Keunggulan generasi perawi pertama


ANTARA keistimewaan Nabi Muhammad SAW yang dikurniakan oleh Allah SWT ialah mempunyai ramai pengikut setia yang menerus dan menyebarkan ajaran baginda. Mereka ini dikenali sebagai sahabat.

Selama 23 tahun sepanjang tempoh penurunan wahyu, golongan sahabat mempelajari al-Quran dan penjelasannya melalui hadis Nabi SAW secara tekun.

Ada antara mereka yang sentiasa bersama Nabi SAW dan ada juga yang jarang bersama baginda disebabkan pelbagai faktor seperti pekerjaan, tempat tinggal yang jauh, masih kecil dan sebagainya.

Oleh itu, dalam kalangan mereka, ada yang disebut sebagai sahabat senior (kibar as-sahabah) seperti Abu Bakr RA, Umar RA, Uthman RA dan Ali RA, malah ada yang disebut sebagai sahabat junior (sighar as-sahabah).

Tidak dapat dipastikan dengan tepat berapakah jumlah bilangan keseluruhan sahabat Nabi SAW yang wujud. Hanya terdapat beberapa anggaran kasar yang menggambarkan bilangan mereka secara umum. Antaranya, disebut oleh Abu Zur’ah ar-Razi: “Rasulullah SAW wafat meninggalkan kira-kira 114,000 orang yang meriwayatkan hadis dan mendengarnya daripada baginda”. Dalam riwayat lain disebut: 124,000.

Anggaran besar ini merangkumi lelaki, wanita, kanak-kanak dan rombongan kabilah Arab yang pernah datang bertemu Nabi SAW walaupun hanya sekali.

Bagaimanapun, tidak semua nama mereka diketahui. Hanya sebahagian yang berjaya direkodkan dalam kitab biografi sahabat RA seperti kitab Ma’rifah as-Sahabah oleh Abu Nu’aim, kitab al-Isti’ab fi Asma’ al-Ashab oleh Ibn Abdil Barr dan kitab Usdu al-Ghabah fi Ma’rifah as-Sahabah oleh Ibn al-Athir.

Namun, kitab yang paling lengkap dan terperinci kupasannya ialah kitab al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah oleh Ibn Hajar. Kitab ini mengandungi 12,267 biografi, termasuk orang yang diperselisihkan identitinya, sama ada dapat dikategorikan sebagai sahabat ataupun tidak.

Oleh kerana terdapat perbezaan tahap kekerapan sahabat bersama Nabi SAW, selain perbezaan proses pembelajaran mereka sama ada mengambil masa yang lama atau singkat maka sudah tentu terdapat pelbagai kedudukan dalam kalangan mereka dari sudut sedikit atau banyaknya ilmu pengetahuan yang diperoleh. Ibn Hibban di dalam kitab Masyahir ‘Ulama al-Amsar hanya menyenaraikan seramai 417 sahabat yang masyhur disebut sebagai ulama sahabat.

Sahabat adalah generasi perawi peringkat pertama yang menerima dan mendengar hadis Nabi SAW. Mereka adalah perantara terpenting dalam rantaian persambungan sanad hadis.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan jumlah hadis mereka riwayatkan daripada Nabi SAW, daripada sahabat yang hanya meriwayatkan satu hadis sehinggalah sahabat meriwayatkan ribuan hadis.

Dalam kalangan mereka, ada tujuh orang meriwayatkan lebih daripada 1,000 hadis dan dianggap sebagai sahabat yang paling banyak riwayatnya iaitu Abu Hurairah RA meriwayatkan 5,374 hadis, Ibn Umar RA meriwayatkan 2,630 hadis, Anas bin Malik RA meriwayatkan 2,286 hadis, Aisyah RA meriwayatkan 2,210 hadis, Ibn Abbas RA meriwayatkan 1,696 hadis, Jabir bin Abdullah RA meriwayatkan 1,540 hadis dan Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan 1,170 hadis.

Terdapat banyak hadis mengenai sanjungan Nabi SAW terhadap sahabatnya, sekali gus menunjukkan kedudukan mereka yang tinggi dalam Islam. Antaranya, hadis yang menyatakan kurun yang terbaik ialah kurun baginda dan sahabatnya, sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas’ud RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian orang yang datang setelah mereka, kemudian orang yang datang setelah mereka.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Dalam hadis lain, Abu Hurairah RA berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu mencaci sahabatku. Demi Allah yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sekiranya seseorang daripada kamu membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud sekali pun, nescaya tidak akan dapat menyamai satu cupak salah seorang mereka, bahkan setengah cupak daripadanya yang dibelanjakan ke jalan Allah.” Hadis Riwayat Muslim

Menurut pegangan Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ), semua sahabat RA adalah orang yang jujur dan adil (‘udul) dalam menyampaikan ajaran yang mereka terima secara langsung daripada Nabi SAW.

Oleh itu, berhati-hatilah jika ada fahaman yang bercanggah dengan pegangan ASWJ cuba mempertikai dan merendahkan kedudukan sahabat RA.

Jika didakwa ramai sahabat menderhakai Nabi SAW dan mereka tidak lagi dapat dipercayai, bagaimana kita boleh menerima hadis yang diriwayatkan oleh mereka?

Maka, fahaman yang menyeleweng seperti ini amat perlu dibanteras agar tidak terus menular dan memecahbelahkan umat Islam yang berpegang dengan prinsip ASWJ.

Ditulis Oleh: Dr Muhd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, Institut Kajian Hadis & Aqidah (INHAD), KUIS

Link Artikelhttps://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/617821/keunggulan-generasi-perawi-pertama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*