AHLI HADIS PERINTIS KONSEP BERITA SAHIH


DALAM disiplin pengajian Islam, ulama bersepakat kitab yang paling sahih sesudah al-Quran al-Karim ialah kitab Sahih al-Bukhari oleh Imam Muhammad bin Isma’il al-Bukhari.

Kitab sahih kedua ialah kitab Sahih Muslim oleh Imam Muslim bin al-Hajjaj. Berdasarkan kaedah kedua-dua kitab ulama ini mengeluarkan syarat bagaimana menentukan hadis sebagai sahih.

Secara asas, konsep hadis sahih adalah berpandukan pada firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” Surah al-Hujurat, ayat 6

Daripada ayat al-Quran inilah konsep ‘tabayyun’ (selidik) diambil. Penetapan ulama terhadap syarat hadis sahih adalah perincian terhadap konsep berkenaan.

Secara ringkas, hadis sahih mesti memiliki lima syarat. Pertama, bersambung sanad dan tidak terputus antara seorang perawi dengan perawi yang lain.

Kedua, semua perawi yang meriwayatkannya mesti bersifat adil dan jujur. Ketiga, semua perawi berkenaan perlu mengingat atau menjaga hadis yang diriwayatkannya dengan baik. Keempat, tiada sebarang keraguan atau kekeliruan pada hadis. Kelima, tiada sebarang cacat cela pada hadis.

Oleh itu, sekiranya sesuatu hadis menepati kelima-lima syarat ini barulah ia dianggap sahih daripada Nabi SAW. Sekiranya hilang satu daripadanya maka hadis boleh dinilai daif kerana tidak mencukupi syarat hadis sahih.

Huraian lanjut mengenainya dijelaskan secara terperinci oleh ulama hadis seperti Ibnu as-Salah dalam kitab al-Muqaddimah, Ibnu Hajar dalam Nuzhat an-Nazar, as-Suyuti dalam Tadrib ar-Rawi dan lainnya.

Syarat pertama, kedua dan ketiga, lebih menekankan kepada aspek sanad hadis. Adapun syarat keempat dan kelima pula, membabitkan aspek sanad
serta matan hadis.

Oleh itu, tidak semua hadis yang sanadnya sahih boleh terus diamalkan begitu saja tanpa perlu melihat kepada aspek matan atau lainnya.

Misalnya, dalam bidang qiraat al-Quran, ada hadis yang sahih namun ia tidak diterima sebagai qiraat yang sahih di sisi imam qiraat yang muktabar. Dalam bidang fiqah pula, ‘Abdus Salam Muhammad ‘Allusy dalam kitab beliau al-Intiha’ li-Ma’rifah al-Ahadith Allati lam Yufti biha al-Fuqaha’ (1996) menghimpunkan kira-kira 25 hadis yang dinilai sahih atau hasan, tetapi tiada seorang pun daripada kalangan fuqaha muktabar menggunakannya sebagai dalil hukum.

Dalam Mazhab Syafie juga, ada hadis sahih yang tidak dijadikan dalil hukum disebabkan faktor tertentu. Ini kerana sesuatu hadis sahih tidak ditinggalkan oleh Imam as-Syafie melainkan disebabkan oleh faktor sama ada hadis berkenaan mansukh hukumnya atau sanadnya saja sahih, tetapi matannya terdapat masalah atau ia bersifat umum dan dikhususkan oleh hadis sahih lain atau ia mempunyai takwilan lebih tepat, terutama jika ada dua bentuk hadis yang zahirnya kelihatan bercanggah antara satu sama lain atau sebagainya.

Oleh itu, kata-kata Imam as-Syafie: “Jika sahih sesuatu hadis itu maka ia adalah mazhabku” perlu difahami berdasarkan faktor berkenaan.

Menurut Imam Taqiy al-Din as-Subki dalam menjelaskan kata-kata itu, tidak ada satu hadis sahih pun yang ditinggalkan oleh Imam as-Syafie tanpa sebarang alasan yang munasabah. Di atas kaedah ini, ulama Mazhab Syafie di sepanjang zaman memastikan agar semua hukum-hakam mazhab mereka dibina di atas dalil yang sahih, kuat atau dilihat terbaik.

Demikian juga yang dilakukan oleh ulama mazhab muktabar yang lain. Oleh itu, penilaian hadis sebagai sahih adakalanya bersifat relatif. Ini disebabkan antaranya, perselisihan pandangan mengenai kredibiliti perawi yang meriwayatkannya dan perselisihan dalam menetapkan sesuatu kaedah pengukuran terhadap hadis. Adakalanya suatu hadis yang sahih menimbulkan beberapa penafsiran yang berbeza dalam kalangan ulama disebabkan aspek pemahaman bahasa dan sebagainya. Apa yang penting, kita perlulah memahami perbezaan cara dan pendekatan di sisi mereka dalam berinteraksi dengan hadis Nabi SAW.

Jelasnya, perlaksanaan konsep ‘tabayyun’ bukanlah dilakukan secara sembarangan, sebaliknya ia mempunyai kaedah tertentu yang wajar difahami dan diikuti. Tujuannya bagi memastikan hadis atau khabar berita yang diterima tidak mengandungi sebarang keraguan mahupun kesilapan.

Konsep ‘tabayyun’ berserta syarat hadis sahih yang dijelaskan sebenarnya juga amat sesuai untuk diaplikasikan dalam bidang kewartawanan, penyelidikan, penyiasatan atau apa juga proses pemerolehan khabar berita bagi memastikan ia tepat dan benar.

 

Ditulis Oleh: Dr Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, Institut Kajian Hadis & Aqidah (INHAD), KUIS

Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/07/599005/ahli-hadis-perintis-konsep-berita-sahih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*