Umat Islam Mendepani 2019-nCOV

 

Baru-baru ini seluruh masyarakat dunia dikejutkan dengan satu penularan wabak penyakit yang disebut sebagai CoronaVirus juga dikenali sebagai 2019-nCOV. Penyakit ini dikatakan bermula dari salah sebuah daerah di Negara China iaitu daerah Wuhan. Menurut World Health Organization (WHO) CoronaVirus adalah satu virus besar yang menyebabkan dari penyakit selesema biasa kepada penyakit yang lebih teruk seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS-CoV). Coronavirus novel (nCoV) adalah satu virus baru yang mana ianya belum pernah dikenal pasti pada manusia.

CoronaVirus adalah penyakit zoonotik, yang bermaksud jangkitan yang dijangkiti daripada haiwan kepada manusia oleh bakteria, virus, parasit serta kulat yang boleh mengganggu sistem tubuh manusia, bermakna virus ini dihantar antara haiwan dan manusia. Mengikut kajian siatan terperinci mendapati bahawa SARS-CoV telah dihantar dari kucing civet kepada manusia dan MERS-CoV dari unta dromedari kepada manusia. Tanda-tanda jangkitan biasa termasuk gejala pernafasan, demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas. Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan juga kematian.

Cadangan standard untuk mencegah penyebaran jangkitan termasuklah mencuci tangan dengan kerap, menutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin, makan daging dan telur yang dimasak dalam keadaan masak yang sempurna, serta elakkan hubungan rapat dengan sesiapa yang menunjukkan gejala penyakit pernafasan seperti batuk dan bersin.

Namun begitu, sebagai umat Islam yang percaya kepada qadak dan qadar kita harus percaya dan meyakini bahawa setiap apa yang berlaku adalah ujian dari Allah Yang Maha Esa dan yakin bahawa adanya hikmah yang terselindung di sebalik semua ujian ini. Ada beberapa nasihat yang dinyatakan dalam Bayan Linnas Siri ke-221 kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam tentang cara menghadapi isu wabak CoronaVirus 2019.

  1. Ujian Pasti Mendatang

Sebagai umat Islam yang percaya kepada Allah SWT, kita harus meyakini bahawa Allah SWT memberi sesuatu musibah dan nikmat adalah untuk menguji tanda sabar dan syukur seorang hamba kepada penciptanya. Diberikan musibah untuk menguji tahap kesabaran seseorang insan terhadap ujian tersebut dan diberi nikmat adalah untuk menguji tahap rasa syukur seorang insan.

  1. Mengucapkan Istirja’

Apabila ditimpa musibah sama ada musibah kecil atau musibah besar serta mendengar berita kematian, kita digalakkan untuk mengucapkan istirja’ ini membuktikan tanda keimanan kita sebagai hamba kepada Allah SWT, lafaz istirja’ ialah:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

  1. Memelihara Kesihatan Melalui Kebersihan Adalah Perintah Syarak

Kita digalakkan agar menjaga kebersihan diri, tidak kira lah dari segi pakaian, makanan, persekitaran, gaya hidup serta menjaga tubuh badan dengan sebaik-baik penjagaan. Allah suka kepada orang-orang yang mensucikan diri. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 222:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

  1. Kaedah Pencegahan

Banyak kaedah pencegahan yang telah di war-wakan oleh pihak yang berautoriti sebagai inisiatif supaya penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain. Dalam Islam, Rasulullah SAW telah memberikan asas pencegahan yang baik melalui udara, titisan dan juga sentuhan.

Daripada Ibnu Abbas RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الْإِنَاءِ أَوْ يُنْفَخَ فِيهِ

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW melarang untuk bernafas dalam bejana atau meniupnya.

 

(Riwayat al-Tirmizi, no. 1888)

 

Daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا عَطَسَ غَطَّى وَجْهَهُ بِيَدِهِ أَوْ بِثَوْبِهِ وَغَضَّ بِهَا صَوْتَهُ

Maksudnya: “Bahawasanya apabila Nabi SAW bersin, baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya.”

(Riwayat al-Tirmizi, no. 2745. Katanya, hadith ini hasan sahih)

Maka, bagi menghadapi situasi wabak CoronaVirus, menggunakan penutup muka (facemask) adalah lebih sesuai kerana ianya mampu menghalang air liur, hingus, dan hembusan pernafasan daripada seseorang tersebar ke udara ketika batuk, bersin ataupun ketika sedang bercakap.

Secara kesimpulannya, terdapat pelbagai cara dan kaedah yang diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ianya perlulah diberi sokongan penuh oleh masyarakat Malaysia. Segala jenis bentuk nasihat daripada pihak berautoriti hendaklah dipatuhi oleh masyarakat. Semua lapisan masyarakat perlu bersama-sama menjadi penghalang bagi membanteras berita palsu berkaitan Novel Coronavirus (2019-nCoV). Lazimilah solat hajat dan banyakkan berdoa kepada Allah SWT tanda penyerahan diri seorang hamba kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Rujukan:

  1. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/4074-bayan-linnas-siri-ke-221-mauqif-pendirian- kami-tentang-novel-coronavirus-2019-ncov
  2. https://www.who.int/health-topics/coronavirus
  3. https://www.bharian.com.my/node/182617

Disediakan oleh:
Siti Khaleeza binti Ulas
Pelajar Praktikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Institut Kajian Hadis (INHAD), KUIS.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*