
Selain imam, bilal dan siak bertugas, masih ada kalangan jemaah lain yang hadir berjemaah di beberapa surau dan masjid. Perbuatan ini tidak membantu perintah kawalan terhad yang dikuatkuasakan. Justeru, kita tidak tahu pada siapakah virus itu berada dalam kalangan orang di sekitar kita.
Islam adalah agama sempurna yang mengajar kita segala perkara, bukan sahaja keutamaan solat berjemaah, tapi juga kaedah dan peraturan ketika musibah dan wabak. Bila kita faham Islam secara syumul, kita juga akan faham mengapa kita perlu mengikut arahan pemerintah yang telah dibuat dengan merujuk kepada al-Quran dan sunnah.
Kerinduan kita untuk berjemaah mudah-mudahan menjadikan kita termasuk dalam salah satu dari tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar kelak; iaitu orang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid. Namun, kita juga harus menyedari adanya hadis yang menjamin pahala berterusan bagi orang yang terhalang untuk melaksanakan ibadah-ibadah yang sebelumnya sentiasa dilaksanakan.
.”عن أَبي مُوسَى قال قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Terjemahan: Daripada Abu Musa RA berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika seorang hamba sakit atau bermusafir, maka akan dituliskan baginya pahala seperti apa yang diamalkannya ketika ia bermukim dan sihat” (HR al-Bukhari no: 2774)
Tindakan kita berjemaah beramai-ramai di surau atau masjid pada situasi sekarang mungkin menyebabkan orang ramai tidak akan dapat ke surau atau masjid untuk tempoh yang lebih lama, apabila Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa dilanjutkan. Maka, renung-renungkanlah.
Disediakan oleh;
Institut Kajian Hadith dan Akidah (INHAD), KUIS
Leave a Reply