HADIS PALSU: SUARA KUAT DI PERTENGAHAN BULAN RAMADAN

true and false chat symbol

Keistimewaan Ramadan seperti ganjaran pahala berlipat kali ganda dan keampunan Allah SWT yang terbuka luas, menjadikan bulan itu dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, sangat rugi sekiranya ada yang tidak berusaha untuk merebut peluang terbuka dengan melipatgandakan dan mempelbagaikan bentuk amalan sepanjang Ramadan kelak. Namun begitu, saban tahun juga berlegar di media sosial berkaitan huru-hara akhir zaman yang terjadi pada pertengahan bulan Ramadhan yang bertepatan dengan hari Jumaat.

1. Sebelum membahaskan isu ini, perlu diingatkan kepada semua umat Islam, sesuatu hukum tidak boleh dibina kecuali berasaskan dalil yang kuat seperti al-Quran dan hadis. Berhubung dengan al-Quran memang tidak dinafikan yang ia sangat tepat dan mustahil berlakunya penipuan. Hadis Nabi SAW pula tidak boleh diambil dalam bab akidah dan hukum kecuali hadis yang diiktiraf sahih oleh ulama hadis. Ini bermakna hadis palsu tidak boleh dijadikan sandaran untuk penentuan sesuatu hukum.

2. Berkaitan dengan riwayat yang menjadi perbincangan kali ini, berikut kami nyatakan sanad dan matannya:

قَالَ نُعَيْمٌ بْنُ حَمَّادٍ : حَدَّثَنَا أَبُو عُمَرَ عَنِ ابْنِ لَهِيعَةَ قَالَ : حَدَّثَنِي عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ حُسَيْنٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ ثَابِتٍ الْبُنَانِيِّ عَنْ أَبِيهِ عَنِ الْحَارِثِ الْهَمْدَانِيِّ عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إذا كانَتْ صَيْحَةٌ في رمضان فإنه تكون مَعْمَعَةٌ في شوال، وتميز القبائل في ذي القعدة، وتُسْفَكُ الدِّماءُ في ذي الحجة والمحرم.. قال: قلنا: وما الصيحة يا رسول الله؟ قال: هذه في النصف من رمضان ليلة الجمعة فتكون هدة توقظ النائم وتقعد القائم وتخرج العواتق من خدورهن في ليلة جمعة في سنة كثيرة الزلازل ، فإذا صَلَّيْتُمْ الفَجْرَ من يوم الجمعة فادخلوا بيوتكم، وأغلقوا أبوابكم، وسدوا كواكـم، ودَثِّرُوْا أَنْفُسَكُمْ، وَسُـدُّوْا آذَانَكُمْ إذا أَحْسَسْتُمْ بالصيحة فَخَرُّوْا للهِ سجدًا، وَقُوْلُوْا سُبْحَانَ اللهِ اْلقُدُّوْسِ، سُبْحَانَ اللهِ اْلقُدُّوْسِ ، ربنا القدوس فَمَنْ يَفْعَلُ ذَلك نَجَا، وَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ هَلَكَ.
[Nu‘aim bin Hammad, Al-Fitan, I/228, No.638]

Maksudnya:

Nu‘aim ibn Hammad berkata: “Telah menceritakan kepada kami Abu ‘Umar, dari Ibn Lahi‘ah berkata: Telah menceritakan kepadaku ‘Abd al-Wahhab ibn Husain, dari Muhammad ibn Thabit Al-Bunani, dari ayahnya, dari Al-Harith Al-Hamdani, dari Ibn Mas‘ud RA, dari Nabi SAW bersabda: “Apabila telah muncul suara di bulan Ramadan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawal, kabilah-kabilah saling bermusuhan di bulan Zulkaedah, dan berlaku pertumpahan darah di bulan Zulhijah dan Muharam”. Kami bertanya: “Suara apakah wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Suara kuat di pertengahan bulan Ramadan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang mengejutkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari biliknya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, maka masuklah ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintumu, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara pekikan, maka bersujudlah kepada Allah SWT dan ucapkanlah: “Maha Suci Allah Al-Quddus, Maha Suci Allah Al-Quddus, Tuhan kami Al-Quddus”, kerana barang siapa melakukan hal itu akan berjaya, dan barang siapa yang tidak melakukan perkara itu, nescaya akan binasa”.”

3. Hadis ini tarafnya adalah palsu. Pada sanadnya terdapat beberapa perawi hadis yang bermasalah sebagaimana dibincangkan oleh ulama hadis. Para perawi tersebut ialah sebagaimana berikut:

i. Nu‘aim ibn Hammad
Meskipun beliau termasuk Imam dan menjadi pembela Sunnah, tetapi tidak dapat dijadikan hujah apa yang diriwayatkannya kecuali jika disokong oleh riwayat lain. Al-Nasa’i berkata: “Dia tidak thiqah” (An-Nasa’i, Al-Du‘afa wa al-Matrukin, I/101, no.589). Imam Al-Dhahabi berkata tentangnya: “Tidak boleh bagi siapa pun berhujah dengannya, dan ia telah menyusun kitab Al-Fitan, dan menyebutkan di dalamnya keanehan-keanehan dan kemunkaran-kemunkaran” (Al-Siyar A’lam Al-Nubala’, X/609). Imam Al-Azdi mengatakan: “Dia termasuk orang yang memalsukan hadis dalam membela Sunnah, dan membuat kisah-kisah palsu tentang keburukan Al-Nu’man (Abu Hanifah), yang semuanya itu adalah dusta” (Mizan Al-I’tidal, IV/267). Bagaimanapun, pendapat yang lebih adil tentang beliau ialah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dalam Taqrib al-Tahzib iaitu: “Seorang yang benar, namun banyak kesilapan, seorang faqih lagi arif tentang ilmu faraid…, Ibn ‘Adi telah menyelidiki kesilapan-kesilapan yang dilakukannya. Menurut beliau, baki hadis-hadisnya yang lain adalah benar”.

ii. Abu ‘Umar
Nama beliau adalah Hammad ibn Waqid, yang digolongkan sebagai Daif. Imam al-Bukhari mengatakan bahawa beliau adalah munkar hadisnya (al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, 3/28).

iii. Ibn Lahi‘ah
Al-Nasa’i berkata: “Dia seorang yang lemah” (Al-Du‘afa wa Al-Matrukin, I/64, no.346). Ibn Hajar Al-‘Asqalani berkata: “Dia mengalami kekeliruan di dalam hafazannya setelah kitab-kitab hadisnya terbakar” (Taqrib Al-Tahdhib, I/319 no.3563). Dalam ilmu hadis, ia digolongkan sebagai orang yang tidak kuat ingatan (dabit).

iv. Abdul Wahhab ibn Husain
Al-Hakim berkata: “Dia seorang perawi yang majhul” (Al-Mustadrak No. 8590).

v. Muhammad ibn Thabit Al-Bunani
Yahya ibn Ma‘in berkata: “Dia seorang perawi yang tidak ada apa-apanya” (Ibn ‘Adi, Al-Kamil Fi Du’afa Al-Rijal, VI/136 no.1638). Ibn Hibban berkata: “Tidak boleh berhujah dengannya, dan tidak boleh pula meriwayatkan darinya” (Al-Majruhin, Ibn Hibban, II/252, no.928). Imam Al-Azdi berkata: “Dia seorang yang gugur riwayatnya” (Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Tahdhib Al-Tahdhib, IX/72, no.104).

vi. Al-Harits bin Abdullah Al-A’war Al-Hamdani.
Al-Nasa’i berkata: “Dia bukan seorang perawi yang kuat hafazannya” (Ibn ‘Adi, Al-Kamil Fi Du’afa Al-Rijal, II/186, no.370). Ibn Hajar Al-Asqalani berkata: “Imam Al-Sha‘bi telah mendustakan pendapat akalnya, dan dia juga dituduh menganut mazhab Syiah Rafidhah, dan di dalam hadisnya terdapat kelemahan” (Taqrib Al-Tahdhib, I/146, no.1029). Abu Hatim Al-Razi berkata: “Dia tidak dapat dijadikan hujah.” (Al-Dhahabi, Siyar A’lam Al-Nubala’, IV/152, no.54).

4. Terdapat hadis lain seperti hadis Ibn Mas‘ud RA ini, daripada hadis Fairuz ad-Dailami RA. Namun, hadis ini juga sanadnya turut bermasalah sehingga dinilai palsu atau munkar oleh ramai pengkritik hadis. Berikut dinukilkan beberapa pandangan ulama berkaitan hadis tersebut. Imam Ibn al-Jawzi merekodkannya sebagai hadis palsu di dlm kitab al-Mawdu‘at, katanya: “Tidak sahih”. Penilaian ini turut diperakui oleh as-Suyuti dlm al-La’ali’ al-Masnu‘ah. Kata az-Zahabi dlm Talkhis al-Mawdu‘at: “Batil”. Menurut al-Juzaqani dlm al-Abatil wa al-Manakir: “Hadis munkar”. Kata al-Haithami dlm Majma‘ al-Zawa’id: “Terdapat padanya ‘Abd al-Wahhab bin ad-Dhahhak seorg yg matruk”.

5. Oleh sebab itu, hadis-hadis ini tidak dapat dijadikan sebagai hujah. Apatah lagi hadis ini berkaitan dengan perkara ghaib yang tidak diketahui oleh siapa pun. Dalam permasalahan ghaib, kita tidak boleh menggunakan hadis yang bermasalah sebagai dalil, kecuali jika ia sekadar berkaitan dengan bab targhib wa tarhib (galakan dan ancaman). Selain itu, realiti kehidupan pun turut sama membuktikannya. Sebagaimana diketahui, telah berlalu tahun-tahun yang lepas dan telah berulang kali kita berada pada hari Jumaat yang bertepatan dengan tarikh lima belas Ramadan, namun hakikatnya tidak pernah terjadi sebagaimana maklumat yang terkandung di dalam riwayat di atas.

6. Hadis palsu sebegini tidak boleh disebarluaskan, kerana telah menyandarkan suatu perkara yang tidak tepat kepada Rasulullah SAW. Para ulama menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadis palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya.

7. Menjadi kewajipan kita semua untuk mengenal pasti sumber dan status, hukum sesebuah hadis sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampaikan atau menyebarkannya. Ini kerana, bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadis tersebut, akan menyebabkan kita termasuk ke dalam ancaman Nabi SAW: “Barang siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka sediakan tempat duduknya di neraka”. (HR al-Bukhari dan Muslim, no. 3).

Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga daripada penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.

Wallahu a‘lam bis-sawab.

Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*