LATAR BELAKANG

Institut Kajian Hadis dan Akidah (dahulu dikenali sebagai Institut Kajian Hadis Selangor) ditubuhkan secara rasminya pada 26 Mac 2006 melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Pada 4 Julai, 2007 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang ke-21 telah meluluskan syor penubuhan Institut Kajian Hadis Selangor dan dikenali dengan nama singkatan INHAD.

Pada 23 Mei 2018 Mesyuarat Pengurusan KUIS bil 4/2018 meluluskan nama INHAD kepada Institut Kajian Hadis dan Akidah yang menggabungkan pentadbiran INHAD dengan ASDEC (Akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah and Da`wah Development Center). Ini bertujuan mengukuhkan lagi struktur dan memudahkan sebarang urusan selepas ini selain menjadikan operasi INHAD lebih meluas, di mana hadis dan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah berkait rapat antara satu sama lain.

Matlamat utama penubuhan Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD) adalah untuk menjadi pakar rujuk dalam bidang kajian hadis dan akidah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selari dengan itu, INHAD berusaha mewujudkan program pasca siswazah, mengadakan kolaborasi dan jaringan bersama industri, mengkomesialkan hasil penyelidikan serta menyumbang manfaat kepada masyarakat dan negara.

Dari aspek struktur pentadbiran organisasi, INHAD bernaung di bawah struktur akademi KUIS, di mana Rektor dan Timbalan Rektor Akademik dan Penyelidikan menjadi penasihat organisasi. INHAD mempunyai seorang pengarah, dua (2) orang ketua unit, tiga (3) orang koordinator, seorang pegawai felo penyelidik kanan, seorang pembantu tadbir, dua (2) orang Felo Perunding Utama dan 14 orang felo penyelidik.

Sepanjang 12 tahun penubuhan, Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD)  telah memperoleh pencapaian berikut:

  • Memperoleh 21 geran penyelidikan dengan jumlah RM524,428.00

Fokus penyelidikan INHAD berkaitan bidang hadis dan akidah. INHAD telah menjalankan 21 penyelidikan semenjak tahun 2014 sehingga tahun 2019 dengan geran penyelidikan sebanyak RM524,428.00 dan 4 orang pembantu penyelidik bergraduat.  Sebahagian kajian ini telah didaftarkan dengan MyIPO sebagai langkah pengkormesialan pada masa akan datang.

  • Menandatangani MoA Penyelidikan bersama Universiti Luar Negara

Pada 28 Ogos 2019, INHAD telah menandatangani MoA Penyelidikan bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Negara Brunei Darussalam dengan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi setiap universiti. Tajuk  penyelidikan ialah Kajian Living Hadis Dalam Masyarakat Malaysia dan Brunei Darussalam.

  • Penghasilan aplikasi mobile e-gadis, Pingat Perak dalam pertandingan PECIPTA 2019 dan Pingat Emas dalam IRMIC 2019

INHAD juga telah menghasilkan aplikasi mobile e-gadis yang boleh diupload melalui google playstore. Aplikasi yang dibangunkan untuk membantu pegawai pendidikan dan perubatan mengenal pasti gangguan seksual dalam kalangan remaja perempuan dan kanak-kanak. Aplikasi ini telah memenangi Pingat Perak dalam pertandingan PECIPTA 2019 yang diadakan di UTHM dan Pingat Emas dalam 6th International Research Management & Innovation Conference (IRMIC)

  • Menerbitkan 40 jenama buku dan 17 siri Jurnal Hadis

INHAD telah menerbitkan lebih daripada 40 buah buku berkaitan hadis dan akidah yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Malaysia. INHAD juga mengadakan kerjasama penerbitan bersama Darul Syakir Malaysia dan Darul Syamam Turki dalam usaha melebarluaskan ilmu pengetahuan berkaitan hadis dan akidah. Selain itu, INHAD juga menerbitkan sebanyak 17 siri Jurnal Hadis secara dwi tahunan semenjak tahun 2011. Bermula tahun 2016 penerbitan Jurnal Hadis dilakukan secara bentuk online.

  • Menganjurkan Inhad International Muzakarah and Muktamar On Hadith (IMAM) setiap tahun

 Bagi pembangunan akademi dan intelektual, INHAD telah menganjurkan Inhad International Muzakarah and Muktamar On Hadith (IMAM) pada setiap tahun semenjak tahun 2016. Seminar ini menerima kadatangan hampir 50 orang pembentang daripada luar negara seperti Indonesia, Saudi Arabia, Algeria, Iraq, Mesir, Sudan dan lain-lain negara teluk dengan keuntungan.

  • Menganjurkan program pembangunan komuniti setiap bulan dan Bicara Murabbi Ust Abdul Somad Lc MA

INHAD juga menjadi jambatan kepada komuniti masyarakat melalui penganjuran program seperti bengkel takhrij hadis, program pemantapan akidah, bicara sarjana Hadis, daurah pengajian kitab-kitab hadis. INHAD juga menganjurkan Seminar Liberalisme dengan kehadiran peserta seramai 700 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada luar KUIS.  Kemuncak program yang dianjurkan INHAD adalah Program Bicara Murabbi oleh Ustaz Abdul Somad Lc. MA pada 13 Februari 2019 dengan kehadiran pengunjung  melebihi 10,000 orang dengan sumbangan sebanyak RM35000 daripada orang ramai.

  • Membina jaringan industri, akademik dan penerbitan

INHAD membina jaringan akademik  bersama Universiti Islam Sultan Syarif Ali, Brunei (UNISSA), Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Institut Islam Hadhari, (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (USIM) dan Institut Kajian Dakwah Nusantara (KUIM). Begitu juga dengan  Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). INHAD juga menjalin hubungan dengan Darul Sunnah dan Darul Hadith Jakarta, Darul Hadith JAKIM, Darul Syakir, Malaysia dan Darul Syamam, Turki.

  • Perancangan INHAD 5 tahun akan datang

Perancangan INHAD untuk lima (5) tahun akan datang ialah untuk menjadi pakar rujuk dalam bidang hadis dan akidah melalui pelaksanaan program pasca siswazah dan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan negara. INHAD juga dalam perancangan mewujudkan KURSI bagi meluaskan lagi propek penyelidikan agar seiring dengan tuntutan semasa dan Revolusi Industri 4.0.

 

 

 


Hakcipta Institut Kajian Hadis (INHAD) 2015©. Hakcipta Terpelihara.

Segala isi kandungan di dalam laman web ini adalah hak milik INHAD dan pemberi maklumatnya. Apa-apa bentuk penggunaan pihak lain termasuklah peniruan, pengubahsuaian, pengedaran dan penyiaran tanpa kebenaran pihak INHAD adalah salah di sisi undang-undang cyber.

PENAFIAN: INHAD tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada laman ini.