Penentuan Permulaan Takwim Hijrah

PEJAM celik, pejam celik, kita sudah pun memasuki 1444 Hijrah. Tahukah kita bagaimana bermulanya penentuan tarikh tahun Hijrah itu? Permulaan tarikh Islam yang menjadikan peristiwa hijrah Nabi SAW sebagai titik paling bersejarah sebenarnya diputuskan sejak zaman sahabat RA. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: “Tidaklah para sahabat menghitung tarikh bermula daripada masa kebangkitan Nabi SAW mahupun daripada masa kewafatan baginda. Tidaklah mereka menghitungnya melainkan daripada masa kedatangan baginda ke Madinah.”
 
Ada juga riwayat yang menyebut bahawa permulaan tarikh Islam ini bermula pada zaman Nabi SAW sendiri. Bagaimanapun, menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari, riwayat ini adalah mu’dhal, iaitu terputus sanad kerana gugur dua perawi daripada sanadnya, sedangkan riwayat yang masyhur bertentangan dengan riwayat berkenaan yang menyatakan permulaan tarikh Islam bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab RA.
 
Berdasarkan riwayat Sahl bin Saad RA di atas, dapat diketahui bahawa ada tiga cadangan asal yang dikemukakan iaitu sama ada berdasarkan tahun kebangkitan Nabi SAW sebagai rasul, tahun kewafatan baginda atau tahun kedatangan baginda ke Madinah. Namun, akhirnya tahun kedatangan baginda ke Madinah itu yang dipilih.
 
Imam as-Suhaili menyatakan, sahabat mengambil tarikh Hijrah itu adalah berdasarkan firman Allah SWT: “Nescaya sesungguhnya masjid (Quba itu) yang telah didirikan di atas dasar takwa daripada hari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.” Surah at-Taubah: 108.
 
Ini kerana sedia dimaklumi bahawa penubuhan masjid Quba semasa Nabi SAW mula tiba di Madinah bukanlah sebagai hari yang pertama secara mutlak, sebaliknya ia disandarkan kepada suatu perkara yang disamarkan iaitulah zaman awal bermulanya keagungan Islam dan keamanan bagi Nabi SAW untuk beribadat kepada Allah SWT serta mula membina masjid. Maka, kesepakatan pendapat sahabat RA terhadap permulaan tarikh Islam adalah bermula dari hari berkenaan.
 
Peristiwa penentuan tarikh Islam dalam kalangan sahabat RA ini menunjukkan kepada kita bahawa amalan memperingati sesuatu peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam bukanlah satu perkara bidaah yang keji. Jika diperhatikan, setelah peristiwa Hijrah dipilih, tiada siapa pun yang memburukkan pihak yang mengemukakan cadangan tahun kebangkitan Nabi SAW atau tahun kewafatan baginda.
 
Begitu juga cadangan peristiwa kelahiran baginda Nabi SAW (Maulid Nabawi) sepertimana dalam satu riwayat lain.
 
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, kata-kata Sahl bin Saad RA: “Tidaklah mereka menghitungnya melainkan daripada masa kedatangan baginda ke Madinah”, bermaksud tahun ketibaan Nabi SAW di Madinah, bukannya bulan ketibaan baginda SAW iaitu Rabiulawal kerana pengiraan tarikh mestilah bermula daripada awal tahun iaitu Muharam. Mereka juga menganjakkan daripada Rabiulawal kepada Muharam kerana permulaan azam baginda SAW untuk berhijrah sebenarnya adalah bermula pada Muharam iaitu selepas peristiwa baiah Aqabah kedua pada pertengahan Zulhijah. Maka, bulan pertama yang muncul sesudah peristiwa baiah dan keazaman Nabi SAW untuk berhijrah ialah Muharam. Justeru, munasabahlah ia dijadikan sebagai tarikh permulaan. Kata al-Hafiz Ibn Hajar: “Ini hujah paling kuat yang aku temui mengenai munasabah permulaan tarikh dengan bulan Muharram”.
 
Terdapat beberapa riwayat mengenai sebab mengapa Saidina Umar RA menentukan permulaan tarikh. Antaranya, al-Fadhl bin Dukain meriwayatkan dalam kitab Tarikhnya bahawa Abu Musa RA pernah menulis surat mengadu kepada Umar RA bahawa sering datang kepada mereka surat daripadanya, namun ia tidak mempunyai tarikh. Lalu Umar RA pun mengumpulkan sahabatnya bermesyuarat. Maka, ada yang mencadangkan supaya tarikh dikira berdasarkan tahun kebangkitan dan ada yang mencadangkan supaya tarikh dikira berdasarkan tahun hijrah Rasulullah. Lantas Umar RA pun memilih tahun hijrah kerana ia dianggap tarikh pemisah antara yang hak dan yang batil. Peristiwa ini berlaku pada 17 Hijrah. Maka, apabila semua bersepakat, ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan Ramadan. Namun Umar RA berkata: “Bahkan bulan Muharam kerana ia adalah waktu kepulangan orang ramai daripada ibadah haji.” Maka, semua pun bersepakat dengan pandangannya.
 
Antaranya lagi, al-Hakim meriwayatkan daripada Said bin al-Musayyib katanya: “Umar RA pernah mengumpulkan orang ramai dan bertanya kepada mereka tentang hari pertama yang patut dituliskan tarikh daripadanya. Lalu jawab Ali RA: ‘Daripada hari hijrahnya Rasulullah SAW dan baginda meninggalkan bumi syirik’. Lantas Umar RA pun menerima cadangan tersebut.'”
 
Oleh Dr Lhafidz Mohd Soroni, Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis). Disiarkan pada: Ogos 15, 2022 @ 5:59am.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*