Home » 2018 » May (Page 2)

Monthly Archives: May 2018

Hadis Puasa : Puasa dan Lupa

 

Pengajaran:

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja, seperti makan, minum, merokok, dsb. Dapat membatalkan puasa dan mewajibkan seseorang untuk mengganti puasanya.

2. Hadis ini menegaskan bahawa sekiranya seseorang makan atau minum secara tidak sengaja, ianya tidak membatalkan puasa.

3. Hadis ini membuktikan betapa Allah SWT Maha Kasih kepada hambaNya yang telah menganugerahkan nikmat lupa ketika seseorang sedang menjalankan ibadah puasa.

Please follow and like us:
0

Hadis Puasa : Perkataan Dusta dan Pengamalannya Ketika Puasa

Pengajaran:

1. Hadis ini menegaskan terhadap setiap orang yang berpuasa untuk mengerjakan segala kewajipan dan menjauhi perkara yang dilarang. Misalnya mencela, menghina, berdusta, mengumpat, dsb.

2. Sekiranya umat Islam dapat mengerjakan semua amalan yang diperintahkan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripadaNya, itu akan memudahkannya kelak untuk beristiqamah meneruskan amalan-amalan tersebut pada bulan-bulan lain.

3. Puasa dapat melatih seseorang menguasai nafsu dan berdisiplin dalam mengatur jiwanya. Hal ini bertujuan agar mereka mampu memimpin jiwa demi meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat serta dapat menjauhi sifat-sifat yang keji.

4. Orang yang berpuasa, sekiranya dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan syahwatnya, maka puasanya sah dan tidak batal walaupun dia telah mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat, seperti menipu dan meninggalkan solat. Akan tetapi, walaupun sah ibadat puasanya, tetapi puasa sebegini tidak akan diterima.

5. Hadis ini menunjukkan puasa yang disertai dengan pendustaan ditolak oleh Allah SWT, yang diterima ialah puasa yang selamat darinya.

6. Maksud ‘orang yang melakukan perkara itu tidak diberi pahala pada puasanya’ bahawa pahala puasa tidak boleh mengganti, berbanding dengan dosa berdusta dan apa yang disebut bersamanya, iaitu perkataan yang keji dan perbutan yang dilakukan oleh orang jahil.

7. Pensyariatan puasa bukanlah semata-mata lapar dan dahaga sahaja, bahkan mesti dikuti dengan mengalahkan nafsu syahwat. Jika tidak berlaku demikian Allah SWT tidak menerima puasanya.

8. Tujuan puasa pada asalnya adalah menahan diri dari segala perkara yang ditegah, tetapi itu sukar, maka Allah SWT memerintahkan untuk menahan diri dari yang membatalkan puasa, dan memberi peringatan kepada orang yang lalai supaya menahan diri dari perkara-perkara yang ditegah.

Please follow and like us:
0

Hadis Puasa : Kemurahan Hati Rasullullah SAW

Pengajaran:

1. Hadis ini membuktikan bahawa Baginda SAW merupakan manusia yang paling pemurah hatinya.

2. Murah hati adalah satu kemuliaan dan merupakan sebahagian daripada sifat-sifat yang terpuji.

3. Maksud sabdanya ‘Lebih pemurah daripada angin yang bertiup’ adalah kiasan kepada segeranya Baginda SAW untuk membuat kebaikan. Lebih cepat daripada angin yang bertiup.

4. Kemurahan hati Rasulullah SAW menggambarkan berterusannya bayu kemurahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan ia dapat dirasai oleh siapa sahaja yang mengenainya

5. Kemurahan hati Rasulullah SAW merangkumi semua disiplinnya, daripada mencurahkan ilmu dan memberikan harta, mengorbankan diri sendiri di jalan Allah demi untuk menegakkan syiar agama dan agar umat mendapat hidayah. Baginda SAW juga sentiasa berusaha untuk memberi manfaat kepada manusia lain dengan apa jua cara.

Please follow and like us:
0

Hadis Puasa : Kedatangan Bulan Ramadhan

Pengajaran:

1. Hadis ini mengandungi makna sesuai dengan zahir dan hakikatnya, yakni pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.

2. Tanda kedatangan bulan Ramadan ini untuk mengagungkan kehormatannya. Dan dibelenggu menunjukkan bahawa syaitan dihalang untuk menyakiti orang beriman dan mengganggu mereka.

3. Hadis ini juga mengandungi makna kiasan dan isyarat kepada banyaknya pahala dan pengampunan. Syaitan dibelenggu pula terhadap beberapa perkara sahaja, sedangkan pada perkara yang lain tidak demikian. Dengan erti kata lain, mereka mampu menggoda beberapa individu, sedangkan pada diri Mukmin tidak demikian.

4. Dibukanya pintu-pintu Syurga juga bermaksud sebagai ungkapan tentang sesuatu yang dibukakan bagi hamba-hambaNya, iaitu berbagai-bagai ketaatan pada bulan ini yang tidak didapati pada bulan lain, seperti puasa, solat tarawih, dll. Perbagai bentuk ketaatan ini menjadi salah satu sebab seseorang memasuki Syurga Allah SWT.

Please follow and like us:
0

Hadis Puasa : Pintu Al Rayyan

Pengajaran :
1. Pintu al-Rayyan adalah pintu yang dikhaskan untuk orang yang berpuasa.
2. Kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa yang dimaksudkan dengan al-Rayyan adalah orang yang tidak merasa dahaga.
3. Semua orang yang berpuasa akan memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan dan tidak ada orang lain yang akan memasukinya kecuali orang yang berpuasa.

Please follow and like us:
0

Hadis Puasa : Keutamaan Berpuasa

PENGAJARAN:

1. Kedudukan orang yang berpuasa di sisi Allah SWT sangat tinggi darjatnya.

2. Orang yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah SWT , kemudian memelihara puasanya daripada amalan yang ditegah, mengharapkan keredaan dan ganjaran dariNya, maka Allah SWT akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya dari azab api neraka.

3. Tujuan puasa adalah bagi yang utama ialah mendapatkan ketaqwaan dan beriman kepada Allah.

4. Orang yang bertaqwa sahaja yang mampu melakukan kewajipan puasa. Hanya ketaqwaan yang mampu menjaga puasa untuk tidak dirosakkan olek perkara maksiat dan sebagainya.

5. Puasa dapat mensucikan jiwa, mendisiplinkan diri dengan menahan kesabaran dan mengawal nafsu dari melakukan sesuatu perkara yang boleh membinasakan.

6. Syaitan merupakan musuh utama yang nyata bagi setiap orang yang beriman. Syaitan akan bertambah kuat sekiranya manusia suka menuruti hawa nafsu dan syahwat. Justeru, puasa merupakan senjata untuk melemahkan syaitan dengan mengurangkan nafsu makan, minum, dll. Begitu juga dan  perbuatan dan percakapan hendaklah dijaga dan berhati-hati ketika dalam keadaan berpuasa.

7. Ibadah puasa hanya akan menjadi sia-sia dan tiada mendapat ganjaran seandainya seseorang tidak menjaga hawa nafsunya, malahan hanya lapar dan dahaga.

8. Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah SWT daripada wangian kasturi

9. Puasa melatih kesabaran. Justeru dianjuran mengatakan “Bahawasanya aku dalam keadaan berpuasa” apabila ada orang lain yang cuba memusuhi, memaki dan mencela.

10. Setiap kebaikan akan digandakan ganjarannya kecuali puasa, kerana ianya adalah milik Allah SWT, dan Dia sahaja akan memberi balasannya dengan balasan yang tidak terbilang.

Please follow and like us:
0

Hadis Senyum 21 : Bantal

Terjemahan

Daripada ‘Adī ibn Ḥātim RA, ia berkata: “Ketika ayat ini diturunkan, {Makanlah dan minumlah sampai jelas bagimu antara benang putih dan benang hitam} , aku mengambil ikat kepala berwarna putih dan ikat kepala berwarna hitam, kemudian meletakkan keduanya di bawah bantalku. Setelah itu aku memperhatikannya, tetapi aku tetap belum jelas. Aku lalu menyampaikan hal itu kepada Rasulullah SAW, dan baginda tertawa kemudian bersabda: “Sesungguhnya bantalmu adalah lebar dan panjang, akan tetapi maksudnya adalah malam dan siang.” Dan berkata ‘Uthmān RA: “Yang dimaksud dengan kedua-duanya (benang putih dan hitam) adalah kegelapan malam dan kecerahan siang”.”

Pengajaran

1. Al-Sunnah berperanan untuk menjelaskan makna nas-nas al-Quran yang samar atau belum jelas.

2. Awal waktu pelaksanaan puasa yang menyebabkan seseorang tidak dibenarkan makan, minum, mencampuri isteri adalah ketika fajar sadiq (cahaya putih yang melintang mengikuti garis lintang ufuk di sebelah timur akibat pantulan cahaya matahari oleh atmosfera) telah terbit. Terbitnya fajar sadiq merupakan tanda telah masuknya waktu solat subuh.

3. Benang putih bermaksud fajar sadiq, sedangkan benang hitam adalah waktu malam.

4. Larangan makan dan minum berlaku apabila fajar sadiq telah terbit yang ditandai dengan dikumandangkannya azan solat subuh.

5. Diperlukan sikap berhati-hati (ihthiyat) agar sebelum masuknya waktu solat subuh seseorang sudah tidak dalam keadaan makan dan minum sehingga menyebabkan puasanya menjadi batal.

Please follow and like us:
0

Hadis Senyum 20 : Haiwan Tunggangan

Terjemahan

Daripada [‘Alī ibn Rabī‘ah] ia berkata: “Aku melihat ‘Alī RA didatangkan kepadanya seekor haiwan supaya ia menungganginya, ketika meletakkan kakinya pada haiwan tunggangan itu, Alī RA berkata: “Dengan menyebut nama Allah.” Ketika telah berada di atas tunggangannya, ia berkata: “Segala puji bagi Allah SWT.” Setelah itu ia mengucapkan: “Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesunguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.” Setelah itu ‘Alī RA mengucapkan: “Segala puji bagi Allah SWT” sebanyak tiga kali. Kemudian mengucapkan “Allah Maha Besar” sebanyak tiga kali, lalu mengucapkan “Maha Suci Engkau ya Allah, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau.” Kemudian ‘Alī RA tertawa, maka ia ditanya: “Wahai Amirul Mukminin, apa yang engkau tertawakan?”, Ia menjawab: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW melakukan perbuatan yang aku lakukan (tadi), lalu Rasulullah SAW setelah itu tertawa, maka aku berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang engkau tertawakan?”, Baginda pun menjawab: “Sesungguhnya Tuhanmu kagum terhadap hambaNya ketika mengucapkan: “Ampunilah dosaku wahai Tuhanku.” Hamba itu tahu bahawa tiada yang dapat mengampuni dosa kecuali Aku (Allah)”.”

Pengajaran

1. Hadis ini mengajarkan tentang adab memandu ataupun menunggang kenderaan serta doa yang disunnahkan untuk dibaca, iaitu:

a ) Ketika meletakkan kaki pada kenderaan, hendaklah membaca:

بِسْمِ اللَّهِ الرحمن الرحيم

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

 b ) Ketika telah berada di atas kenderaan, hendaklah membaca:

الْحَمْدُ لِلَّهِ

Segala puji bagi Allah

Kemudian membaca:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ

Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesunguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.

Kemudian membaca (3 kali):

الْحَمْدُ لِلَّهِ

Segala puji bagi Allah

اللَّهُ أَكْبَرُ

Allah Maha Besar

Kemudian membaca:

سُبْحَانَكَ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ 

Maha Suci Engkau ya Allah, sesungguhnya aku telah berbuat zhalim terhadap diriku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau.

 2.Dianjurkan untuk tersenyum ketika menaiki kenderaan sebagaimana athar daripada ‘Ali RA yang tersenyum ketika menunggang kenderaannya, di mana perkara itu adalah ikutan beliau kepada Rasulullah SAW ketika menaiki kenderaan.

3. Allah SWT merasa kagum terhadap seorang hamba ketika memohon ampun kepadaNya, di mana dia sedar bahawa tiada sesuatu pun yang dapat mengampuni dosa melainkan Allah SWT.

Please follow and like us:
0

Hadis Senyum 19 : Mengawasi Musuh

Terjemahan

Daripada Sahal ibn Ḥanẓaliyah RA, ia berkata: “Mereka (para sahabat) berjalan bersama Rasulullah SAW ketika perang Hunain. Mereka melakukan perjalanan yang amat panjang hingga masuk waktu petang. Aku solat bersama Rasulullah SAW dan setelah itu datang seorang penunggang kuda, ia berkata: “Ya Rasulullah, aku meninggalkan kalian hingga aku mendaki gunung ini dan ini. Tatkala berada di Hawazin aku melihat wanita-wanita berada di tandu-tandu mereka dan haiwan-haiwan mereka semuanya berkumpul di Hunain.” Nabi SAW kemudian tersenyum dan bersabda: “Esok insya Allah itu semua menjadi ghanimahnya orang Islam.” Baginda meneruskan sabdanya: “Siapa yang akan berjaga untuk kita pada malam ini?”, Anas ibn Abū Marthad Al-Ghanawī berkata: “Aku wahai Rasulullah!”, Rasulullah SAW berkata: “Naiklah (ke atas haiwan tunggangan).” Setelah itu ia menaiki kudanya dan mendatangi Rasulullah SAW, kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Pergilah ke bukit ini hingga kamu berada di atasnya. Kami tidak akan diserang hendap dari arahmu pada malam hari.” Ketika kami bangun untuk solat Subuh, Rasulullah SAW menuju tempat solatnya kemudian solat dua rakaat. Setelah itu Baginda SAW bersabda: “Apakah kalian merasakan (kepulangan) penunggang kuda kalian?”, Mereka menjawab: “Kami tidak merasakan kedatangannya, ya Rasululah!”. Akhirnya solat pun didirikan dan Rasulullah SAW solat dengan menoleh ke bukit. Setelah mendirikan solat dan salam, Baginda bersabda: “Berbahagialah kalian, kerana penunggang kuda kalian telah datang.” Hal itu membuat kami memandang ke balik-balik pepohonan yang ada di bukit dan tiba-tiba ia (penunggang kuda) telah datang. Setelah itu ia menghadap Rasulullah SAW dan memberi salam kepada Baginda, kemudian berkata: “Aku pergi hingga ke puncak bukit, sebagaimana yang Rasulullah SAW perintahkan, kemudian setelah bangun aku mendaki dua bukit tersebut, tetapi aku lihat tidak ada seorang pun di sana.” Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Apakah engkau telah turun pada malam hari?”. Ia menjawab: “Tidak, kecuali untuk solat dan buang hajat.” Rasulullah SAW pun bersabda: “Kamu telah dijamin (Syurga), maka tidak mengapa jika kamu tidak melakukan amalan lain sesudahnya”.”

Pengajaran

1. Hadis ini menunjukkan jauhnya firasat atau pandangan batin Rasulullah SAW yang menjangkakan kemenangan di pihak Islam dan memperoleh harta rampasan perang (ghanīmah) yang banyak.

2. Anjuran mengucapkan “In shā’ Allah” (Jika Allah Subhanahu Wa Ta’ala berkehendak) jika hendak melakukan sesuatu perkara di kemudian hari.

3. Galakan untuk berjaga di malam hari ketika perang.

4. Kewajipan untuk mentaati arahan komander perang, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Anas ibn Abū Marthad Al-Ghanawī RA untuk berjaga di puncak bukit supaya tidak berlaku penyerangan dari arahnya pada malam hari.

5. Anas ibn Abū Marthad Al-Ghanawī RA telah menuruni bukit yang menjadi kawasan jagaannya, itupun kerana suatu urusan penting, seperti hendak mendirikan solat atapun membuang hajat.

Please follow and like us:
0

Hadis Senyum 18 : Doa Rasulullah

Terjemahan

Dari [Anas ibn Mālik] ia berkata: “[Ummu Ḥarām binti Milḥān] -saudara perempuan Ummu Sulaim – bercerita kepadaku bahawa Rasulullah SAW berqaylulah (tidur sekejap) di sisi mereka, lalu Rasulullah SAW terjaga dari tidurnya lalu tertawa. Ummu Ḥarām berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang membuat anda tertawa?”, Rasulullah SAW menjawab: “Aku melihat (bermimpi) suatu kaum yang berlayar di atas samudera ini laksana raja di atas tahta.” Ummu Ḥarām berkata: “Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar aku dapat menjadi salah satu di antara mereka.” Rasulullah SAW kemudian bersabda: “Sesungguhnya engkau termasuk salah satu di antara mereka.” Ummu Ḥarām melanjutkan perkataannya: “Kemudian Rasulullah SAW meneruskan tidurnya dan setelah itu terbangun lagi dan tertawa.” Ummu Ḥarām bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang membuat anda tertawa?”, Rasulullah SAW lalu menjawab dengan perkataan seperti tadi. Ummu Ḥarām berkata: “Wahai Rasulullah, mohonkan kepada Allah agar menjadikanku termasuk orang di antara mereka.” Rasulullah SAW menjawab: “Engkau termasuk golongan yang pertama.” Anas berkata: “Setelah itu Ummu Haram dinikahi oleh ‘Ubādah ibn Ṣāmit. Ia (‘Ubādah bin Ṣāmit) berperang di samudera dan Ummu Ḥarām dibawa serta olehnya. Setelah ia kembali Ummu Ḥarām diberikan seekor kuda kecil untuk ia tunggangi, tetapi kuda tersebut membanting Ummu Ḥarām sehingga lehernya patah dan akhirnya meninggal dunia”.”

Pengajaran

1. Keistimewaan Ummu Ḥarām RA di sisi Rasulullah SAW. Baginda telah menceritakan mimpi indahnya kepada Ummu Ḥarām RA.

 2. Bolehnya meminta kepada seseorang yang dikenali sebagai lebih alim, warak dan salih daripada kita untuk didoakan sesuatu yang baik dan dihindarkan daripada perkara jahat.

 3. Ummu Ḥarām dan suaminya ‘Ubādah ibn Ṣāmit RA dilukiskan dalam mimpi Baginda seperti seorang raja dan permaisuri yang berlayar di atas bahtera.

4. Hadis ini menunjukkan bolehnya melibatkan kaum wanita bersama lelaki dalam peperangan.

5. Pertempuran yang dihadiri oleh ‘Ubādah ibn Ṣāmit di samudera luas mengisyaratkan kepada setiap askar untuk menguasai teknik peperangan, penyelaman dan berenang. Hal ini juga menjadi amalan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, yakni berenang, berkuda dan memanah.

Please follow and like us:
0


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.233.226.151

May 2018
M T W T F S S
« Apr   Jul »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial