COVID-19: Jangan Takut Kepada Virus, Tapi Takutlah Kepada Pencipta Virus?

Mukadimah

Beberapa video ceramah yang berlegar memandang ringan soal virus yang sedang tersebar ini dengan tagline: “Jangan takut kepada virus tapi kepada Pencipta virus”, Allah SWT. Ada versi Indonesia dan ada versi Malaysia, termasuk video sebelum perintah kawalan pergerakan dikeluarkan.

 

Konsep Tawakal

Walaupun pernyataan tersebut betul dari aspek akidah, namun pendekatan yang diambil itu tidak menepati kehendak syariat secara sempurna yang turut mengambil kira aspek ibadah, akhlak dan sebagainya. Mentaati arahan pemimpin, mengikut peraturan dan mengelakkan diri dari memudaratkan orang lain juga sebahagian daripada syariat Islam. Justeru, kefahaman seperti di atas merupakan satu kefahaman yang sempit kerana melihat isu yang berlaku dari sudut akidah semata-mata.

 

Apabila kita dituntut supaya takut kepada Allah dan bertawakkal kepada-Nya, kita juga dituntut supaya berusaha. Itulah sebabnya, Nabi Musa AS disuruh memukul tongkat ke laut, padahal Allah boleh sahaja membelahnya tanpa pukulan itu. Sayyidatina Mariam AS diperintah menggoncang pokok kurma, barulah Allah gugurkan kurma yang masih basah.

 

Dalam konteks wabak penyakit, bila Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA membatalkan lawatan ke kawasan wabak taun, beliau ditanya oleh Abu ‘Ubaidah RA: “Apakah kita lari dari ketentuan (qadar) Allah?” Umar menjawab: “Kita lari dari satu qadar Allah kepada qadar Allah yang lain.” Maksudnya, qadar Allah SWT itu termasuk kaitan antara penyakit dan sebab. Justeru, memilih sebab yang menyelamatkan diri dari wabak adalah termasuk dalam tawakkal yang dituntut dan beriman kepada qadar baik dan buruk. Justeru itu juga, ada perbezaan arahan Rasulullah SAW bagi orang yang berada di luar agar menjauhi tempat wabak dan orang yang berada dalam kawasan wabak pula dilarang keluar, disuruh bersabar dan dijanjikan ganjaran syahid.

 

Hadis Rekaan?

Terdapat juga hadis yang menjadikan sebahagian kita memandang ringan tentang wabak ini kerana yakin dengan jaminan bahawa orang Islam akan selamat dari wabak kerana mereka sentiasa berwuduk yang menjamin kebersihan. Wuduk memang menjaga kebersihan, namun realiti yang berlaku kepada sekumpulan besar pendakwah yang diketahui sangat komitmen menjaga ibadah solat menyebabkan kesahihan hadis tersebut sangat diragui.

 

Hadis tentang jaminan wuduk tersebut belum ditemukan sumbernya, walaupun penyebarnya meletakkan sumbernya konon daripada Imam al-Tabarani. Teks bahasa Arabnya juga tidak disertakan dan belum dapat dikesan.

 

Fahami Fiqh Hadis

Hadis-hadis sahih berkenaan wabak penyakit memang ada dan dijadikan rujukan para ulama dalam mengeluarkan hukum berkaitan kawalan pergerakan, termasuk penutupan masjid dari solat berjemaah. Hadis berkaitan terpeliharanya Mekah dan Madinah dari penyakit tidak dapat menjadi alasan bagi menolak kawalan ke atas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

 

Para ulama seperti Imam al-Nawawi menyebut bahawa apa yang disebut dalam hadis tersebut adalah khusus untuk penyakit taun dan bukan semua jenis penyakit dan wabak. Sejarah mencatatkan bahawa kedua-dua kejadian wabak penyakit selain taun pernah melanda tanah suci, menyebabkan kematian yang ramai dan penangguhan ibadah haji.

 

Penutup

Sesungguhnya mencari jalan keselamatan untuk mengelak penyakit adalah sebahagian dari maksud beramal dengan tawakkal, bukan meredah sekatan dengan kefahaman yang silap. Akhirnya, bagi yang tegal dengan fahaman sendiri tanpa merujuk huraian para ulama terhadap hadis, hanya undang-undang dan penguatkuasaannya sahaja yang dapat mengawal tindakan bahaya yang mengancam nyawa orang lain, jika bukan nyawa sendiri. Kata Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan: “Sesungguhnya apa yang tidak dapat ditegakkan dengan al-Quran, Allah tegakkannya dengan kuasa pemerintahan.”

 

Disediakan oleh;

Institut Kajian Hadith dan Akidah (INHAD), KUIS

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*