Home » ARTIKEL » KELEBIHAN MEMPELAJARI ILMU HADIS NABAWI

KELEBIHAN MEMPELAJARI ILMU HADIS NABAWI

Oleh: Dr. Syed Abdul Majid Ghouri
Terjemahan oleh: Khairul Amin Mohd Zain

Sebelum ini kita telah mengetahui bahawa menyibukkan diri dalam ilmu agama merupakan antara ibadah terbaik yang dapat menghampirkan diri kepada Allah. Justeru, amalan terbaik untuk mencapai kedudukan yang tinggi adalah dengan mendalami ilmu terutama ilmu yang berkaitan dengan hadis nabawi. Sesiapa yang berusaha dalam ilmu ini dan memberikan tumpuan berkhidmat kepada ilmu ini, maka dia akan mencapai kemuliaan yang tinggi, ganjaran yang besar dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sunnah merupakan ilmu yang paling mulia dan paling tinggi kedudukannya selepas al￾Quran al-Karim. Sunnah berfungsi sebagai penerang dan penjelas bagi al-Quran. Rasulullah telah diberi tanggungjawab oleh Allah untuk menjelaskan dan mentafsirkan kitab-Nya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ ۗ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Kami turunkan kepada kamu peringatan supaya kamu menerangkannya
kepada manusia tentang apa yang diturunkan kepada mereka.” (al-Nahl: 44).

Penerangan hadis daripada baginda sollallahu alaihi wa sallam adalah tepat dan bebas daripada kesilapan. Firman Allah Subhanahu wa Taala:

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

“Dia tidak bercakap mengikut hawa nafsu. Sesungguhnya ia merupakan satu wahyu
yang diturunkan-Nya.” (Al-Najm: 4).

Oleh itu, Sunnah Nabawiyyah merupakan salah satu asas agama selepas kitab al-Quran yang merupakan sumber utama bagi syariat Islam. Firman Allah Subhanahu wa Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah, Rasul dan orang yang memegang urusan
kamu. Apabila kamu bertelagah maka kembalilah kepada Allah dan rasul-Nya” (surah Nisa ayat 59).

Umat Islam sangat mengambil berat terhadap periwayatan hadis serta menjaganya kerana ia merupakan sumber hukum yang kedua selepas al-Quran al-Karim. Ia juga merupakan gambaran tentang kepada kehidupan sebenar Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam
daripada hari kelahiran hinggalah kewafatannya. Menjaga hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam umpama menjaga al-Quran dan agama Islam. Oleh itu terdapat banyak hadis yang memperkatakan tentang kelebihan mempelajari, mengajar, menjaga dan mempertahankan hadis.

Antaranya ialah:
1) Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam daripada Zaid bin Thabit rodiyallahu anhu:

“Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sesebuah hadis daripada kami, lalu dia menghafal sehingga dapat menyampaikannya kepada orang lain…”.(Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi di dalam Jami’nya, hadis no: 2656).

Maka, memadailah bagi perawi mendapat kedudukan yang tinggi kerana dia termasuk dalam doa Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam Baginda sollallahu alaihi wa sallam sendiri yang mendoakan semoga perawi berada dalam keadaan yang baik dengan wajahnya berseri-seri. Al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah berkata“Berdasarkan hadis ini, setiap ahli hadis pasti terdapat pada wajahnya cahaya kemuliaan”.( Syaraf Ahl al-Hadith oleh al-Khatib al-Baghdadi hlm: 35).

2) Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam daripada Usama bin Zaid rodiyallahu anhu:

“Ilmu ini akan dibawa oleh golongan yang ‘Udul (dipercayai) sepanjang zaman.
Mereka ini akan membersihkannya daripada sebarang penyelewengan golongan
pelampau, tipu daya golongan batil dan pentafsiran salah yang jahil”.( Sila lihat al-Raud al￾Basim Fi Zab ‘An Sunnah Abi al-Qasim hlm 1/21-23).

Hadis ini dengan jelas telah mengkhususkan kelebihan yang tinggi kepada pendukung Sunnah. Ini merupakan satu kemuliaan yang besar bagi umat Nabi Muhammad sollallahu  alaihi wa sallam Kehebatan dan kemuliaan pendorong sunnah ini adalah jelas di seluruh dunia. Merekalah yang menjadi benteng kepada sumber syariah dan matan-matan riwayat daripada penyelewengan golongan pelampau, tafsiran yang batil dan tipu daya golongan yang jahil dengan cara menukilkan nas-nas yang jelas bagi menolak kesamaran dan keraguan padanya.

3) Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam daripada Thauban rodiyallahu anhu:

“Akan sentiasa wujud sekumpulan dalam kalangan umatku, golongan yang berada di
jalan kebenaran, tidak akan memudaratkan mereka setiap yang menjauhkan diri daripada mereka (dengan tidak membantu dan tidak menyokong), sehinggalah berlakunya kiamat”. (Direkodkan oleh Muslim dalam Sahih no: 1920).

Ulama yang menghuraikan hadis ini berkata yang dimaksudkan dengan “sekumpulan” itu ialah ahli-ahli hadis. Sehinggakan al-Imam Ahmad bin Hanbal menegaskan dengan berkata: “Sekiranya mereka itu bukan ahli hadis, maka saya tidak tahu siapakah lagi mereka itu”. ( Sila lihat: Syaraf Ashab al-Hadith oleh al-Khatib al-Baghdadi, no: 46, 51).

Manakah lagi kumpulan atau kelompok yang lebih berhak untuk menjadi kumpulan yang mendapat kemuliaan sebagai orang yang memelihara agama selain daripada golongan ini? Mereka telah memperihalkan cara kehidupan beragama, menyebarkan sunnah dan membanteras bidaah. Mereka adalah ahli-ahli hadis Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam. Merekalah golongan yang memeliharanya. Mereka jugalah yang lebih mengetahui tentang Sunnah dan begitu kuat mencontohi segala yang baik daripada Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam. Malah, mereka mencontohi segala teladan yang baik daripada para sahabat baginda sollallahu alaihi wa sallam Mereka ini merupakan ‘bayangan’ bagi Rasulullah!! Jika tidak kerana mereka, nescaya tidak akan ada ahli fakih, mufasir, ulama mahu pun orang yang soleh! Bahkan jika tidak kerana mereka, nescaya tidak akan ada muslimin yang mengesakan Allah Subhanahu wa Taala!.

4) Daripada Abdullah bin Mas’ud radiyallahu anhu, Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa
sallam bersabda: 

“Sesungguhnya manusia yang paling layak terhadap aku pada hari kiamat kelak adalah
orang yang paling banyak berselawat kepadaku”. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi di
dalam Jami’nya ).

Ulama menyatakan bahawa manusia yang paling bahagia apabila mendengar hadis ini
adalah ahli-ahli hadis.

Ibn Hibban (W354H) berkata setelah mentakhrijkan hadis ini dalam kitab Sahihnya:

“Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa manusia yang paling utama untuk mendapat layanan daripada Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam pada Hari Kiamat kelak adalah ahli-ahli hadis kerana tidak ada dalam kalangan umat ini, golongan yang lebih banyak berselawat kepada Nabi sollallahu alaihi wa sallam daripada mereka”.( Al-Ihsan Bi Tartib Sahih Ibn Hibban: Ibn Balban, 3/1920.).

Menurut Abu Nu’aim al-Asbahani (W430H): “Ini adalah satu kurniaan yang sangat mulia
yang telah dikhususkan kepada para perawi athar. Tidak diketahui dalam kalangan ulama, golongan mana yang lebih banyak berselawat daripada mereka sama ada dalam bentuk penulisan mahupun sebutan”.( Syaraf Ashab al-Hadith oleh al-Khatib al-Baghdadi, hlm: 35).

Kesemua hadis yang telah disebutkan sebelum ini menunjukkan secara jelas mengenai kemuliaan, ketinggian yang dikurniakan kepada pelajar yang menggunakan masanya untuk mendalami khazanah ilmu hadis sama ada dengan mempelajari, mengkaji atau menulisnya.

Betapa tinggi kedudukan mereka sehinggakan dikatakan bahawa mereka merupakan orang yang paling berseri-seri wajahnya, paling tinggi kedudukan dan yang paling bahagia. Segala nikmat ini diperoleh dengan berkat mereka mempelajari serta menyibukkan diri dalam bidang ini. Oleh itu, Imam Nawawi (W767H) berpandangan bahawa ilmu ini merupakan ilmu yang paling agung dan paling dituntut untuk dicari.

Mempelajarinya dikira antara ketaatan yang tertinggi dan ibadat yang paling mulia. Manakala Ibn Athir al-Jazari (W606H) berpendapat bahawa mempelajari ilmu ini dikira fardu kifayah.

Cerita-cerita mengenai kegigihan para salafussoleh terdahulu dalam mencari ilmu hadis telah menjadi buah mulut yang menimbulkan perasaan kagum terhadap usaha mereka. Mereka telah membelanjakan segala yang mereka miliki, bersengkang mata berjaga malam dan menjadikan usaha mencari ilmu ini sebagai darah daging mereka sehingga ke liang lahad.

Beberapa kata-kata mereka telah direkodkan seperti berikut:

Ibn Mubarak apabila ditanya bilakah beliau akan berhenti daripada menulis hadis?

Beliau menjawab: “Sehingga suatu perkataan yang saya perolehi manfaat daripadanya saya tidak dapat mendengarinya lagi (meninggal dunia). (Syaraf Ashāb al-Hadīth, al-Khatib al-Baghdadi hlm: 68).

Apabila beliau ditanya bilakah beliau akan berhenti mencari ilmu hadis?

Jawab beliau: “Saya rasa saya tidak akan meninggalkannya sehinggalah saya mati”.(Taqdimat-Jarh wa Ta’dil, Ibn Abi Hatim al-Razi.).

Begitu juga apabila Imam Ahmad rahimahullah. (W241H) ditanya sampai bilakah seseorang itu akan menulis hadis? Beliau menjawab: “Sampai mati”. ( Syaraf Ashāb al-Hadīth, al-Khatib al-Baghdadi hlm: 68).

Begitulah perhatian mereka terhadap ilmu hadis Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa
sallam. Mereka telah menghambakan diri untuk mencari ilmu dan telah menjadikan tujuan hidup mereka. Kecintaan yang mendalam terhadap perkara ini tidak dapat ditandingi dalam lipatan sejarah peradaban manusia.

(Dari buku: “Metodologi Terbaik Mempelajari Ilmu Hadis”, oleh: Syed Abdul Majid Ghouri, , Institut Kajian Hadis, Selangor, Edisi pertama 2014, hlm: 19, 25)

Please follow and like us:
0

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.233.226.151

December 2017
M T W T F S S
« Nov   Feb »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial