Mimpi Bertemu Nabi SAW & Isu Yaqazah

Mimpi bertemu Nabi SAW adalah benar berdasarkan dalil hadis daripada Anas RA katanya: “Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa melihatku di dalam mimpi maka bererti dia telah melihatku kerana sesungguhnya syaitan tidak akan dapat menjelma sepertiku.'” Riwayat al-Bukhari

Mimpi melihat Nabi SAW adalah satu kemuliaan dan penghormatan kerana Allah SWT memelihara baginda SAW sehingga syaitan pun tidak mampu menyerupai dirinya walaupun di dalam mimpi. Terdapat riwayat lain yang menyebut kelebihan mimpi melihat Nabi SAW iaitu hadis Abu Hurairah RA katanya: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa melihatku di dalam mimpi maka dia akan melihatku ketika jaga (dalam keadaan sedar) dan syaitan tidak akan dapat menyerupai diriku.'” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam mensyarahkan hadis ini, Imam Abu al-Abbas al-Qurtubi dalam kitab al-Mufhim lima Asykala min Talkhish Kitab Muslim berkata: “Maka, harus melihat Nabi SAW di dalam mimpi menurut sepertimana sifat baginda SAW yang sebenar semasa hidupnya. Antara faedahnya adalah meredakan kerinduan pemimpi disebabkan rasa kasihnya yang mendalam terhadap baginda dan supaya ia terus berusaha untuk melihat baginda. Inilah yang diisyaratkan oleh Nabi SAW ketika baginda bersabda: ‘Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi maka dia akan melihatku secara yaqazah (dalam keadaan sedar)’ iaitu maksudnya sesiapa yang melihatku dengan penuh rasa takzim terhadap kehormatanku serta penuh rasa rindu untuk melihatku, maka ia akan dapat melihat orang yang dikasihinya itu dan memperolehi segala keinginannya.'”

Malah, al-Qurtubi turut mengungkapan pengalaman peribadi beliau, katanya: “Sesungguhnya Allah Taala telah menyempurnakan ihsan dan nikmat-Nya kepadaku serta menyampaikanku setelah menunaikan haji di Baitullah, ke kubur Nabi-Nya dan masjid baginda SAW. Maka aku telah melihat baginda – demi Allah – secara yaqazah sama sepertimana rupa baginda yang pernah aku lihat di dalam mimpi tanpa bertambah atau terkurang sedikit pun.”

Secara jelas beliau bersumpah dengan nama Allah SWT telah melihat Nabi SAW secara sedar, yang sebelumnya beliau bermimpi terlebih dahulu melihat baginda. Perkara luar biasa ini bukanlah satu perkara mustahil. Malah, ketika malam Nabi SAW diisrak mikraj oleh Allah SWT, baginda SAW juga pernah bertemu secara sedar dengan sekalian nabi AS serta bersolat jemaah dengan mereka.

Kita meyakini perkara luar biasa yang boleh berlaku kepada nabi AS sebagai mukjizat maka ia juga boleh berlaku kepada wali Allah sebagai karamah. Secara fakta, perkara ini juga berlaku kepada ramai ulama dan wali Allah antara mereka Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Imam al-Syazili, Syeikh Ibn al-Arabi, Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu al-Abbas al-Mursi, Syeikh Abu Abdillah al-Qurasyi, Syeikh Kamaluddin al-Adfawi, Syeikh Ali al-Wafa’i, Syeikh Abd al-Rahim al-Qinawi, Syeikh Abu Madyan, al-Hafiz al-Suyuti, Syeikh Ali al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam al-Qastallani, Syeikh Ibn Abi al-Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi, Sayyid Nuruddin al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi, Syeikh Ahmad bin Thabit al-Maghribi, Imam al-Sya’rani, Syeikh Abu al-Mawahib al-Syazili, Syeikh Nuruddin al-Syuni, al-Habib Umar al-Attas, Sayyidi Abd al-Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan al-Bakri, Sayyidi Ahmad bin Idris dan ramai lagi.

Menuduh ulama dan wali ini mengalami paranoia iaitu gangguan mental yang menyebabkan seseorang mengkhayalkan perkara yang aneh, hanya satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Malah, ia juga termasuk perbuatan mencalarkan maruah seorang Muslim, apatah lagi ulama dan solihin yang diharamkan oleh syarak.

Alasan ia tidak pernah berlaku kepada sahabat RA bukanlah dalil untuk kita mendustakan mereka yang disebutkan itu. Sesuatu yang tidak dinukilkan bukan semestinya bermakna ia tidak wujud. Bahkan, sahabat RA sudah pun memperoleh kemuliaan tertinggi dengan melihat, bersama dan berjuang di samping Nabi SAW sepanjang hidup baginda.

Jelasnya, hukum melihat Nabi SAW secara yaqazah sebagai suatu karamah adalah harus dan tidak mustahil. Malah, ia memang berlaku kepada sebahagian wali Allah SWT dan solihin serta tidak harus untuk kita menuduh mereka berbohong. Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh pembohongan yang berlaku. Jika ada golongan yang menyeleweng dengan menunggang isu yaqazah ini maka sandarkanlah penyelewengan itu kepada golongan itu sahaja. Adapun menolak semuanya dengan mengkritik secara pukul rata semua pihak yang terbabit, itu bukanlah satu tindakan yang tepat.

 

Ditulis Oleh: Dr. Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, Institut Kajian Hadis & Aqidah (INHAD), KUIS

Sumber Artikel: https://www.hmetro.com.my/addin/2021/09/756563/mimpi-bertemu-nabi-saw-isu-yaqazah

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*