Jalan Riwayat Daif Penguat Satu Sama Lain

ANTARA amalan yang digalakkan pada hari Asyura (10 Muharram) selain berpuasa sunat ialah meluaskan belanja kaum keluarga pada hari berkenaan. Ini berdasarkan hadis: “Barangsiapa yang meluaskan (belanja) kepada kaum keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan melapangkannya pada tahun tersebut keseluruhannya.” Dalam riwayat lain: “Barangsiapa yang meluaskan belanja nafkah kepada kaum keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan melapangkannya di sepanjang tahun tersebut.”
Ulama hadis berbeza pendapat dalam menilai kedudukan hadis ini, ada yang mensahihkannya, ada yang mendaifkannya dan ada yang memalsukannya. Walau apapun, kita berharap pada pihak yang memilih hukum palsu (mawdu’) agar berlapang dada terhadap pendapat pihak lain yang memilih hukum sahih atau hasan, serta tidak mudah mendakwa pengamalannya sebagai bidaah yang keji.
Berdasarkan penelitian, hadis tersebut diriwayatkan lima sahabat, iaitu Abu Sa’id al-Khudri RA, Ibn Mas’ud RA, Jabir RA, Abu Hurairah RA dan Ibn ‘Umar RA. Bagaimanapun setiap jalan riwayatnya daif namun ia mampu menguatkan antara satu sama lain. Kata Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman: “Semua sanad ini walaupun daif namun sekiranya ia digabungkan antara satu sama lain akan menjadi kuat”.
Prof Dr Muhammad Abu al-Laith al-Khairabadi dalam bukunya al-Marwiyyat fi Fadl Lailat al-Nisf min Sya’ban wa at-Tawsi’ah ‘ala al-‘Iyal Yaum Asyura merumuskan bahawa hadis ini berdasarkan jalan riwayatnya adalah hasan li-ghairih. Malah sebelumnya, al-Hafiz as-Sayyid Ahmad al-Ghumari mengkaji dan membincangkan takhrij hadis ini secara teliti serta menilainya sebagai sahih di dalam risalah beliau: Hadiyyat al-Sughra’ bi Tashih Hadith at-Tawsi’ah Yaum ‘Asyura’. Penilaian ini bersesuaian dengan penilaian ramai ulama hadis sebelumnya seperti Imam al-Baihaqi, al-Hafiz al-‘Iraqi, al-Hafiz Ibnu Nasiriddin, al-Hafiz al-Sakhawi, al-Hafiz al-Suyuti, al-‘Allamah al-Munawi, al-‘Allamah al-‘Ajluni dan al-‘Allamah Ibn ‘Iraq.
Sekiranya ada yang tidak bersetuju dan tetap menolak pun tidak ada masalah, asalkan tidak menganggap amalan tersebut sebagai bidaah sesat yang ditegah agama serta memaksa orang lain mengikut pendapatnya. Sedangkan ia perkara yang diperselisihkan (khilafiyyah).
Malah, Imam Ahmad bin Hanbal yang menolak riwayat tersebut sebagai hadis Nabi SAW namun ketika ditanya mengenainya, beliau tidak pun menjawab ia bidaah. Sebaliknya, beliau menjawab sesuai dengan riwayat diterimanya. Jawab beliau: “Ya, ada diriwayatkan oleh Sufyan bin ‘Uyainah daripada Jaafar al-Ahmar daripada Ibrahim bin Muhammad bin al-Muntasyir yang merupakan antara orang paling afdal di zamannya bahawa sudah sampai kepadanya khabar: ‘Barangsiapa yang meluaskan ahli keluarganya pada hari Asyura maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun tersebut’. Kemudian kata Ibn ‘Uyainah: ‘Sesungguhnya kami mengujinya sejak 50 atau 60 tahun lalu, maka tidaklah kami melihat melainkan perkara yang baik’.”
Justeru itu, sebahagian ulama Hanbali menganjurkannya seperti Ibn Muflih dan al-Buhuti, meskipun ditolak oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Perlu diketahui bahawa dalam membahaskan perkara khilafiyyah seperti ini tidak harus kita menegaskan pendapat yang kita pilih sahaja sebagai sunnah, manakala pendapat pihak lawan pula sebagai bidaah. Jika penentuan sunnah dan bidaah dalam masalah ijtihadiyyah dibiarkan sebegini, maka dikhuatiri boleh mengakibatkan mudarat besar terhadap perpaduan umat Islam. Ini kerana perbuatan bidaah membidaah tentu akan mudah tersebar dalam kalangan umat Islam disebabkan pendapat semua pihak yang berselisih pastinya tidak lari daripada pendapat yang rajih (yang tepat) dan pendapat yang marjuh (yang kurang tepat) berdasarkan perspektif masing-masing.
Menurut pendapat penulis, mereka yang menerima hadis ini mungkin ada hubungannya dengan penyediaan bubur Asyura, iaitu menu popular disediakan bersempena hari tersebut. Dengan erti kata, asal kepada penyediaan bubur Asyura ini bukan kerana ada dalil khusus, tetapi bersandarkan dalil umum sahaja iaitu hadis meluaskan belanja kepada kaum keluarga ini.
Bubur Asyura itu hanya sekadar satu menu yang sudah menjadi adat tradisi masyarakat sahaja dalam mempraktikkan hadis berkenaan. Barangkali disebabkan situasi sosio-budaya dan ekonomi masyarakat pada masa dahulu, maka ia dianggap sebagai satu sajian istimewa yang mampu untuk dikongsikan bersama seluruh kaum keluarga. Zahirnya, tiada unsur bidaah yang sesat dalam mempraktikkan adat sebegini. Malah, boleh sahaja jika ia ditukar kepada apa-apa jua menu lain yang istimewa. Kelebihan orang yang berbuat demikian sepertimana yang dinyatakan ialah Allah SWT akan melapangkan hidup dan rezekinya di sepanjang tahun tersebut.
Penulis Dr Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis). Disiarkan pada: Ogos 7, 2022 @ 10:02am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *