambut oleh Timbalan Rektor (Pembangunan Korporat & Pembangunan) Tuan Hj Mohd Shah b. Abdullah. Sesi taaruf dimulakan dengan kata-kata aluan dari Tuan Hj Mohd Shah mewakili Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) mengalu-alukan kedatangan Darul Hadith ke INHAD diikuti dengan ucapan aluan beserta pengenalan tentang latar belakang INHAD oleh Pengarah, Ustaz Hj Mohd Farid Ravi. Majlis kemudiannya bertukar tangan dengan pengenalan Darul Hadith, Masjid Assyafaah oleh Ustaz Haji Mohd Ali merangkap Pengerusi Eksekutif Masjid Assyafaah. Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi ruang dan peluang kepada kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat dan pandangan dalam mengurus dan mengembangkan institusi masing-masing. Pihak Darul Hadith menyuarakan cadangan ingin mengadakan program kerjasama dengan INHAD pada masa akan datang. Apa yang diharapkan dari pihak INHAD terhadap lawatan Muhibbah seperti ini ialah ianya dapat dijadikan satu platform untuk merealisasikan “Model Kerjasama” INHAD dengan institusi-institusi Hadis lain di dunia sebagai salah satu wadah menyatukan organisasi-organisasi seumpama ini di bawah satu payung agar dapat bersatu melakukan anjakan paradigma terhadap status Hadis di mata umat Islam sedunia khasnya dan seluruh umat manusia amnya. Apa yang lebih utama ialah kesedaran dan keterbukaan kesatuan ini untuk berkongsi manfaat yang terkandung di dalam khazanah Hadis untuk kelangsungan hidup yang sejahtera bukan sahaja kepada umat Islam bahkan meluaskannya kepada seluruh manusia kerana Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Kedua-dua organisasi juga berpeluang bertukar-tukar cenderahati dan mengadakan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan. Kemudian majlis diakhiri dengan majlis makan tengahari beramai-ramai sambil beramah-mesra sebelum delegasi dibawa melawat pejabat INHAD di bangunan Fakulti Kejururawatan dan Kesihatan Sekutu. Semoga hubungan silaturrahim yang terjalin ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T. dalam memperjuang dan mempertahankan Sunnah Rasulullah s.a.w. Insya Allah. Amin…