Home » 2018 » April » 11

Daily Archives: April 11, 2018

Hadis Senyum 3 : Wanita Quraisy

Terjemahan

Daripada [Muḥammad ibn Sa‘d], dari [Ayahnya] dia berkata: ‘Umar ibn al-Khaṭṭāb RA pernah meminta izin kepada Rasulullah SAW, (pada masa itu) di dekat Baginda ada beberapa wanita Quraisy yang sedang berbicara panjang lebar dan bertanya kepada Baginda dengan suara yang lantang. Ketika ‘Umar meminta izin kepada Baginda, mereka segera bersembunyi di sebalik tirai, lalu Nabi SAW mempersilakan ‘Umar untuk masuk. Ketika ‘Umar masuk, Rasulullah SAW tertawa sehingga ‘Umar berkata: “Demi ayah dan ibuku, apa yang membuat anda tertawa wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Aku hairan dengan mereka yang ada di sisiku, ketika mendengar suaramu mereka segera bersembunyi.” ‘Umar berkata: “Anda adalah orang yang lebih patut untuk disegani wahai Rasulullah!” Kemudian ‘Umar menghadapkan wajah ke arah wanita tersebut dan berkata: “Wahai para wanita yang menjadi musuh bagi hawa nafsunya sendiri, apakah kalian segan denganku sementara kalian tidak segan kepada Rasulullah SAW?” Mereka pun menjawab: “Kerana kamu adalah orang yang lebih keras dan lebih tegas daripada Rasulullah SAW.” Rasulullah SAW bersabda: “Biarlah wahai Ibn al-Khaṭṭāb, demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, selamanya syaitan tidak akan bertemu denganmu di satu jalan yang kamu lalui, melainkan syaitan akan melalui jalan selain jalanmu”.”

Pengajaran

1. Rasulullah SAW memberikan hak bersuara kepada wanita. Rasulullah SAW tidak menengking, melecehkan, apa lagi merendahkan wanita.

2. Rasulullah SAW sentiasa tersenyum dan menghadapi wanita secara lembut dan tenang. Pada hari ini, ketika  ramai suami yang menundukkan isteri mereka dengan janji syurga dan ancaman neraka, Rasulullah SAW justeru membenarkan dirinya untuk dituntut oleh wanita walau dengan suara mereka yang amat lantang.

3. Anjuran untuk meminta keizinan daripada tuan rumah untuk datang/masuk bertamu.

4. Konteks hadis ini menggambarkan semangat para wanita untuk menuntut ilmu daripada Rasulullah SAW. Hal ini membuktikan pendidikan bagi wanita adalah suatu perkara penting dalam agama. Keilmuan mereka amat ditagih oleh keluarga, suami, anak dan masyarakat sekelilingnya.

5. Kelebihan ‘Umar ibn al-Khaṭṭāb RA sebagai salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang digeruni sama ada dari kalangan manusia mahupun jin.

6. Bangsa manusia mempunyai kelebihan ke atas bangsa Jin/Syaitan.

Please follow and like us:
0


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 18.208.159.25

April 2018
M T W T F S S
« Feb   May »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial