Imam Abu Dawud tulis setengah juta hadis

IMAM Abu Dawud lebih menumpukan kepada hadis berkaitan hukum dalam kitabnya yang paling masyhur, as-Sunan. GAMBAR HIASAN

IMAM Abu Dawud lebih menumpukan kepada hadis berkaitan hukum dalam kitabnya yang paling masyhur, as-Sunan. GAMBAR HIASAN

Dalam siri ini diperkenalkan seorang lagi pengarang daripada enam pengarang kitab hadis induk yang disebut al-Kutub al-Sittah iaitu Imam Abu Dawud. Nama sebenarnya ialah Sulaiman bin al-Asy’ath bin Syaddad al-Azdi al-Sijistani atau as-Sijzi.

Beliau dilahirkan di Sijistan (kini di Iran) pada 202H. Sejak kecil, beliau dididik dengan akhlak yang baik dan cintakan ilmu pengetahuan. Dalam proses menuntut ilmu, beliau dan abangnya, Muhammad bin al-Asy’ath sering mengembara bersama mencari ilmu ke pelbagai tempat.

Pada 220H, ketika berusia 18 tahun, beliau ke Baghdad, seterusnya ke Basrah, Kufah, Makkah, Mesir, Dimasyq, Hims, Harran, Halab, Khurasan, Naisabur dan banyak lagi untuk mengumpulkan hadis.

Abu Dawud terkenal sebagai seorang yang banyak mengembara mencari ilmu dan tidak jemu mempelajarinya. Beliau berguru dengan ramai ulama pada zamannya. Antara mereka ialah Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma’in, Abu Khaithamah, Zuhair bin Harb, ad-Darimi, Said bin Mansur, Ibn Abi Syaibah, Abu al-Walid at-Tayalisi, al-Hasan bin Rabi’, Ahmad bin Yunus al-Yarbu’i, ‘Abdullah bin Maslamah al-Qa’nabi, Sulaiman bin Harb, Safwan bin Saleh, Hisyam bin ‘Ammar, Ishaq bin Rahuyah, Haiwah bin Syuraih dan Ahmad bin Saleh.

Beliau juga sering ke Baghdad untuk menemui Imam Ahmad bin Hanbal dan menimba ilmu daripadanya.

Imam Abu Dawud menulis kira-kira 20 kitab dan yang paling masyhur ialah kitabnya, as-Sunan. Kebanyakan hadis yang beliau masukkan di dalamnya lebih bertumpu kepada hadis hukum.

Kata Abu Dawud: “Aku telah menulis hadis Rasulullah SAW sebanyak 500,000 hadis. Aku pilih daripada jumlah itu apa yang aku muatkan di dalam kitab Sunan ini. Aku himpunkan di dalamnya sebanyak 4,800 hadis. Aku masukkan hadis yang sahih, hadis yang menyerupai sahih dan yang mendekati sahih.”

Di dalam kitab Sunan Abu Dawud yang dicetak kini, didapati jumlahnya adalah sebanyak 5,274 hadis. Perbezaan jumlah ini mungkin disebabkan perbezaan pengiraan pada hadis yang berulang.

Beliau membahagikan kitabnya ini kepada kitab kecil dan setiap kitab kecil dibahagikan pula kepada bab. Jumlah kitab kecilnya adalah sebanyak 35 buah manakala jumlah babnya sebanyak 1,871.

Sesudah selesai menyusun kitab Sunannya beliau menunjukkannya kepada gurunya, Imam Ahmad bin Hanbal, lalu dia memujinya sebagai kitab yang cukup elok dan baik. Kata Abu Bakr as-Saghani dan Ibrahim al-Harbi: “Hadis dilembutkan kepada Abu Dawud sepertimana besi dilembutkan kepada Nabi Dawud AS.”

Abu Dawud tidak hanya memasukkan hadis sahih sebagaimana metode Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, tetapi turut memasukkan hadis hasan, hadis daif dan hadis perawi yang tidak disepakati oleh ulama untuk ditinggalkan hadisnya. Ini kerana tujuan beliau ialah mengumpulkan hadis yang masyhur pada zamannya. Ini berdasarkan risalah yang beliau kirimkan kepada penduduk Makkah sebagai jawapan pertanyaan mereka mengenai kitab Sunannya.

Kata beliau: “Tidak ada dalam kitab Sunan yang aku susun ini seorang perawi pun yang ditinggalkan hadisnya”. Katanya lagi: “Manakala hadis yang mengandungi kelemahan yang berat dalam kitabku ini, maka aku jelaskan sebabnya. Antaranya, ada hadis yang tidak sahih sanadnya. Adapun hadis yang tidak kuberi komentar apa-apa, maka hadis berkenaan adalah salih (baik kedudukannya, sama ada sebagai iktibar atau hujah) dan sebahagiannya ada yang lebih sahih daripada yang lain.”

Murid beliau cukup ramai, antara mereka: at-Tirmizi, an-Nasa’i, Ahmad bin Ibrahim al-Baghdadi, Ahmad bin Ali al-Basri, Abu Bakr al-Khallal, Ismail bin Muhammad as-Saffar, Zakariya bin Yahya as-Saji, Ibnu Abi ad-Dunya, Ahmad bin Sulaiman an-Najjar, Muhammad bin Bakr bin Dasah at-Tammar, Muhammad bin Ahmad al-Lu’lu’i, Muhammad bin Ahmad bin Ya’qub al-Basri dan anak beliau Abu Bakr bin Abi Dawud.

Antara karya beliau yang lain ialah kitab al-Marasil yang mengandungi 600 hadis mursal, Risalah ila Ahli Makkah, Kitab al-Qadar, an-Nasikh wal-Mansukh, Fada’il al-Ansar, Kitab az-Zuhd, Dala’il an-Nubuwwah, Ibtida’ al-Wahyu, Akhbar al-Khawarij, Masa’il al-Imam Ahmad, Musnad Malik dan al-Du’a’.

Oleh kerana karismanya Abu Dawud, Putera Mahkota Abu Ahmad al-Muwaffaq pernah meminta beliau supaya tinggal di kota Basrah yang baru dihancurkan oleh pemberontak kulit hitam bagi memakmurkan semula majlis ilmu di sana agar kehidupan pulih seperti sedia kala. Lalu beliau pun menerimanya dan menetap di kota Basrah sehingga wafatnya pada 16 Syawal 275H pada usia 73 tahun.

Ditulis oleh: Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/03/688835/imam-abu-dawud-tulis-setengah-juta-hadis

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*