
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac 2020. Virus ini telah menular secara meluas ke seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Virus yang mula dikesan di Wuhan, China pada bulan Disember 2019 ini menunjukkan sehingga 22 Mac 2020, terdapat kira-kira 1,306 kes telah disahkan positif Covid-19 dengan merekodkan 10 kematian dalam negara.
Dalam suasana yang mendukacitakan ini, sebagai muslim yang baik kita seharusnya cakna dan lebih prihatin terhadap maklumat yang ingin ditularkan. Hendaklah melakukan tabayyun terlebih dahulu dalam menerima dan menyebarkan maklumat. Apatah lagi jika berita tersebut berkaitan dengan maruah sesama muslim ataupun berkaitan dengan kepentingan masyarakat awam (keamanan, keadaan darurat, fitnah, keharmonian) dan sebagainya.
- Mari kita membaca hadis yang diriwayatkan oleh Abū Hurairah RA berikut bagi menjentik hasrat kita yang terlalu ghairah dalam menyebarkan maklumat. Rasulullah SAW telah bersabda: “Cukuplah seseorang dianggap pendusta jika ia mengatakan setiap apa yang ia dengar.” [HR Muslim, Muqaddimah, Bāb al-nahy ‘an al-ḥadīth bi kul mā sami‘a, no. 5]
Hadis ini menyatakan kecaman bagi seseorang yang suka menyampaikan apa jua yang didengarnya dengan sebutan ‘pendusta’. Dengan label sebegitu, syari’at telah menetapkan satu ketentuan bagi seorang muslim untuk sentiasa ber_tabayyun_ (menyemak dengan berhati-hati) terhadap khabar yang disampaikan kepadanya.
- Imam al-Nawawī menjelaskan bahawa intipati hadis mahupun athar (perkataan sahabat) dalam perkara ini adalah larangan untuk memberitahukan setiap berita yang didengar. Hal ini disebabkan sebuah khabar berita adakalanya benar, begitu juga ada masanya ia palsu. Apabila seseorang gopoh menyampaikan setiap berita yang didengarnya, maka dia akan dianggap berbohong jika memang sumber berita yang dia peroleh ternyata palsu.
- Oleh itu, dua perkara berikut perlu diperhatikan dalam proses tabayyun terhadap apa jua berita yang diterima:
- a) Keadilan penyampai berita.
Seorang penyampai berita muslim perlulah baligh, berakal, selamat dari sifat fasiq dan amal perbuatan yang merosak maruahnya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
al-Mufassir Shams al-Dīn al-Qurṭubī (1214-1273) rahimahullah berkata: “Dalam ayat ini terdapat hujah diterimanya khabar daripada satu orang jika ia seorang yang adil. Kerana perintah tathabbut (memeriksa) dalam ayat ini hanya ketika menukilkan khabar dari orang fasiq. Barang siapa yang tetap kefasiqannya, batallah perkataannya dalam khabar (yang ia sampaikan) berdasarkan ijmak. Ini kerana khabar adalah amanah, dan kefasiqan adalah sebab yang merosakkannya” (al-Qurṭubī, 16: 312).
Oleh itu, ber_tabayyun_ adalah satu kewajipan terhadap maklumat yang dibawa orang fasiq. Tambahan pula jika ia dikenali sebagai individu yang sering menyampaikan segala sesuatu yang ia dengari, tanpa mengambil kira ianya benar ataupun salah.
- b) Kedabitan (kekuatan ingatan atau tulisan) penyampai berita.
Ramai dalam kalangan kita yang meremehkan perkara ini. Mereka hanya mencukupkan diri dengan sifat keadilan penyampai maklumat, sehingga ketika berita itu diterima, nampak padanya pertentangan dengan orang selainnya. Berkaitan dengan ini, Muslim (t.th. 1: 24) dalam Ṣaḥīḥnya menukilkan sebuah athar yang membuktikan bahawa di Madinah terdapat 100 individu yang kesemuanya dapat dipercaya (ma’mūn), namun hadis tidak dapat diambil/diriwayatkan daripada mereka, disebabkan mereka itu bukan ahlinya.
- Kita sedar bahawa penularan virus ini tentunya memberi kebimbangan dalam sektor kehidupan, termasuklah bagi pertumbuhan ekonomi, selain memberi impak pada kesihatan mental. Pelbagai kenyataan ataupun artikel yang tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya menambahkan lagi kebimbangan sedia ada. Ini ditambah beberapa pesanan berantai yang telah tular melalui aplikasi media sosial yang memberi amaran kepada orang awam supaya menjauhi tempat-tempat dijangkiti wabak Covid-19. Penularan kenyataan atau bahan-bahan berkaitan fakta isu ini dikhuatiri akan menimbulkan kerisauan dan mencetuskan kepanikan dalam kalangan masyarakat.
- Dalam keseriusan kita memerangi wabak Covid-19, kami mengajak masyarakat untuk tidak mengambil remeh perkara tabayyun. Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan notis bahawa penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.
Sebelum menularkan berita di media sosial, marilah melakukan tabayyun terlebih dahulu, bagi membina keharmonian dalam kehidupan.
Wallahu a’lam bi al-sawab.
Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Leave a Reply