Kitab terakhir kelompok al-Kutub as-Sittah

MASJID Ibn Tulun di Kaherah antara masjid tertua di Mesir. Mesir antara negara yang dijelajahi Ibnu Majah dalam pengembaraan menuntut ilmu.

MASJID Ibn Tulun di Kaherah antara masjid tertua di Mesir. Mesir antara negara yang dijelajahi Ibnu Majah dalam pengembaraan menuntut ilmu.

Pengarang al-Kutub as-Sittah terakhir yang ingin diperkenalkan dalam siri ini ialah Imam Ibnu Majah. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Yazid al-Rab’i al-Qazwini.

Ada pendapat yang mengatakan Majah adalah nama datuknya. Namun, menurut Abu Ya’la al-Khalili, Ibn Kathir dan az-Zahabi, Majah gelaran ayahnya, Yazid yang juga dikenali sebagai Majah Maula Rabi’ah. Justeru, itulah beliau lebih dikenali sebagai Ibnu Majah.

Beliau dilahirkan pada 209H di Qazwin, sebuah kota yang kini terletak di Iran. Sejak usia remaja, Ibnu Majah tekun mempelajari ilmu dan hadis. Pada awalnya, beliau belajar dengan seorang guru yang terkenal di daerahnya pada masa itu iaitu Ali bin Muhammad at-Tanafisi. Kemudian beliau mula mengembara menuntut ilmu ke pelbagai wilayah Islam terutama Khurasan, Iraq, Hijaz, Syam dan Mesir.

Antara guru beliau yang terkenal ialah Jubarah bin al-Mughallis, Mus’ab bin Abdullah az-Zubairi, Suwaid bin Said, Abu Bakr bin Abi Syaibah, Uthman bin Abi Syaibah, Ibrahim bin al-Munzir dan Hisyam bin Ammar.

Kewibawaan dan keluasan ilmu Ibnu Majah diiktiraf ramai ulama. Al-Qadhi Abu Ya’la al-Khalili berkata: “Beliau seorang thiqah besar, disepakati ulama dan boleh dijadikan hujah. Beliau mempunyai penguasaan dalam bidang hadis dan turut menghafaznya.”

Imam Ibn Kathir berkata: “Pengarang kitab Sunan yang masyhur dan itu cukup untuk membuktikan amalan, ilmu, keluasan pengetahuan dan mutalaah beliau serta kuatnya beliau mengikut sunnah dalam perkara usul dan furuk.”

Beliau menyusun beberapa karya yang cukup bernilai antaranya ialah kitab at-Tarikh dan Tafsir al-Quran. Karyanya yang paling terkenal ialah kitab Sunan al-Mustafa SAW atau lebih dikenali sebagai Sunan Ibnu Majah.

Kelebihan kitab Sunannya dapat dilihat pada kata-kata Ibn Majah sendiri, katanya: “Aku pernah bentangkan kitab Sunan ini kepada Abu Zur’ah ar-Razi, lalu beliau pun mengamatinya dan berkata: Aku kira jika kitab ini sampai ke tangan orang ramai nanti akan ditinggalkanlah semua atau kebanyakan kitab himpunan hadis yang ada kini. Kemudian beliau berkata: Boleh jadi tidak sampai genap 30 hadis di dalamnya yang terdapat kelemahan pada sanadnya, atau yang seumpama itu.”

Imam al-Zahabi memberi komentar: “Ibn Majah seorang hafiz, pengkritik, bersifat benar dan luas ilmunya. Akan tetapi yang merendahkan kedudukan kitab Sunannya ialah hadis munkar dan sedikit hadis palsu yang terkandung di dalam kitab berkenaan. Kata-kata Abu Zur’ah itu jika benar, maka yang beliau maksudkan dengan 30 hadis berkenaan ialah hadis yang patut dilempar dan gugur sanadnya. Ada pun hadis yang tidak dapat dijadikan hujah pula maka ia banyak. Boleh jadi ada sekitar 1,000 hadis.”

Oleh itu, kitab Sunan Ibnu Majah menjadi kitab terakhir dalam kelompok al-Kutub as-Sittah kerana terdapat hadisnya yang dinilai oleh ramai pengkritik hadis sebagai munkar dan palsu. Daripada aspek inilah ada ulama yang tidak memilihnya dan memasukkan kitab al-Muwatta’ karya Imam Malik sebagai ganti kitab yang keenam. Ada juga yang memasukkan kitab Sunan ad-Darimi sebagai kitab yang keenam.

Bagaimanapun, ulama yang pertama kali memasukkan Sunan Ibnu Majah ke dalam kelompok al-Kutub as-Sittah ialah al-Hafiz Muhammad bin Tahir al-Maqdisi dalam kitabnya al-Atraf kemudian diikuti oleh al-Hafiz Abd al-Ghani dalam kitabnya Asma’ ar-Rijal dan lain-lain selain beliau.

Ia dimasukkan sebagai rujukan utama dalam bidang hadis kerana hadis tambahan yang terdapat di dalamnya lebih banyak berbanding kitab al-Muwatta’ dan Sunan ad-Darimi iaitu kira-kira 1,552 hadis.

Kitab Sunan Ibn Majah disusun mengikut topik mengandungi sebanyak 37 kitab kecil, tidak termasuk mukadimah kitab yang membicarakan kepentingan mengikut sunah, menjauhi bidaah dan menuntut ilmu.

Kata Abu al-Hasan al-Qattan: “Dalam Sunan ini terdapat 1,500 bab dan jumlah yang terkandung di dalamnya adalah sebanyak 4,000 hadis”. Namun, jumlah sebenarnya menurut nombor urutan yang dibuat oleh Syeikh Muhammad Fuad Abd al-Baqi secara terperinci ialah 4,341 hadis.

Antara murid beliau yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Muhammad bin ‘Isa al-Abhari, Ahmad bin Rauh al-Baghdadi, Ahmad bin Muhammad bin Hakim al-Madini, Ali bin Ibrahim al-Qattan dan Sulaiman bin Yazid al-Fami.

Beliau meninggal dunia di Qazwin pada Isnin 22 Ramadan 273H dan dikebumikan pada keesokannya. Ada pendapat yang mengatakan pada 275H. Namun, menurut az-Zahabi, yang pertama adalah lebih sahih dan beliau hidup selama 64 tahun.

Ditulis oleh: Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/04/693485/kitab-terakhir-kelompok-al-kutub-sittah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*