Anjuran Ruqyah akibat Gangguan Jin, Syaitan

Oleh: Dr Mohd Khafidz Soroni

Pendedahan seorang ustaz terkenal mengenai gangguan paranormal yang dialaminya menimbulkan kegusaran masyarakat terhadap amalan ilmu sihir yang masih berterusan pada zaman yang serba canggih ini. Gangguan sedemikian biasanya membabitkan penggunaan jin dan syaitan bagi menyakiti mangsa secara halus. Gangguan jin dan syaitan terhadap manusia sememangnya wujud dan tidak dinafikan, terutama apabila melibatkan amalan ilmu sihir. Ilmu sihir sudah pun wujud sejak sekian lama, bahkan disebutkan dalam pelbagai ayat al-Quran seperti kisah Harut dan Marut serta kisah Nabi Musa AS.

Sihir adalah sejenis ilmu yang boleh dipelajari dengan cara mendekatkan diri kepada jin dan syaitan melalui pemujaan, penyembahan dan ketundukan kepada selain Allah SWT. Kesan sihir boleh menyebabkan gangguan teruk kepada mangsa daripada sudut fizikal dan spiritual, malah kematian. Kesan sihir juga biasanya sukar dipulihkan oleh doktor perubatan kerana puncanya tidak bersifat alami.

Nabi SAW sendiri pernah disihir sehingga Allah SWT mengutuskan dua malaikat untuk membantu kesembuhan baginda. Aisyah RA bercerita: “Seorang Yahudi daripada Bani Zuraiq bernama Labid bin al-A’sam menyihir Rasulullah SAW sehingga baginda dibuat seakan-akan telah melakukan sesuatu pekerjaan, padahal baginda tidak melakukannya. Sampai suatu hari baginda berada di sampingku, namun baginda terus berdoa dan berdoa. Kemudian baginda bersabda: “Wahai Aisyah, apakah kamu turut berasakan bahawa Allah memberikanku jawapan terhadap apa yang kumohonkan kepada-Nya? Dua lelaki telah datang kepadaku, lalu seorang daripada mereka duduk di sebelah kepalaku dan seorang lagi di sebelah kakiku. Kemudian salah seorang bertanya kepada yang satu lagi: “Apakah sakit lelaki ini?” Temannya menjawab: “Disihir.” Dia bertanya lagi: “Siapakah yang menyihirnya?” Temannya menjawab: “Labid bin al-A’sam.” Dia terus bertanya: “Dengan apakah dia menyihir?” Temannya menjawab: “Dengan penyisir, rambut yang terjatuh ketika disisir dan seludang mayang kurma jantan.” Dia bertanya: “Di manakah benda itu diletakkan?” Temannya menjawab: “Dalam telaga Zarwan.” Kemudian Rasulullah SAW mendatanginya bersama beberapa orang sahabatnya. Setelah kembali baginda bersabda: “Wahai Aisyah, seakan-akan airnya bagaikan rendaman daun inai dan seakan-akan pohon kurmanya bagaikan kepala syaitan.” Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah kamu membuka bendanya?” Baginda menjawab: “Tidak, sesungguhnya Allah telah menyembuhkanku sehingga aku tidak suka menimbulkan kesan buruk kepada orang lain daripada peristiwa itu.” Kemudian baginda pun memerintahkan supaya telaga itu dikambus.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hadis ini menunjukkan orang terkena sihir wajar berusaha merawat gangguan dialaminya. Antara yang turut diajarkan baginda SAW ialah menggunakan ruqyah. Imam Ibnu al-Athir dalam an-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar mendefinisikan: “Ruqyah ialah memohon perlindungan (kesembuhan) dibacakan untuk orang yang sakit, seperti demam, kerasukan dan penyakit lain.”

Terdapat pelbagai bacaan ruqyah untuk merawat dan berlindung daripada gangguan jin. Antaranya dengan membacakan ayat al-Quran seperti ayat al-Kursi yang mampu menundukkan syaitan. Ironinya, keistimewaan ayat al-Kursi itu diberitahu sendiri oleh syaitan kepada beberapa sahabat seperti Abu Hurairah RA, Ubay bin Kaab RA dan Abu Usaid as-Saidi RA, malah pemberitahuan berkenaan dibenarkan oleh Nabi SAW.

Antara bacaan ruqyah juga ialah Surah al-Falaq dan Surah an-Nas (al-Mu’awwizatain). Abu Said RA berkata: “Rasulullah SAW sering memohon perlindungan daripada kejahatan jin dan ‘ain (hasad dengki) manusia sehingga turunnya al-Mu’awwizatain. Lalu, setelah kedua-duanya turun baginda pun menggunakannya dan meninggalkan yang selainnya.” Riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib

Terdapat pelbagai lagi ayat al-Quran yang boleh digunakan merawat gangguan jin dan syaitan. Walaupun tiada dalil khusus, keharusannya tertakluk kepada dalil umum seperti firman Allah SWT: “Dan Kami turunkan secara beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” Surah al-Isra’: 82

Antara ulama yang dicatatkan handal merawat gangguan jin ialah Syeikh Ibn Taimiyyah. Menurut muridnya, Syeikh Ibn al-Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad, gurunya itu sering membacakan di telinga orang yang diganggu jin ayat ke-115 Surah al-Mu’minun. Beliau juga biasanya merawat dengan ayat al-Kursi dan selalu menyuruh orang yang diganggu serta orang yang merawatnya agar banyak membaca ayat berkenaan. Beliau turut membacakan al-Mu’awwizatain. Syeikh Ibn al-Qayyim menegaskan: “Secara umum, jenis gangguan serta rawatan sebegini tidaklah diingkari melainkan oleh orang yang cetek ilmu, akal dan pengetahuannya.”

 

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Disiarkan pada: Jun 26, 2022 @ 8:33am, Harian Metro Online

https://www.hmetro.com.my/addin/2022/06/855627/anjuran-ruqyah-akibat-gangguan-jin-syaitan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *