Home » 2018 » May » 05

Daily Archives: May 5, 2018

PEMIMPIN DAN JAWATAN

Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ قَالَ : قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:   يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ ، لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا ، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا ، وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى  يَمِينٍ ، فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا ، فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ ، وَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ    

[al-Bukhārī, Kitāb al-Aḥkām, Bāb Man lam yas’al al-imārah a‘ānahullah ‘alayhā, No. 6727]

Maksudnya:

Daripada [‘Abd al-Raḥman ibn Samurah] berkata: “Saya telah mendengar [Abū Hurairah] RA berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda kepadaku: “Wahai ‘Abd al-Raḥman ibn Samurah, janganlah engkau meminta kekuasaan, kerana apabila engkau diberi kekuasaan setelah memintanya, engkau akan dibiarkan tanpa pertolongan daripada Allah SWT. Namun, apabila engkau diberi kekuasaan tanpa memintanya, nescaya Allah SWT akan menolongmu menjalankan kekuasaan itu. Apabila engkau bersumpah atas sesuatu, lalu engkau mendapatkan yang lebih baik darinya, bayarlah kafarat sumpahmu dan kerjakan yang lebih baik itu”.”

Saudara, hadis ini menekankan tentang etika politik. Seorang ahli politik yang berwibawa dan disegani akan sentiasa menjaga dan membaja budaya sihat dalam arena politik. Mereka dituntut untuk terus kekal mengamalkan etika dalam berpolitik. Hal ini kerana jika kehidupan politik tidak berasaskan nilai-nilai murni implikasinya kepada persepsi masyarakat bahawa politik itu kotor. Walhal, tidak selamanya politik itu kotor, bahkan Nabi SAW sendiri adalah salah seorang ahli politik yang berjaya dan disegani pihak kawan mahupun lawan kerana mempamerkan kebijaksanaan dalam berinteraksi dengan seteru politiknya.

Justeru, jika ditelusuri makna hadis di atas, didapati citra “kekotoran” dalam kancah politik itu sebenarnya bersumber daripada sikap politikus yang obses dan keghairahan mendapatkan sesuatu kedudukan atau pangkat. Dalam hal ini, ambisi menjadi salah satu faktor utama dalam membentuk sikap dan pandangan politik seseorang sehingga menjadi kotor. Tidak hairan dalam kalangan sesetengah mereka yang memegang tampuk kekuasaan sering kali dihubungkaitkan dengan amalan rasuah dan nepotisme. Walaupun undang-undang sudah ditegakkan dan ada yang sudah dijatuhkan hukuman, namun ia tidak sekali-kali menakutkan mereka. Mereka tidak mahu mempedulikan amanah itu, dan sudah tidak lagi mahu menegakkan neracanya.

Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī (1986: 133) menjelaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Beliau menyatakan bahawa:

Barang siapa yang meminta jawatan, lalu diberikan jawatan itu kepadanya, maka dia tidak akan ditolong kerana cita-citanya itu. Dari sini dapat disimpulkan bahawa meminta sesuatu yang berkenaan dengan jawatan adalah makruh. Maksud dalam jawatan ini adalah pemerintahan, pengadilan, kewangan, dan lain-lain. Sesiapa berambisi mendapatkannya maka dia tidak diberi pertolongan. Namun, hal ini bertentangan dengan riwayat Abū Dāwud daripada Abū Hurairah RA yang diriwayatkan secara marfū‘:

مَنْ طَلَبَ قَضَاءِ الْمُسْلِمِينَ حَتَّى يَنَالَهُ ثُمَّ غَلَبَ عَدْلُهُ جَوْرَهُ فَلَهُ الْجَنَّةُ ، وَمَنْ غَلَبَ جَوْرُهُ عَدْلَهُ فَلَهُ النَّارُ

Sesiapa meminta jabatan untuk mengadili kaum Muslimin hingga mendapatkannya kemudian keadilannya mengalahkan kecurangannya maka baginya syurga. Tetapi sesiapa yang kecurangannya mengalahkan keadilannya maka baginya neraka.

Justeru, kedua-dua riwayat ini dapat disatukan maknanya bahawa tidak selamanya meminta jawatan itu menyebabkan putusnya pertolongan Allah SWT, tetapi jika ianya dipinta tetapi tidak dapat menatijahkan keadilan, maka yang inilah yang tidak mendapatkan pertolongan Allah SWT. Ataupun maksud hadis yang sedang dibincangkan ini adalah bagi mereka yang meminta jawatan, sedangkan hadis riwayat Abū Dāwud daripada Abū Hurairah RA bermaksud seseorang yang meminta kerana layak untuk dilantik.

       Sehubungan dengan perkara ini juga, Ibn al-Ṭīn menilai bahawa kemungkinan hadis di atas berlaku untuk selain para Nabi AS, sebagaimana hujahnya (Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī 1986: 133):

Hal ini difahami menurut keadaan umum, kerana Nabi Yusuf AS telah berkata dalam surah Yūsuf ayat 55: اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِJadikanlah aku bendaharawan negara (mesir)”. Begitu pula Nabi Sulaiman AS berkata dalam surah Ṣāḍ ayat 35: وَهَبْ لِي مُلْكًاDan anugerahkanlah kepadaku kerajaan”.

         Dengan begitu, sekiranya seseorang yang meminta jawatan itu kerana untuk menyelamatkan ummah, mampu berlaku adil, berhukum selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah, dan dia layak dari segi pengetahuan agama, ilmu terhadap skop jawatannya yang merangkumi hukum hakam dan ilmu dunia dan kekuatan amanah, maka dia boleh meminta jawatan itu dan kelak mendapatkan pertolongan daripada Allah SWT. Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī (1986: 133) menjelaskan bahawa:

Seseorang yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan dan akan mengakibatkan dirinya tidak dapat berlaku adil apabila sudah memangku jawatan tersebut. Pada frasa ayat “Oleh itu kami tidak akan memberi jabatan kepada orang yang bercita-cita” yang menjadi pasangannya adalah pertolongan, kerana sesiapa yang tidak mendapatkan pertolongan daripada Allah SWT terhadap kerjayanya, maka dia tidak akan mampu menunaikan tanggungjawab itu. Oleh itu, tidak patut memenuhi permintaannya, kerana diketahui bahawa suatu jabatan tidak akan luput daripada kesulitan. Barang siapa tidak mendapatkan pertolongan daripada Allah SWT, maka dia mendapat kesulitan dalam kerjayanya dan merugi dunia akhirat. Orang yang berakal sihat tentu tidak mahu memintanya sama sekali. Dengan begitu, seseorang yang memiliki kemampuan lalu diberi jawatan tanpa meminta, maka dia dijanjikan akan mendapat pertolongan.

Rentetan daripada itu, perlu dihadami bersama bahawa kadangkala kelayakan yang menjadi syarat utama dalam pemilihan pemimpin itu disalahertikan dengan pelbagai cara dan gaya, sampai kekuatan itu ditukar dengan kekayaan atau kekeluargaan, sedangkan kekuatan itu bermaksud kemampuan dan kelayakan sekalipun tidak berharta dan sebagainya. Dasar untuk memilih seorang pegawai atau pekerja adalah seorang yang kuat dan amanah. Kerana dengan kekuatannya, ia mampu melakukan pekerjaan dengan baik. Dan dengan sifat amanah, ia akan menempatkan pada tempatnya semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya. Dengan kekuatannya pula, ia sanggup menunaikan kewajipan yang telah dibebani atasnya. Justeru, sebaik-baik tindakan adalah menolak meminta jawatan sekiranya ia mampu tergelincir dalam lumpur dosa dan maksiat. Al-Muhallab berkata (Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī 1986: 133):

Termasuk makna dipaksakan adalah diberi jawatan dan dia melihat dirinya tidak layak memangkunya kerana pengagungan dan ketakutan akan terjerumus dalam perbuatan yang terlarang. Dalam keadaan seperti itu dia akan ditolong serta diluruskan. Asas bagi masalah ini bahawa siapa merendah untuk Allah SWT, maka Dia akan mengangkat martabatnya.

Akhirnya, kami menasihati agar rakyat Malaysia sentiasa berpegang dengan ajaran Islam walaupun berbeza dari pilihan pemikiran politik. Sentiasalah menjaga diri daripada terjebak dengan hal-hal yang munkar dan bercanggah dengan prinsip dan dasar Islam.

Wallahu A’lam bi al-Sawab,

 

 

ABUR HAMDI USMAN

Ketua Unit Hadis

Institut Kajian Hadis (INHAD)

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra,

5 Mei 2018 / 19 Syaaban1439 H.

Please follow and like us:
0

RUJUK PAKAR ILMU HADIS ELAK TAFSIR SESUKA HATI

Please follow and like us:
0


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.233.226.151

May 2018
M T W T F S S
« Apr   Jul »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial