COVID-19: TAUBAT PENOLAK BALA

  1. Terdapat pelbagai amalan yang dianjurkan oleh syarak bagi menolak dan mengangkat bala bencana yang diturunkan oleh Allah SWT, seperti meneguhkan ketaqwaan kepada Allah SWT, melaksanakan solat dengan penuh khusyuk, berdoa dengan bersungguh-sungguh, berzikir, bersedekah dan sebagainya. Antaranya lagi ialah bertaubat kepada Allah SWT daripada segala dosa dan maksiat yang dilakukan. Ini kerana firman Allah SWT:

وَمَآ أَصَٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٖ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِيكُمۡ وَيَعۡفُواْ عَن كَثِيرٖ

Terjemahan: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan dosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu”. (al-Syura: 30)

Dalam firman Allah SWT yang lain:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Terjemahan: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (al-A‘raf: 96)

  1. Bala dan azab yang diturunkan akibat kekufuran, dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia merupakan adat Allah SWT kepada umat manusia sejak dari dahulu. Firman-Nya:

فَكُلًّا أَخَذۡنَا بِذَنۢبِهِۦۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ أَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِ حَاصِبٗا وَمِنۡهُم مَّنۡ أَخَذَتۡهُ ٱلصَّيۡحَةُ وَمِنۡهُم مَّنۡ خَسَفۡنَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ وَمِنۡهُم مَّنۡ أَغۡرَقۡنَاۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظۡلِمَهُمۡ وَلَٰكِن كَانُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ يَظۡلِمُونَ

Terjemahan: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan bunyi yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”. (al-‘Ankabut: 40)

  1. Maka, manusia perlu kembali kepada Penciptanya memohon ampun dan taubat kepadaNya supaya bala dan azab yang diturunkan akan diangkat semula olehNya. Antara kisah bagaimana Allah SWT mengangkat azab daripada sesuatu kaum dengan sebab taubat daripada mereka ialah kisah kaum Nabi Yunus AS apabila baginda menjanjikan kepada mereka turunnya azab dalam tempoh tiga hari akibat keingkaran dan kedegilan mereka. Lantas kerana berasa takut mereka pun bertaubat kepada Allah SWT, namun tanpa diketahui oleh Nabi Yunus. Maka, apabila baginda melihat azab tidak diturunkan, baginda pun rasa bersalah dan lari meninggalkan kaumnya dengan menaiki sebuah kapal. Walhal Allah SWT telah pun menahan azab tersebut kerana taubat daripada kaumnya itu. (HR Ibn Abi Syaibah, Ahmad dalam al-Zuhd, Ibn Abi Hatim dan lain-lain daripada athar Ibn Mas‘ud RA. al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari menilai sanad Ibn Abi Hatim sebagai sahih)

Peristiwa ini turut disebut dalam al-Quran, iaitu dalam firman Allah SWT:

فَلَوۡلَا كَانَتۡ قَرۡيَةٌ ءَامَنَتۡ فَنَفَعَهَآ إِيمَٰنُهَآ إِلَّا قَوۡمَ يُونُسَ لَمَّآ ءَامَنُواْ كَشَفۡنَا عَنۡهُمۡ عَذَابَ ٱلۡخِزۡيِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَمَتَّعۡنَٰهُمۡ إِلَىٰ حِينٖ

Terjemahan: “(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan)”. (Yunus: 98)

 

Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD)

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*