Seruan Baitulmaqdis terhadap umat Islam


Baitulmaqdis atau al-Quds di Palestin tempat suci ketiga bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Bahkan, ia juga dianggap sebagai tempat suci bagi orang Yahudi dan Kristian. Orang Barat mengenalinya sebagai Jerusalem.

Terdapat banyak kelebihan yang disebutkan mengenai Baitulmaqdis sama ada dalam al-Quran mahupun hadis. Antaranya disebut dalam al-Quran sebagai bumi yang diberkati Allah SWT seperti pada ayat pertama Surah al-Isra’.

Sebagaimana al-Masjid al-Haram (Masjidil Haram) di Makkah dan al-Masjid an-Nabawi (Masjid Nabawi) di Madinah, di kota ini terletaknya al-Masjid al-Aqsa (Masjid al-Aqsa). Masjid yang pernah menjadi tempat persinggahan Nabi SAW sewaktu peristiwa al-Isra’ wal Mi’raj dan kiblat pertama bagi umat Islam.

Terdapat hadis yang mengisyaratkan mengenai sejarah awal penubuhannya iaitu pada zaman Nabi Adam AS sebagai masjid kedua yang dibina di atas muka bumi. Daripada Abu Zar RA katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, masjid manakah yang dibina terlebih dahulu?” Baginda menjawab: “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi: “Selepas itu apa?” Jawab baginda: “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi: “Berapa jarak masa antara kedua-duanya?” Jawab baginda: “40 tahun.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sewaktu kedatangan Islam, Baitulmaqdis berada di bawah kekuasaan Empayar Rom Byzantine yang juga kuasa besar Kristian pada masa itu. Kemudian pada 638 semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab RA, tentera Islam berjaya menawan dan menakluki Baitulmaqdis.

Beberapa abad kemudian iaitu pada 1099, tentera Salib merampas Baitulmaqdis daripada tangan umat Islam. Mereka menguasainya selama 88 tahun sehingga muncul Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya menawan semula Baitul Maqdis pada 1187.

Umat Islam selama berkurun lama bebas menziarahi Baitulmaqdis walaupun selepas penubuhan negara haram Israel 1948. Namun pada 1967, Israel menceroboh dan mengenakan kawalan ketat di Baitulmaqdis sehingga umat Islam tidak lagi mempunyai kebebasan mutlak terhadapnya.

Terdapat galakan daripada Nabi SAW untuk bersolat di dalamnya. Daripada Abu ad-Darda’ RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersolat di al-Masjid al-Haram menyamai 100 ribu kali solat, bersolat di masjidku menyamai 1,000 kali solat dan bersolat di masjid Baitulmaqdis menyamai 500 kali solat.” Riwayat al-Bazzar, Ibn ‘Adi, at-Tabarani dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad hasan

Oleh itu, Nabi SAW bersabda: “Janganlah bersungguh-sungguh untuk pergi mengembara melainkan kepada tiga masjid iaitu masjidku ini (Madinah), al-Masjid al-Haram (Makkah) dan al-Masjid al-Aqsa (Baitulmaqdis).” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bukti keprihatinan ulama Islam terhadap Baitulmaqdis dan al-Masjid al-Aqsa dapat dilihat dalam buku Mu’jam ma Ullifa fi Fadha’il wa Tarikh al-Masjid al-Aqsa wa al-Quds wa Filastin yang disusun oleh Syihabullah Bahadur (2009). Buku ini menghimpunkan semua karya yang dikarang oleh ulama Islam mengenai kelebihan dan sejarah al-Masjid al-Aqsa, al-Quds dan Palestin sejak kurun ketiga Hijrah sehingga zaman gelap Palestin pada 1948.

Terdapat 220 karya yang semuanya bermula dari kitab pertama berjudul: Futuh Bait al-Maqdis oleh Abu Huzaifah al-Bukhari (wafat 206H) sehingga kitab terakhir yang berjudul: Nubzah min Kitab Fadha’il al-Quds as-Syarif yang belum diketahui nama penyusunnya. Jumlah itu termasuk 36 manuskrip yang belum diketahui tarikh penulisannya secara tepat.

Perjuangan untuk mengembalikan semula kebebasan al-Masjid al-Aqsa bukanlah tanggungjawab rakyat Palestin semata-mata, bahkan ia adalah tanggungjawab bagi umat Islam seluruhnya.

Terdapat isyarat hadis bahawa pusat pemerintahan khilafah Islam pada akhir zaman nanti akan muncul semula di Baitulmaqdis. Abdullah bin Hawalah al-Azdi RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah meletakkan tangan baginda di atas kepalanya lalu bersabda: “Wahai anak Hawalah, apabila engkau melihat khilafah telah turun di bumi yang disucikan (Baitulmaqdis), maka sungguh telah dekatlah bencana gempa bumi, malapetaka serta perkara besar. Pada saat itu, hari kiamat lebih dekat kepada manusia daripada tanganku ini dengan kepalamu.” Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Hakim, kata beliau: Sahih sanadnya

Berdasarkan hadis ini, isu pembebasan Baitulmaqdis sewajarnya menjadi isu yang cukup signifikan bagi seluruh umat Islam. Amat mendukacitakan sekiranya ada negara Islam yang hanya berpeluk tubuh dan membiarkan sahaja rejim Israel merampas Baitulmaqdis dan tanah penduduk Palestin secara ganas serta zalim, malahan tidak mengutuk sedikit pun perbuatan mereka.

Ditulis Oleh: Dr. Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, INHAD, KUIS

Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2021/05/709085/seruan-baitulmaqdis-terhadap-umat-islam

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*