Kedudukan tinggi hadis mutawatir


Sekiranya sesuatu kejadian disaksikan oleh ramai orang, maka berita kejadian itu pastinya sukar untuk ditolak dan dinafikan. Ini berlainan jika kejadian berkenaan hanya disaksikan oleh seorang dua sahaja, berita kejadian itu mungkin mudah untuk ditolak dan dinafikan.

Ini kerana berita daripada ramai orang menyebabkan tidak mungkin dari segi akal mereka semua bersepakat mengada-adakan berita berkenaan. Berbeza dengan berita daripada seorang dua saja yang menyebabkan harus dari segi akal untuk dia atau mereka bersepakat mengada-adakan berita berkeanan.

Oleh itu, aspek kebolehpercayaan terhadap berita individu lebih perlu diberikan perhatian dan penelitian berbanding berita orang ramai. Demikian juga hadis Nabi SAW yang diriwayatkan kepada kita. Ada yang diriwayatkan oleh ramai perawi dan ada diriwayatkan oleh beberapa orang, malah seorang perawi sahaja.

Hadis yang diriwayatkan oleh ramai sahabat Nabi SAW dinamakan hadis mutawatir. Hadis yang hanya diriwayatkan oleh seorang atau beberapa orang sahabat Nabi SAW pula dinamakan sebagai hadis ahad.

Menurut disiplin ilmu hadis, hadis mutawatir ialah hadis yang mempunyai bilangan perawi yang ramai. Bilangan ramai ini pula ada pada setiap peringkat sanad, peringkat demi peringkat, daripada peringkat yang pertama sehingga peringkat yang terakhir sehingga akal secara logiknya menolak kemungkinan semua perawi itu bersepakat untuk mereka cipta atau membuat pendustaan terhadap hadis diriwayatkan.

Bagaimanapun, ulama berbeza pendapat berkaitan had bilangan minimum yang boleh dikatakan sebagai ‘ramai’ bagi perawi hadis mutawatir. Sebahagian ulama tidak menetapkan bilangan tertentu, asalkan isi kandungan hadis itu diterima dan diamalkan secara umum oleh ramai orang. Menurut sebahagian ulama pula seperti Imam as-Suyuti (wafat 911H) had bilangan minimumnya ialah 10 perawi.

Ciri hadis mutawatir juga mesti disandarkan kepada aspek pancaindera seperti penglihatan dan pendengaran. Ini supaya maklumat yang diketahui oleh ramai orang melalui akal fikiran seperti alam semesta ini baharu atau sifir matematik misalnya, tidak dinamakan sebagai mutawatir. Secara ringkas, hadis yang tidak memenuhi ciri-ciri itu, tidak boleh dianggap sebagai hadis mutawatir.

Ilmu diperoleh daripada hadis mutawatir menghasilkan keyakinan dan iktikad jazam yang tidak boleh dipertikaikan. Kedudukannya adalah sama seperti al-Quran yang sampai kepada kita secara mutawatir. Sekiranya ada orang yang mengingkari atau menolak satu ayat al-Quran, boleh menyebabkan dia jatuh kufur. Demikian juga orang yang menolak hadis mutawatir.

Keyakinan terhadap hadis mutawatir ini seperti seseorang yang menyaksikan suatu peristiwa yang berlaku di hadapan matanya, maka pengetahuan yang terhasil daripada penyaksian itu adalah satu keyakinan yang benar tanpa ada sebarang rasa ragu sedikit pun baginya.

Begitu juga dengan hadis mutawatir, ia perlu diterima tanpa sebarang rasa ragu lagi terhadap kebenaran nisbahnya kepada Nabi SAW. Oleh itu, ulama bersepakat bahawa hadis mutawatir adalah diterima sepenuhnya tanpa perlu diteliti keadaan perawinya.

Hadis mutawatir terbahagi kepada dua bahagian, iaitu mutawatir lafzi dan mutawatir ma’nawi. Mutawatir lafzi ialah hadis yang mutawatir dari segi lafaz dan maknanya sekali gus seperti hadis: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka tempahlah tempat duduknya di dalam api neraka”. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini diriwayatkan oleh lebih daripada 70 sahabat.

Mutawatir ma’nawi pula ialah hadis yang mutawatir dari segi maknanya sahaja, tidak dari segi lafaz. Ertinya, ia mempunyai lafaz yang pelbagai, namun membawa maksud yang sama. Seperti hadis berkaitan mengangkat kedua-dua tangan semasa berdoa. Perbuatan ini diriwayatkan dalam hampir 100 hadis bahawa Nabi SAW mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa. Bagaimanapun, situasi dan lafaz yang digunakan dalam setiap hadis itu berbeza-beza, walaupun semuanya menyatakan baginda mengangkat tangan ketika berdoa. Oleh itu, perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa ini adalah mutawatir dari segi makna hadis sahaja, tidak termasuk lafaznya.

Oleh kerana pentingnya kedudukan hadis mutawatir, sebahagian ulama berusaha mengumpulkannya di dalam kitab khusus seperti al-Azhar al-Mutanathirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh Imam al-Suyuti (wafat 911H) yang mengandungi sebanyak 113 hadis, Laqt al-La’ali’ al-Mutanathirah oleh Imam Murtada al-Zabidi (wafat 1205 H) dan Nazm al-Mutanathir min al-Hadith al-Mutawatir oleh Syeikh Muhammad bin Jaafar al-Kattani (wafat 1345 H) yang mengandungi sebanyak 310 hadis.

 

Ditulis oleh: Dr. Muhd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, Institut Kajian Hadis & Aqidah (INHAD), KUIS

Link Artikel: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/624709/kedudukan-tinggi-hadis-mutawatir

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*