Belasungkawa: al-Musnid Ustaz Mohd. Zaidi bin Abdullah رحمه الله تعالى

 

Pada pagi Sabtu, 18hb. Jun 2022 sekitar jam 2.00 pagi telah perginya sebutir permata tanah air yang cukup tinggi hemah beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk ilmu dan sanad, al-Musnid Ustaz Mohd. Zaidi bin Abdullah. Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikannya dan memuliakannya bersama-sama para anbiya’, ulama dan solihin. Jenazah beliau kemudian telah selamat dikebumikan selepas Zohor pada hari Ahad di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Beliau merupakan seorang alim yang mudah didekati, sentiasa merendah diri, namun cukup tegas dengan pendirian yang diambil. Orang yang benar-benar mengenal beliau pasti tahu betapa tinggi nilai ilmu dan sanad yang dimiliki olehnya. Dengan kewafatan beliau, beberapa sanad nadir ulama Melayu telah turun satu anak tangga disebabkan tiada siapa yang memiliki sanad tersebut melainkan beliau seorang sahaja.

Nama penuh beliau ialah Mohd. Zaidi bin Abdullah bin Ahmad al-Shah Alami. Dilahirkan di Selangor pada tahun 1975. Beliau merupakan seorang yang gigih menuntut ilmu sejak dari mudanya. Beliau telah menimba ilmu di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan sejak dari tahun 1990 sehingga tahun 2008. Melihat kecerdikannya, beliau telah diberi izin oleh al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdullah Lubuk Tapah untuk mengumpulkan sanad-sanad yang dimiliki olehnya serta dilantik sebagai penyelidik pondok.

Di samping itu, beliau terus gigih bertalaqqi daripada alim ulama yang terkenal memiliki sanad keilmuan, dan sehingga kini telah berjaya mengumpulkan sanad kira-kira 60 orang ulama Tanah Melayu, tidak termasuk ulama dari luar negara. Beliau diberi gelaran ‘al-Musnid’ oleh ilmuwan Syria, Syeikh Mu’taz ‎as-Subaini. ‎

Antara guru-gurunya yang terkenal ialah: Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman, Tuan Guru Hj. Hasyim bin Abu Bakar, Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki, Syeikh Wan Zakaria bin Ahmad Wan Besar, Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, Tuan Guru Hj. Wan Izzuddin bin Wan Ibrahim, Syeikh Saleh bin ‘Uthman Jalaluddin, Tuan Guru Hj. Saleh bin Musa dan lain-lain. (al-Langkati t.t.: 287)

Antara guru beliau juga ialah Ustazah al-Muhaddithah Hajjah Hamudah binti al-Sheikh al-Mu’ammar Haji Ghazali bin Arshad al-Firaqiyyah. Seorang tokoh hadis wanita yang amat jarang kita temukan di Malaysia tokoh dari kalangan wanita dalam bidang hadis seperti beliau.

Beliau telah mendokumentasikan sanad-sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya sanad berikut:

  1. Subul al-Sa‘adah bi Asanid al-Syaykh al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Kelantani, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman.
  2. al-Majalis al-Hadithiyyah: wa hiya Musalsalat wa Asanid al-Syaykh Wan ‘Izz al-Din bin Wan Ibrahim al-Fatani al-Qadahi, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Wan ‘Izzuddin bin Wan Ibrahim.
  3. Juz’ fi Masmu‘at al-Ustadh Taha al-Falaki, yang merupakan himpunan sanad-sanad al-Fadhil Ustaz Taha al-Falaki, Klang.
  4. Talkhis al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar li al-Bukhari min Marwiyyat Syaykh ‘Abdullah Lubuk Tapah wa Syaykh Hamzah Bukit Tanah. Ia mengandungi 100 hadith pilihan daripada kitab Sahih al-Bukhari daripada riwayat Tuan Guru Hj. ‘Abdullah Lubuk Tapah dan Tuan Guru Hj. Hamzah Bukit Tanah.
  5. Asanid al-Kutub al-Masyhurah, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Hasyim Pasir Tumboh.
  6. ‘Unwan al-Asanid, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Sulaiman Kg. Siram.
  7. Arba‘un Hadithan min Musnad Imamina al-Syafi‘i melalui sanad Maulana Lambak bin Ibrahim Kg. Tok Jiring.
  8. Himpunan sanad Tuan Guru Hj. Yahya Zikri Telok Intan.

Bagi membuktikan keluaran pondok mampu bersaing dengan ahli akademik universiti, beliau banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti penulisan dan penyelidikan yang merangkumi pelbagai bidang pengajian, khususnya fiqah, hadith, ilmu kalam, tasawuf, kajian manuskrip, falsafah dan sains Islam.

Tulisan ilmiah beliau pernah diterbitkan dalam Afkar: Jurnal Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya dalam bidang falsafah Islam dan Jurnal Kesturi terbitan Akademik Sains Islam Malaysia dalam bidang Sains Islam.

Pada tahun 2010, Dr. Khalijah Mohd Salleh yang ketika itu selaku felo Akademik Sains Malaysia telah memilih esei beliau dalam buku suntingannya, ‘Sains Sebagai Institusi Sosial’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara artikel lain yang diterbitkan:

  • Isu tamadun Islam, pencerahannya di tangan ulama’ dan umara’ (Dewan Agama dan Falsafah, Karangkraf, Februari 2006)
  • Arab-Jawi dalam persuratan Melayu (Berita Harian, 6 Disember 2016)
  • Penyebaran manuskrip bukti ketinggian ilmuwan Alam Melayu (Berita Harian, 3 Februari 2018)

Karya beliau ‘Subul al-Sa’adah’ atau ‘Menuju Kebahagiaan Sejati’ (2002) telah dijadikan bahan penyelidikan oleh penyelidik tempatan yang kajiannya telah diterbitkan dalam Jurnal Hadis (Disember 2017), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Sehingga kini, beliau telah menulis lebih daripada 10 buah buku ilmiah dalam pelbagai bidang. Antaranya:

  1. Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-Jamaah: Suatu Keluhuran dan Kemurnian Pegangan Hidup (2000)
  2. Menuju Kebahagiaan Sejati (2002)
  3. Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi (Kebijaksanaan Pencerahan): Dari Estetika Menuju Fizika (2004)
  4. al-‘Ilm, al-Maqulat dan al-Hikmah Dalam Pemikiran Ulama Melayu (2005)
  5. MANIFESTO: Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengamalan Islami (2006)
  6. Kitab Jawi: Aspek Falsafah Sains Yang Terkandung Padanya (2008)
  7. Falsafah Sains Menurut Tradisi al-Hikmah: Menurut Penghayatan Warisan Kita (2010)
  8. Kearifan Yang Subur: al-Ārif Billāh Ahmad al-Qushāshi al-Mujaddid Ibrahim al-Kurani Aurad Qushashiyyah (2012)
  9. al-Hikmah Berwacana Perihal Fenomena (2012)
  10. Al-Maqulat: Suatu Pendekatan dalam Sains dan Teknologi (2014)
  11. al-Imām al-Shāfi’i, al-Shāfi’iyyah dan Tafaqquh fī Al-Dīn (2015)
  12. Etnosains : Elemen Tradisi, Pengelasan dan Alternatif (2017)

Melihat kepada judul-judul hasil karyanya ini, maka tidak hairan jika Prof. Osman Bakar pernah menyebut, sukar untuk mencari orang yang seumpama Ustaz Zaidi ini, ilmuwan pondok yang menceburi bidang falsafah, khususnya Falsafah Sains. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni beliau serta menghimpunkan rohnya bersama para anbiya’, syuhada’, ulama’, siddiqin dan solihin. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *