At-Tirmizi imam hadis tersohor dari kota Tirmiz

MASJID Nabawi di Madinah yang dirakam ketika era Kerajaan Uthmaniyah pada abad ke-19. Madinah antara lokasi kembara Imam at-Tirmizi ketika menimba ilmu. FOTO Arkib NSTP

MASJID Nabawi di Madinah yang dirakam ketika era Kerajaan Uthmaniyah pada abad ke-19. Madinah antara lokasi kembara Imam at-Tirmizi ketika menimba ilmu. FOTO Arkib NSTP

Kota Tirmiz di Uzbekistan di tebing utara Sungai Jaihun dahulu terkenal dengan ramai tokoh yang memberi sumbangan besar dalam Islam. Antara mereka yang tersohor ialah Imam Abu Isa at-Tirmizi.

Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dhahhak at-Tirmizi. Beliau lahir di kota Tirmiz pada 209H.

Beliau membesar di kota Tirmiz dengan asuhan keluarga dan didikan gurunya sebelum mula mengembara menuntut ilmu pada usia kira-kira 30 tahun. Dalam rangka menuntut ilmu, beliau mengembara jauh hingga Khurasan, Bukhara, Ray, Basrah, Kufah, Wasit, Baghdad, Makkah dan Madinah.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada ramai guru.
Di Baghdad beliau mendengar daripada ramai ulama seperti al-Hasan bin as-Sabbah, Ahmad bin Mani’, Abbas bin Muhammad ad-Duri, al-Walid bin Syuja’ dan Muhammad bin Ishaq as-Saghani. Antara guru lain adalah Qutaibah bin Said, Ishaq bin Rahuyah, Mahmud bin Ghailan, Ali bin Hujr, Amru bin Ali al-Fallas, Imran bin Musa al-Qazzaz, al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, ad-Darimi dan Hannad bin as-Sari.

At-Tirmizi memiliki ingatan yang cukup kuat walaupun baru hanya mendengar sekali. Pernah beliau tersilap membawa buku kosong untuk mendengar hadis daripada seorang syeikh. Namun, beliau meneruskan jua tekadnya. Apabila syeikh itu melihat kertas yang dipegangnya kosong, beliau menegur: “Tidakkah engkau malu denganku?” Lalu beliau membalas: “Aku menghafal semuanya.” Maka syeikh itu berkata: “Bacakanlah.” Maka dia pun membacakan kepadanya seluruhnya. Namun, syeikh itu menguji lagi: “Boleh jadi engkau menghafalkannya sebelum datang?” Maka bagi membuktikannya beliau memintanya agar meriwayatkan hadis yang lain. Lantas dibacakan 40 hadis dan berkata: “Cuba engkau ulangi semula.” Lalu beliau mengulanginya semula sehingga habis tanpa tersalah satu huruf pun.

Imam al-Bukhari pernah meriwayatkan hadis daripadanya kerana mengakui ketinggian ilmunya. Kata al-Bukhari: “Manfaat yang aku peroleh daripadamu lebih banyak daripada manfaat yang kamu peroleh daripadaku.”

Imam at-Tirmizi mengarang banyak kitab dan yang paling terkenal ialah kitab al-Jami’ yang popular dengan sebutan ‘Sunan at-Tirmizi’, satu daripada enam kitab hadis yang utama (al-Kutub as-Sittah) selain Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan an-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.

Ia selesai disusun pada 270H. Judul asalnya cukup panjang iaitu: al-Jami’ al-Mukhtasar min Sunan Rasulillah wa Ma’rifat as-Sahih wa al-Ma’lul wama ‘Alaihi al-‘Amal. Judul penuh ini penting diketahui kerana sepintas lalu ia menggambarkan manhaj at-Tirmizi dalam menyusunnya. Kata beliau: “Setelah aku susun kitab ini, aku bentangkannya kepada ulama Hijjaz, Iraq dan Khurasan serta mereka semua setuju dengannya.”

Antara keistimewaan kitabnya ialah hadisnya meliputi pelbagai topik dan bidang agama termasuk sirah, adab, tafsir dan akidah, tidak terbatas kepada hadis hukum sahaja.

Selain turut memuatkan perselisihan ulama mengenai istinbat hukum hadis, kedudukan perawi dari sudut al-jarh wa at-ta’dil dan status hadis pada setiap hadisnya sama ada sahih, hasan, gharib dan sebagainya. Beliau adalah orang pertama mempopularkan istilah hadis hasan yang sebelum itu hadis hanya dibahagikan kepada sahih dan daif.

Al-Hafiz Abu Ismail al-Harawi al-Ansari berkata: “Padaku kitab Abu Isa at-Tirmizi lebih bermanfaat daripada kitab al-Bukhari dan Muslim kerana kedua-duanya tidak dapat dimanfaatkan kecuali oleh orang yang benar-benar pakar dan tinggi ilmunya, sedangkan kitabnya ini disyarah dan dijelaskan hadisnya, justeru dapat dimanfaatkan oleh semua ahli fiqah serta ahli hadis.”

Hadis yang tercatat di dalamnya berjumlah sekitar 4,215 hadis yang diriwayatkan daripada 221 syeikh. Terdapat ramai ulama yang mensyarahkan Sunan at-Tirmizi. Syarahnya yang terbesar dalam bahasa Melayu dikarang oleh Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi dengan judul: Bahr al-Mazi.

Antara karya beliau yang lain ialah Kitab al-‘Ilal as-Saghir, al-‘Ilal al-Kabir, as-Syama’il an-Nabawiyyah, Tasmiyyat Ashab Rasulillah SAW, Kitab at-Tarikh, Kitab az-Zuhd dan al-Asma’ wa al-Kuna.

Pada akhir usianya beliau menjadi buta disebabkan banyaknya masa yang dihabiskan untuk menelaah ilmu. Ada yang mengatakan disebabkan beliau banyak menangis. Menurut Umar bin Allak: “Setelah al-Bukhari meninggal dunia, tidak terdapat di Khurasan orang yang sama seperti Abu Isa at-Tirmizi dari segi ilmu, hafazan, sifat warak dan zuhudnya. Beliau menangis sehingga buta dan kekal berkeadaan begitu beberapa tahun.”

Beliau meninggal dunia pada malam Isnin 13 Rejab 279H di Tirmiz pada usia 70 tahun.

Ditulis oleh: Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/03/686394/tirmizi-imam-hadis-tersohor-dari-kota-tirmiz

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*