Cabaran intelektual terhadap Hadis Sahih


ULAMA Ahli Sunah Waljamaah bersepakat menyatakan kitab Sahih al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih antara kitab ilmu pernah dihasilkan. Kitab sahih kedua sesudahnya ialah kitab Sahih Muslim. Kenyataan ini fakta ilmiah yang disepakati oleh ulama dulu dan kini.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari menyatakan: “Kedua-dua kitab ini adalah kitab yang paling sahih selepas al-Quran yang mulia.”

Namun sebelum kemunculan kedua-duanya, Imam al-Syafie mengatakan orang pertama yang mengarang kitab sahih ialah gurunya, Imam Malik yang hidup pada kurun kedua Hijrah.

Kata beliau: “Tidak aku ketahui kitab yang paling sahih setelah Kitab Allah melainkan kitab Muwatta’ Imam Malik.” Dalam soal ini, al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan bahawa kenyataan Imam al-Syafie itu diucapkan ketika Sahih al-Bukhari belum disusun.

Selepas muncul kitab Sahih al-Bukhari dalam kurun ketiga Hijrah yang mengandungi hadis sahih sepenuhnya, Muwatta’ Imam Malik tidak lagi berada di tangga pertama disebabkan terdapat sebilangan hadis yang terputus sanad, selain terdapat athar sahabat dan tabiin di dalamnya.

Imam al-Bukhari meletakkan syarat yang cukup ketat berhubung sanad hadis. Selain mensyaratkan setiap perawi adalah orang yang boleh dipercayai, beliau turut mensyaratkan mesti terdapat bukti setiap perawi pernah berjumpa antara satu sama lain, walaupun hanya sekali.

Berbanding dengan Imam Muslim, bukti pertemuan itu tidak disyaratkan kerana memadai diketahui setiap perawi hidup sezaman dengan gurunya maka sudah tentu mereka bertemu.

Ini kerana kebolehpercayaan terhadap kredibiliti dan kejujuran mereka sudah pun cukup untuk diyakini.

Bukti itu hanyalah syarat tambahan Imam al-Bukhari bagi menambahkan lagi keyakinan terhadap hadis yang diriwayatkan. Selain semua hadis kitab sahihnya disaring dan dipilih daripada kalangan perawi yang memiliki kedudukan adil tertinggi.

Pengiktirafan ulama terhadap kitab Sahih al-Bukhari menggambarkan piawaian hadis dan kualiti perawi diterima serta diakui riwayatnya oleh al-Bukhari adalah penanda aras tertinggi bagi hadis sahih dalam Islam yang tidak dijumpai seumpamanya dalam mana-mana tamadun lain.

Malah, kitab hadis sahih lain seperti Sahih Ibn Khuzaimah, Sahih Ibn Hibban, al-Mustadrak oleh al-Hakim, al-Ahadith al-Mukhtarah oleh Dhiya’uddin al-Maqdisi dan lainnya belum dapat menyamai standard yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari itu.

Bagaimanapun, fahaman yang memusuhi Ahli Sunah Waljamaah antaranya golongan antihadis dan begitu juga golongan memusuhi Islam seperti ramai orientalis barat sering berusaha untuk menjatuhkan kredibiliti kitab Sahih al-Bukhari. Ini kerana jika mereka berjaya menggoyahkan kepercayaan umat Islam terhadap kitab Sahih al-Bukhari, nescaya mudahlah bagi mereka untuk menggoyahkan kepercayaan umat Islam terhadap kitab hadis yang lain.

Antara tokoh orientalis terkenal yang mengkaji bidang hadis ialah antaranya Aloys Sprenger, William Muir, Ignaz Goldziher, Joseph Schacht dan G H A Juynboll.

Mereka mendakwa hadis seperti di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan lainnya adalah rekaan perawi hadis atau nukilan riwayat daripada umat terdahulu.

Malah, Goldziher mendakwa ulama hadis tidak cermat menilai aspek matan hadis sehingga ada hadis yang bersifat tahyul dan tidak logik dimuatkan ke dalam kitab mereka.

Dakwaan tanpa asas yang kukuh ini sudah tentu tidak boleh diterima oleh umat Islam. Namun, yang cukup mendukacitakan, masih ada segelintir orang Islam yang terpengaruh dengan propaganda sebegitu yang kononnya dibuat atas nama kajian intelektual. Golongan Islam liberal misalnya sering mengetengahkan perkara yang hampir serupa dalam sesetengah isu yang dibangkitkan. Lebih melampau lagi, seorang liberalis dari Timur Tengah, Zakaria Ouzon menulis sebuah buku berjudul Jinayat al-Bukhari yang kononnya membongkar jenayah ilmiah yang dilakukan oleh Imam al-Bukhari.

Walhal jika mereka mengikuti disiplin pengajian Islam secara mendalam, jawapannya secara tuntas sudah pun dijelaskan oleh ulama sejak dulu. Antara buku terbaik yang dihasilkan untuk menjawab tohmahan sebegini ialah Studies in Early Hadith Literature: With a Critical Edition of Some Early Texts oleh Dr Muhammad Mustafa al-Azami.

Keseluruhan hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi SAW, bukan saja membabitkan aspek keagamaan semata-mata, bahkan mencakupi semua aspek kehidupan manusia dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Perlu diketahui, tidak semua hadis sahih hanya terkandung di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim saja, bahkan ia wujud secara berselerak di dalam banyak kitab hadis yang lain antaranya Musnad Ahmad, Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i, Sunan Ibn Majah serta Sunan ad-Darimi.

Bagaimanapun, tidak semua hadis yang dinilai sahih disepakati statusnya oleh ulama disebabkan perselisihan mereka mengenai kriteria tertentu. Ini berlaku antaranya kerana rujuk silang yang dibuat antara bidang pengkhususan bagi memastikan keseimbangan ijtihad yang mereka amalkan. Contohnya Imam Malik, lebih mengutamakan amalan ahli Madinah dengan hujah amalan mereka warisi daripada datuk nenek mereka yang pernah bersama Nabi SAW atau sahabat itu lebih meyakinkan.

Oleh itu, secara umum hadis sahih mungkin boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hadis sahih disepakati oleh ulama dan hadis sahih yang diperselisihkan kedudukannya oleh mereka.

Sekiranya kita meneliti secara mendalam, dapat diamati tidak semua hadis sahih disepakati ulama merangkumi semua perincian yang datang daripada Nabi SAW pada hakikat sebenarnya.

Ini sebagaimana tidak semua perincian yang datang daripada Nabi SAW pada hakikat sebenarnya itu dirangkumi semuanya oleh hadis sahih yang disepakati oleh mereka.

Jika tidak, pasti tak berlaku ijtihad dan khilaf dalam kalangan sahabat RA, tabiin RA dan ulama dalam banyak isu serta masalah furuk agama. Di medan ijtihad inilah, hadis yang diperselisihkan status sahih atau penghujahannya dalam kalangan ulama, berperanan bagi memperincikan semua yang datang daripada Nabi SAW.

Bukan itu saja, malah dalam menghadapi arus semasa dan isu baharu yang sentiasa muncul, mereka mampu menangani serta menyelaraskannya melalui ijtihad supaya bertepatan dengan tuntutan syariat baginda SAW. Khilaf atau perselisihan pendapat dari aspek sebegini yang dianggap sebagai muktabar dan suatu rahmat bagi umat Islam dalam memberikan keluasan buat mereka dan tidak menyempitkannya.

Ditulis oleh: Dr Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, Institut Kajian Hadis & Aqidah, KUIS

Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/07/601442/cabaran-intelektual-terhadap-hadis-sahih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*