Home » 2018 » May » 03

Daily Archives: May 3, 2018

Hadis Senyum 15 : Penyusuan

Terjemahan

Daripada [‘Āishah] RA berkata: “Sahlah binti Suhayl datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya lihat di wajah Abū Ḥudhaifah (tanda-tanda benci) apabila Sālim (sekutu) masuk ke dalam (rumah kami).” Lalu Rasulullah SAW berkata: “Susukanlah dia.” Sahlah berkata: “Bagaimana saya boleh menyusukan dia kerana dia adalah seorang lelaki dewasa?” Rasulullah SAW tersenyum dan berkata: “Saya sudah tahu bahawa dia adalah seorang lelaki dewasa”.”

 

Pengajaran

1. Penyusuan boleh mengubah status seseorang menjadi mahram dapat dilakukan kepada seseorang yang telah dewasa.

2. Para ulama berbeza pandangan terhadap pengambilan hukum atas hadis Sahlah (penyusuan kepada orang dewasa) dalam banyak pendapat. ‘Āishah RA dan Dāwud menetapkan keharaman menyusukan kepada orang dewasa. Dan kebanyakan daripada sahabat, tabiin dan ulama lainnya sehingga ke hari ini berpendapat bahawa tidak boleh melakukannya melainkan kepada bayi di bawah umur dua tahun. Melainkan Abu Hanifah Rahimahullah yang mengehadkan sehingga umur bayi dua tahun setengah. Manakala Zufar Rahimahullah berpendapat sehingga umur tiga tahun. Dan daripada Malik terdapat sebuah riwayat yang mengatakan dua tahun beberapa hari.

3. Adapun jumhur berhujjah dengan surah al-Baqarah ayat 233 dan juga beberapa hadis lainnya yang telah disebutkan oleh Muslim, maka jumhur berpendapat bahawa hal ini hanya dikhususkan kepada Sālim sahaja, tidak kepada yang lain.

4. Muslim juga turut meriwayatkan daripada Ummu Salamah dan beberapa isteri Rasulullah SAW bahawa mereka berbeza pandangan dengan ‘Āishah RA dalam hal ini. Ada juga yang berpendapat bahawa hadis ini telah dimansukhkan. Dan yang lain berkata bahawa hukum ini berlaku secara umum untuk semua orang yang keadaannya seperti Sālim dan Sahlah.

5. Pendapat yang lain menyatakan bahawa penyusuan terhadap orang yang telah dewasa/besar merupakan keringanan (rukhshah) yang bersifat umum bagi siapa pun yang keadaannya seperti Sahlah. Adapun sebab pengkhususan hanya bagi Sālim dan Sahlah tidak dapat ditetapkan, sehingga dalam hal ini menjadi pengkhususan bagi siapa sahaja yang keadaannya, seperti Sālim dan isteri Abū Ḥudhaifah, kerana kedua-duanya sukar untuk berhijab dan semestinya sering berjumpa.

6. Adapun selain daripada keadaan seperti Sālim, maka penyusuan terhadap orang dewasa tidak menyebabkan hubungan mahram, bahkan hukumnya haram jika dilakukan.

Please follow and like us:
0

BUNUH : FITNAH AKHIR ZAMAN

 

Jika mengambil kira kes-kes terbaharu yang hampir setiap hari disiarkan media, tidak dinafikan jenayah bunuh menjadi sebahagian kebimbangan masyarakat di Malaysia. Walaupun larangan membunuh telah nyata dalam apa jua agama, namun fenomena ini seolah-olah tiada titik noktahnya, dan inilah juga yang diingatkan oleh Rasulullah SAW akan hampirnya riwayat dunia ini. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ

[al-Bukhari, Kitab al-Istisqa, Bab ma qila fi al-zalazil wa al-ayat, No. 989]

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW bersabda: “Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah”.”

Ekoran daripada itu, umat Islam ditegah untuk membunuh sesama manusia secara sengaja dengan tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak. Justeru Allah SWT telah melarang perbuatan ini dalam firmanNya pada surah al-Isra ayat 33:

وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۗ وَمَن قُتِلَ مَظۡلُومٗا فَقَدۡ جَعَلۡنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلۡطَٰنٗا فَلَا يُسۡرِف فِّي ٱلۡقَتۡلِۖ إِنَّهُۥ كَانَ مَنصُورٗا ٣٣

Maksudnya:

Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah SWT membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

Begitu juga peringatan daripada Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang mulia bahawa membunuh merupakan salah satu daripada dosa besar yang membinasakan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

[al-Bukhari, Kitab al-Hudud, Bab Ramy al-Muhsanat, No. 6465]

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Jauhilah tujuh dosa besar. Bertanya para sahabat: “Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?. Jawab Baginda SAW: “Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh manusia yang mana diharamkan oleh Allah SWT kecuali mereka yang dibenarkan oleh syarak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan melemparkan tuduhan qazaf terhadap wanita mukmin”.”

Perlu difahami bahawa larangan membunuh ini merangkumi setiap insan melainkan ada dalil yang membenarkan untuk itu. Menghilangkan nyawa orang kafir misalnya, dalam hal ini tidak semua orang kafir memusuhi umat Islam. Oleh sebab itu, al-Quran mendidik tindakan yang perlu diambil ke atas orang kafir sama ada mereka yang memerangi kaum Muslimin ataupun tidak. Manakala orang kafir yang tidak memerangi umat Islam, maka mereka perlu dilayan secara baik dan berlaku adil. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mumtahanah ayat 8:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨

Maksudnya:

Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Adapun orang kafir yang memerangi umat Islam, maka mereka berhak mendapatkan balasan yang setimpal dan tidak boleh melampau batasan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 190:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

Maksudnya:

Dan perangilah di jalan Allah SWT orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, karena sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Rentetan itu, Baginda SAW menegaskan tentang larang membunuh orang kafir yang tidak memerangi umat Islam dengan ancaman tidak dapat mencium wangian bau Syurga. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

[al-Bukhari, Kitab al-Diyat, Bab Ithm man qatala dhimmiyan bi ghayr jurm, No. 6516]

Maksudnya:

Daripada ‘Abdullah ibn ‘Amr, daripada Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa membunuh orang kafir mu’ahad, maka ia tidak akan mencium bau Syurga, padahal baunya didapati dari jarak perjalanan empat puluh tahun.”

Ibn Hajar al-‘Asqalani (1372-1449) Rahimahullah yang mensyarah kitab Sahih al-Bukhari menjelaskan maksud orang kafir mu‘ahad dengan (al-‘Asqalani 1986: 271):

وَالْمُرَادُ بِهِ مَنْ لَهُ عَهْدٌ مَعَ الْمُسْلِمِينَ سَوَاءٌ كَانَ بِعَقْدِ جِزْيَةٍ أَوْ هُدْنَةٍ مِنْ سُلْطَانٍ أَوْ أَمَانٍ مِنْ مُسْلِمٍ

“Maksudnya ialah orang kafir yang memiliki perjanjian dengan kaum Muslimin sama ada dengan membayar jizyah, perjanjian damai daripada pemerintah, atau jaminan keamanan daripada seorang Muslim.”

Menerusi wacana di atas, dapat difahami bahawa Islam mengambil berat tentang jenayah ini. Sedangkan membunuh orang kafir tanpa hak pun dilarang, apatah lagi jika nyawa yang terkorban diambil secara sengaja adalah merupakan seorang Mukmin. Tentunya ancaman yang menanti jauh lebih dahsyat. Allah SWT mengecam pelakunya dengan azab yang pedih dalam Neraka Jahannam berat, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Nisa’ ayat 93:

وَمَن يَقۡتُلۡ مُؤۡمِنٗا مُّتَعَمِّدٗا فَجَزَآؤُهُۥ جَهَنَّمُ خَٰلِدٗا فِيهَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَلَعَنَهُۥ وَأَعَدَّ لَهُۥ عَذَابًا عَظِيمٗا ٩٣

Maksudnya:

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya dan Allah SWT murka kepadanya dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

Hanya orang yang akalnya tidak waras yang mampu menghadapi lima senarai ancaman berat bagi pelaku jenayah bunuh, yakni: Dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam, kekal di dalamnya, mendapat kemurkaan Allah SWT, dilaknat olehNya dan disediakan seksaan yang tidak tertanggung peritnya.

Bahkan Rasulullah SAW pada 14 abad lepas telah memperingatkan ancaman terhadap jenayah ini. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ وَأَبِي هُرَيْرَةَ يَذْكُرَانِ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْ أَنَّ أَهْلَ السَّمَاءِ وَأَهْلَ الْأَرْضِ اشْتَرَكُوا فِي دَمِ مُؤْمِنٍ لَأَكَبَّهُمْ اللَّهُ فِي النَّارِ

[al-Tirmidhi, No. 1318, Hadis Gharib]

Maksudnya:

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah RA kedua-duanya menyebutkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda: “Seandainya penduduk langit dan penduduk bumi bersekutu untuk membunuh seorang mukmin, nescaya Allah swt akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka.”

Akhirnya, kes bunuh memang berada di tahap yang membimbangkan yang tidak boleh dipandang remeh. Dalam Islam, Allah SWT secara tegas melarang umatnya terlibat dengan sebarang kegiatan membunuh walaupun ianya sekadar lintasan di dalam hati dan fikiran. Justeru kefahaman berkenaan bahaya bunuh dan natijah serta implikasi yang bakal menimpa masyarakat hendaklah dicakna dan disebarluaskan kepada khalayak ramai. Dengan bekalan didikan agama yang betul-betul terpasak dalam dada setiap individu, diharap indeks jenayah bunuh di Negara yang tercinta ini dapat disifarkan.

Wallahu A’lam bi al-Sawab,

DR. ABUR HAMDI USMAN

Ketua Unit Hadis
Institut Kajian Hadis (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra,
3 Mei 2018 / 17 Syaaban1439 H.

Please follow and like us:
0


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.90.45.27

May 2018
M T W T F S S
« Apr   Jul »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial