Home » ISU SEMASA » 2017 » DISEMBER » “BERHENTI KATAKAN TUDUNG KEPALA PERINTAH TUHAN…”

“BERHENTI KATAKAN TUDUNG KEPALA PERINTAH TUHAN…”

Petikan di atas berasal daripada salah seorang aktivis NGO. Beliau seterusnya membawakan dalil surah al-Nur ayat 30 dan 31 yang mengatakan bahawa di dalam ayat tersebut tidak ada ayat yang menyuruh supaya menutup kepala. Menurutnya, yang ada hanyalah suruhan supaya menutup kemaluan.

Saudari, pada hakikatnya anda telah pun membawakan ayat yang jelas di dalamnya suruhan supaya menutup aurat dengan memakai tudung, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nur ayat 31:

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآئِهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآئِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوۡ نِسَآئِهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِي ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٰتِ ٱلنِّسَآءِۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٣١

Maksudnya:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Para ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, Sayyid Qutub dan al-Maraghi menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘khimar’ di dalam ayat di atas adalah tudung yang menutup kepala dan Allah SWT memerintahkan supaya ia dilabuhkan hingga menutupi dada. Jadi di manakah kamu kata bahawa tiada perintah Tuhan di situ?

Kecelaruan juga jelas apabila saudari mengatakan aurat hanyalah kemaluan sahaja di mana saudari mengatakan ayat 31 surah al-Nur hanya menyatakan untuk memelihara kehormatan (faraj). Ibnu Kathir, Sayyid Qutb dan al-Maraghi menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan menjaga kemaluan (faraj) adalah dengan menutupnya, menjaga kehormatannya dan tidak menggunakannya untuk perkara yang haram seperti zina.

Jelas dari kenyataan saudari untuk sengaja menidakkan suruhan Allah SWT, sedangkan suruhan Allah SWT jelas di dalam surah al-Nur ayat 31 supaya menutup keseluruhan tubuh termasuklah kepala dan melabuhkan tudung hingga ke dada.

Ya benar. Kemaluan adalah aurat. Akan tetapi, ayat tersebut BUKANLAH menyatakan hanya kemaluan sahaja yang perlu ditutup kerana selepas suruhan menjaga kemaluan, Allah SWT memerintahkan agar menutup seluruh badan kecuali yang zahir dan yang boleh dilihat iaitu muka dan pergelangan tangan dan seterusnya menutup kepala dan melabuhkan tudung hingga ke dada. Ianya dinyatakan secara jelas di dalam ayat tersebut. Ini bemakna aurat wanita adalah seluruh badan melainkan muka dan pergelangan tangan. Inilah tafsiran ulama, antaranya Ibnu Kathir, Sayyid Qutb, As-Sa’adi dan al-Maraghi.

Sungguh tidak masuk akal juga apabila saudari mengatakan bahawa memakai tudung akan meningkatkan perbelanjaan kerana tudung berharga beribu-ribu dan perlu kerap membeli syampu kerana pemakaian tudung akan menyebabkan rambut berbau. Sungguh tidak logik apabila saudari mengatakan bahawa dengan memakai tudung akan menyekat pendengaran dan perlu berfikir untuk sepadankan tudung dengan baju yang dipakai.

Aduh… di manakah kewarasan anda wahai saudari? Perkara-perkara begini tidak pula terdengar dari mereka yang memakai tudung. Kenapa perlu dicari tudung yang berharga ribuan sedangkan banyak lagi tudung hanya berharga puluhan ringgit sahaja?. Berapa ramai yang memakai tudung akan tetapi tidak pula mereka mengatakan tudung menyekat pendengaran mereka dan tidak ada siapa yang menyuruh untuk sentiasa memadankan tudung dengan setiap baju yang dipakai. Itu adalah pilihan masing-masing.

Pada hakikatnya, saudari membawa pemikiran liberal berkaitan aurat. Saudari memahami ayat al-Quran Surah al-Nur ayat 31 dengan hanya menurut pandangan akal semata-mata. Saudari telah menolak tafsiran para ulama. Itulah asas pemikiran liberal. Kebebasan dan logik akal. Pemahaman sebegini menolak kaedah dan metodologi keilmuan Islam, di mana tafsiran pada mana-mana ayat al-Quran dan hadis hendaklah mengikut disiplin dan kaedah Tafsir, Uslub Tafsir, sabab nuzul ayat, syarah hadis, sabab wurud hadis, dll.

Inilah yang dinamakan sebagai golongan Islam Liberal. Golongan ini tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula Al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum feqah. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulama, termasuk tafsiran daripada Rasulullah SAW, Sahabat RA, Tabiin serta ulama mujtahid. Bagi mereka agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara putus (qatcie). Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Saudari, setiap wanita cenderung untuk menjadi cantik dan dilihat cantik. Allah SWT tidak menghalang kehendak fitrah ini, akan tetapi Allah menyusun agar ianya selari dengan nilai-nilai kemanusiaan dan bukan kehaiwanan. Di sini Allah SWT meletakkan maksud kecantikan yang sebenar adalah mereka yang menutup aurat mereka dengan sempurna. Allah SWT menjadikan kecantikan hanya boleh dilihat oleh orang-orang yang tertentu sahaja seperti suami, ayah, adik beradik dan bapa-bapa saudara. Penjagaan aurat adalah penjagaan diri dari terdedah kepada gangguan mereka yang berniat jahat seterusnya memelihara kemakmuran dalam sesebuah masyarakat. Hakikatnya, perintah untuk memakai tudung dan menutup aurat adalah satu bentuk penghormatan Islam kepada wanita. Ia adalah satu bentuk pemeliharaan dan wanita akan lebih dihormati. Wanita yang hatinya dilimpahi dengan cahaya Allah SWT akan menerima suruhanNya ini dengan penuh ketaatan dan ketundukan.

Wallahu A’lam bi al-Sawab,

SURIANI BINTI SUDI @ YUSOFF
Felo Penyelidik Muda
Institut Kajian Hadis (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra,
6 Disember 2017/17 Rabiulawal 1439 H.

Please follow and like us:
0

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.233.226.151

December 2017
M T W T F S S
« Nov   Feb »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial