ULAMA PEWARIS NABI: KEKANG CUBAAN CALAR IMEJ


Oleh: Dr Mohd Khafidz Soroni, Ketua Unit Hadis & Penyelidikan, Institut Kajian Hadis & Aqidah (INHAD), KUIS

UMAT Islam bukan sahaja perlu kepada hadis yang sahih sebagai hujah, tetapi mereka juga perlu kepada kefahaman yang sahih sebagai pegangan.

Dalam syariat Islam, kefahaman yang sahih terhadap agama bukan dimiliki oleh semua orang, sebaliknya dimiliki dan dipelihara oleh kalangan alim ulama.

Walaupun mereka ini bukan nabi namun selepas kewafatan Nabi SAW sudah tentu merekalah yang meneruskan tugas Nabi SAW dan menggalas tanggungjawab dengan segala kebijaksanaan yang dimiliki.

 Dengan usaha gigih mereka, warisan al-Quran dan hadis dapat dipelihara sehingga kini secara tulen buat umat Islam. Justeru, ungkapan seperti, ‘Ulama bukan tahu benda ghaib’, ‘Bila ulama jadi Nabi?’ dan seumpamanya meskipun zahirnya benar, jika disalah guna boleh menghakis kepercayaan masyarakat Islam kepada ulama.

Sedangkan ulama adalah pewaris ilmu yang unggul sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi.” (HR Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Pengiktirafan hadis ini menunjukkan golongan ulama bukan saja mewarisi sumber wahyu yang sahih, bahkan mereka juga mewarisi kefahaman yang sahih terhadap agama.

Kefahaman yang sahih ini pernah disinggung Saidina Ali bin Abi Talib RA, di mana beliau pernah ditanya: “Adakah di sisimu satu kitab lain?” Beliau menjawab: “Tidak ada melainkan al-Quran, kefahaman yang diberikan kepada seorang Muslim atau apa yang terkandung di dalam sahifah ini” iaitu beberapa catatan hadis Nabi SAW (HR al-Bukhari dan lain-lain).

Bagi menjaga kefahaman yang sahih, kalangan ulama sudah menyusun disiplin ilmu usul. Maka, setiap bidang ada ilmu usulnya seperti usul akidah, usul tafsir, usul hadis, usul fiqh, usul tasawuf dan sebagainya.

Dalam usaha menyusun ilmu usul ini, tidak dinafikan terdapat perselisihan dalam kalangan ulama mengenai sesetengah usul yang dikemukakan.

Dalam bidang fiqah misalnya, perbezaan ini walaupun sedikit menatijahkan kemunculan mazhab di dalam Islam.

Terdapat pelbagai mazhab yang muncul pada awalnya namun akhirnya hanya tinggal empat mazhab saja yang disepakati sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Ulama dalam setiap mazhab ini berjalan di atas usul mazhab masing-masing yang menurut ijtihad mereka dapat menjaga kefahaman yang sahih terhadap agama.

Dalam berbeza pandangan, perselisihan umumnya berjalan dengan harmoni kerana masing-masing memahami perbezaan usul yang digunakan.

Dengan ilmu yang cukup tinggi, namun bersikap tawaduk, majoriti ulama tidak sesuka hati keluar daripada empat mazhab fiqah berkenaan kerana takut tergelincir daripada landasan kefahaman yang sahih jika mereka berlagak pandai sendiri.

Justeru itu, empat mazhab yang muktabar ini dengan berbagai sempadan geografinya kekal hingga ke hari ini di dunia Islam.

Melalui kefahaman dan ijtihad yang sahih di sisi mereka, maka mereka mampu mengeluarkan dalil, mengistinbat hukum, menangani isu semasa dan sebagainya.

Hal yang seumpama ini turut berlaku dalam bidang akidah dan tasawuf. Kepercayaan dan keyakinan ulama terhadap manhaj usul masing-masing terus diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Tidak timbul soal ketaasuban kerana ketaasuban hanya berbahaya apabila mempertahankan kefahaman yang jelas disepakati sebagai salah.

Tanpa kefahaman yang sahih, hadis yang sahih pun boleh disalah fahami. Misalnya apabila diajukan hadis sahih bahawa Rasululah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan akan dilipat 10 kali ganda. Aku tidak mengatakan, alif lam mim sebagai satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (HR at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

Lalu ada yang menyindir: “Perkataan Iblis, Syaitan dan Firaun pun ayat al-Quran, adakah menyebutnya dengan niat membaca al-Quran juga mendapat pahala?” Sedangkan pemahaman hadis ini secara sahih sudah diikat oleh banyak dalil lain seperti hadis mengenai orang yang membaca al-Quran, tetapi mendapat kehinaan daripada Allah SWT, iaitu sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat (memuliakan) dengan sebab al-Quran ini sebilangan kaum dan akan merendahkan (menghinakan) dengan sebabnya sebilangan yang lain.” (HR Muslim)

Justeru, ungkapan yang merendahkan kedudukan golongan ulama haruslah dipantau dan diawasi kerana dikhuatiri jika dibiarkan nanti akan hilang kepercayaan masyarakat kepada golongan ini.

Apabila hilang kepercayaan mereka kepada ulama, maka dikhuatiri mereka akan mengambil pula orang yang jahil sebagai pedoman dan ikutan, lalu mereka pun sesat dan menyesatkan, sekalipun mendakwa kononnya berpegang dengan al-Quran dan sunah.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/06/593665/ulama-pewaris-nabi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*