COVID-19 Dan Ketaatan Rakyat Kepada Pemimpin

Yang di-Pertuan Agong al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah, telah menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berganding bahu membendung wabak COVID-19 di negara ini. Perintah itu berkuat kuasa mulai 18 sehingga 31 Mac 2020 ini. Sehubungan dengan itu, beberapa penjelasan berikut wajar dijadikan sandaran untuk kita praktikkan.

 

1-            Islam menekankan tentang kewajipan taat dan mematuhi hukum hakam yang telah digariskan oleh Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan suci yakni al-Quran dan al-Sunnah. Segala penjelasan terperinci mengenai hukum hakam ini telah disampaikan dan dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Mandat seterusnya diserahkan dan dijalankan oleh pemimpin yang dilantik secara sah.

 

2-            Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Siapa yang taat kepadaku, bermakna ia telah mentaati Allah SWT. Siapa yang derhaka kepadaku, bermakna dia telah menderhakai Allah SWT. Siapa yang taat kepada pemimpin, bermakna dia telah taat kepadaku. Dan siapa yang derhaka kepada pemimpin, bermakna dia telah derhaka kepadaku.” [HR al-Bukhārī, no. 6718]

 

3-            Ekoran para pemimpin yang telah mendapat mandat ini menetapkan hukum dan peraturan yang tidak berlawanan dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ketaatan kepada pemerintah itu adalah satu bentuk ketaatan kepada Rasulullah SAW. Seterusnya ketaatan kepada Rasulullah SAW membuktikan ketaatan kepada Allah SWT yang akan membawa keredaanNya. Dan begitu pula sebaliknya, menderhaka kepada Rasul dan pemimpin, menunjukkan kederhakaan yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT (Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, Fatḥ al-Bārī, 1986: 120).

 

4-            Di antara prinsip utama dalam Islam adalah kewajiban mentaati pemimpin selagi mana mereka tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī (1986: 120) menegaskan bahawa: Hadis ini menjadi dalil kewajiban mentaati pemimpin yang tertakluk kepada perintah yang tidak mengarah kepada kemaksiatan. Adapun hikmah akan perintah mentaati mereka adalah kerana faktor menjaga kesatuan, memandangkan perpecahan adalah punca daripada kerosakan.

 

5-            Justeru, mentaati pemimpin termasuk dalam ketaatan kepada Allah SWT, dan ketaatan kepadaNya adalah perkara wajib. Dengan begitu, menyalahi keputusan dan arahan pemimpin adalah cerminan kepada perbuatan maksiat kepada Allah SWT dan RasulNya yang mulia Muhammad SAW. Dengan begitu, Kami di INHAD mengajak semua masyarakat untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai ini.

 

6-            Kita perlu menghadapi situasi ini dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu kerajaan serta pihak berkuasa membendung jangkitan COVID-19. Kita juga tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini sebagai pelaksanaan tanggungjawab dan ketaatan rakyat kepada arahan pemimpin dalam membendung penularan wabak penyakit ini.

Disediakan oleh;

Institut Kajian Hadith dan Akidah (INHAD), KUIS

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*