Jangan jadi mantan orang baik

Mutakhir ini sering kita dengar kes pelanggaran hukum syariah yang sesetengahnya seperti tidak masuk akal dilakukan oleh orang Islam. Lebih menyedihkan apabila dikhabarkan orang yang melakukannya itu dahulu adalah orang baik, belajar agama, menghafaz al-Quran dan sebagainya. Kes jenayah syariah sebegini cukup membimbangkan terutama yang membabitkan penghinaan terhadap Nabi SAW dan agama Islam.

antara puncanya adalah kelompongan iman dalam jiwa hingga memberi peluang kepada syaitan untuk masuk mempengaruhi diri. Akibatnya orang yang baik sekalipun, jika sudah dipengaruhi oleh hasutan syaitan dan godaan hawa nafsu akhirnya menjadi mantan orang baik atau lebih teruk lagi mantan orang Islam. Orang seperti ini patut berasa malu dengan mantan orang jahat. Orang yang dahulunya sering melakukan kejahatan dan kemaksiatan, hatta tatu penuh di wajah sekalipun, namun akhirnya dengan hidayah Allah SWT dia kembali sedar serta bertaubat menyesali segala perbuatan lalu. Sekiranya memperoleh husnul khatimah, pasti syurgalah ganjaran baginya. Berbeza dengan mantan orang baik, sekiranya memperoleh su’ul khatimah, nerakalah balasan untuknya. Apa yang dikhuatirkan, mantan orang baik ini suka berhujah dengan takdir kononnya dia memang ditetapkan jadi begitu. Seolah-olah dia mengetahui ketentuan takdir yang ditetapkan untuknya. Walhal ia hanya pembohongan diri semata-mata kerana tiada siapa yang mengetahui takdirnya yang sebenar melainkan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: “Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya ada orang daripada kalangan kamu sekalian sentiasa beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antaranya dengan syurga tidak jauh kecuali sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan takdirnya, lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia pun memasuki neraka. Dan sesungguhnya ada orang daripada kalangan kamu sekalian sentiasa beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak jauh kecuali sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan takdirnya, lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia pun memasuki syurga.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kemungkinan maksud ‘sentiasa beramal dengan amalan ahli syurga atau neraka’ itu adalah menurut apa yang dilihat oleh orang lain sahaja, sedangkan ada amal perbuatan tertentu di sebalik tabir yang tidak diketahui oleh mereka. Ini dikukuhkan dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ada orang yang sentiasa melakukan amalan ahli syurga berdasarkan apa yang dilihat oleh manusia, padahal dia adalah daripada ahli neraka. Dan ada orang yang sentiasa melakukan amalan ahli neraka berdasarkan apa yang dilihat oleh manusia, padahal dia adalah daripada ahli syurga.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jelasnya, nasib seseorang sebenarnya mempunyai hubungan dengan apa yang diusahakan oleh dirinya sendiri, meskipun tidak diketahui orang lain. Lebih-lebih lagi apa yang ada di dalam hatinya kerana apa-apa yang menjadi kepercayaan dalam dirinya itu yang akan menentukan nasibnya di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda: “Ada dua lelaki daripada kalangan Bani Israil yang saling bersaudara. Seorang daripada mereka suka berbuat dosa, sementara seorang lagi giat dalam beribadah. Orang yang giat beribadah itu selalu melihat saudaranya berbuat dosa hingga dia berkata: ‘Berhentilah’. Lalu, pada suatu hari dia mendapati saudaranya itu sedang berbuat dosa, maka dia pun berkata kepadanya: ‘Berhentilah’. Namun, saudaranya membalas: ‘Biarkanlah aku bersama Tuhanku, adakah engkau diutus untuk selalu mengawasiku?’ Lantas ahli ibadah itu berkata: ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampunimu’, atau katanya: ‘Allah tidak akan memasukkanmu ke syurga’. Setelah itu, Allah mencabut nyawa kedua-duanya sehingga kedua-duanya berkumpul di sisi Tuhan semesta alam. Maka, Allah pun bertanya kepada ahli ibadah itu: ‘Adakah kamu mengetahui tentang kehendak-Ku? Atau adakah kamu mampu melaksanakan apa yang ada dalam kekuasaan-Ku?’ Seterusnya Allah berkata kepada pelaku dosa: ‘Pergilah dan masuklah kamu ke syurga dengan rahmat-Ku.’ Dan Dia berkata kepada ahli ibadah: ‘Bawalah dia ini ke neraka.’ Abu Hurairah RA berkata: “Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sungguh dia telah mengucapkan satu kalimah yang mampu merosakkan dunia dan akhiratnya.'” Riwayat Ahmad dan Abu Dawud

Pelaku dosa itu mengetahui bahawa Allah SWT sentiasa mengawasinya hingga akhirnya dia dapat masuk ke syurga. Sedangkan ahli ibadah itu pula jahil tentang kudrat dan iradat Allah SWT sehingga bertindak seolah-olah mengambil alih tugas-Nya dalam menentukan nasib seseorang. Intinya, berwaspadalah agar kita tidak menjadi mantan orang baik.

Dr Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Demo Video

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *