Kaedah rungkai percanggahan antara hadis


Dalam disiplin hadis, dua hadis yang secara zahir bercanggah antara satu sama lain dapat dirungkaikan melalui tiga kaedah iaitu kaedah jam’ (penyelarasan), kaedah tarjih (pemilihan) atau kaedah naskh (pemansuhan). Syaratnya ialah kedua-dua hadis mestilah hadis yang sahih atau diterima. Perbincangan ilmu ini dinamakan sebagai mukhtalif al-hadith.

Kitab pertama yang dikarang dalam bab ini ialah Ikhtilaf al-Hadith oleh Imam as-Syafie (wafat 204H). Kemudian Takwil Mukhtalif al-Hadith oleh Ibn Qutaibah (wafat 276H) dan al-Tahqiq fi Ahadith al-Khilaf oleh Ibn al-Jauzi (wafat 597H).

Sebenarnya, semua hadis Nabi SAW yang sahih tidak bercanggah antara satu sama lain. Sekiranya bercanggah, ia sebenarnya hanya dari segi zahir, bukannya dari segi hakikat sebenar. Ulama menegaskan, kedua-dua hadis yang zahirnya bercanggah perlu diselaraskan terlebih dahulu supaya dapat diamalkan semuanya. Kaedah jam’ (penyelarasan) perlu diutamakan supaya kedua-dua hadis dapat diamalkan dengan cara memberikan setiap hadis maksud sesuai yang menjadikannya tidak bercanggah dengan hadis satu lagi. Misalnya, hadis: “Jika air mencapai dua qullah, ia tidak akan menanggung najis.” Hadis riwayat al-Tirmizi

Kadar dua qullah diperselisihkan ukurannya antara 160-270 liter. Hadis ini dikatakan bercanggah dengan hadis: “Air tidak dapat dinajiskan dengan sesuatu apapun melainkan apa yang dapat menukarkan bau, rasa dan warnanya.” Hadis Riwayat Ibn Majah

 Hadis pertama menyatakan, jika kadar air mencapai kadar dua qullah atau lebih maka air berkenaan tidak akan menjadi najis jika ada sedikit najis jatuh ke dalamnya, sama ada sifat air itu berubah atau tidak. Hadis kedua pula menunjukkan jika satu daripada sifat air itu berubah, air dikira menjadi najis sama ada kurang daripada dua qullah atau lebih.

Pada zahirnya, kedua-dua hadis bertentangan, tetapi kedua-duanya masih boleh diselaraskan dan diamalkan, sekali gus dengan tafsiran bahawa salah satu daripada hadis ini mengkhususkan keumuman yang ada pada hadis satu lagi.

Penjelasannya, apabila air mencapai kadar dua qullah atau lebih, ia tidak akan menjadi najis melainkan jika berubah satu daripada sifat air. Apabila air tidak mencapai kadar dua qullah pula, air terbabit boleh menjadi najis walaupun tidak berlaku perubahan pada sifat air. Melalui tafsiran sedemikian, kedua-dua hadis dapat diamalkan dan tidak wujud lagi percanggahan di antara kedua-duanya.

Misal lain, Nabi SAW bersabda: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada ramalan buruk, tidak ada sial burung hantu dan tidak ada sial bulan Safar. Dan larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.” Hadis riwayat al-Bukhari

Hadis ini dikatakan musykil kerana wujudnya penyakit yang berjangkit dan hadis yang zahirnya sedemikian, seperti hadis: “Janganlah pemilik unta yang sakit membawakannya kepada unta yang sihat.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim Hal ini dilihat sebagai satu percanggahan.

Ia juga bertentangan dengan hadis Nabi SAW pernah makan bersama pesakit kusta dan bersabda: “Bergantung penuh kepada Allah dan bertawakkal kepada-Nya.” Hadis riwayat Abu Dawud dan lain-lain

Menurut Imam Ibn al-Solah, penyakit itu tidak berjangkit dengan tabiinya sendiri, tetapi Allah SWT yang menjadikan percampuran orang yang sakit dengan orang sihat itu sebagai sebab dia menjangkitkan penyakitnya. Barangkali dia boleh terlepas daripada sebab itu dengan izin Allah juga, sama seperti sebab yang lain.

Kata Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Menurut jumhur ulama, cara menyatukannya ialah hadis: ‘Tidak ada penyakit berjangkit’ bermaksud untuk menafikan apa yang didakwa dan dipercayai oleh masyarakat Jahiliah bahawa suatu penyakit itu berjangkit dengan tabii semula jadinya, bukan dengan sebab perbuatan Allah Taala. Sementara hadis: “Janganlah pemilik unta yang sakit membawakannya kepada unta yang sihat” menunjukkan supaya menjauhi perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan pada kebiasaannya melalui perbuatan dan takdir Allah Taala jua.

Maka, baginda SAW menafikan dalam hadis pertama penyakit yang berjangkit dengan tabiinya sendiri namun tidak menafikan boleh berlaku kemudaratan ketika wujudnya penyakit itu dengan takdir dan perbuatan Allah Taala.

Dalam hadis kedua pula, baginda mengajar supaya berhati-hati daripada perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan dengan perbuatan, kehendak dan takdir Allah SWT. Ini adalah pandangan yang dipegang oleh jumhur ulama dan yang patut diikuti.

Berdasarkan penyelarasan ini, jelas tiada sebarang percanggahan antara hadis ini dengan hadis lain mahupun sains moden.

 

Ditulis Oleh: Dr Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, Institut Kajian Hadis & Aqidah (INHAD), KUIS

Sumber Artikel: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/10/629491/kaedah-rungkai-percanggahan-antara-hadis

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*