Home » ISU SEMASA » 2017 » DISEMBER » SELAGI MASIH ADA NYAWA… BERSOLATLAH

SELAGI MASIH ADA NYAWA… BERSOLATLAH

Ibadah solat tidak dapat ditandingi oleh ibadah-ibadah lain. Setiap agama yang Allah SWT turunkan kepada semua Rasul utusan tidak terlepas daripada syariat solat. Solat adalah penghubung antara setiap hamba dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda tentang solat:

وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ الصَّلَاةَ يَوْمًا فَقَالَ : ” مَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا ، كَانَتْ لَهُ نُورًا وَبُرْهَانًا وَنَجَاةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، وَمَنْ لَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا لَمْ تَكُنْ لَهُ نُورًا وَلَا بُرْهَانًا وَلَا نَجَاةً ، وَإِنَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ قَارُونَ وَفِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَأُبَيِّ بْنِ خَلَفٍ

“Sesiapa yang menjaga solatnya maka dia akan memiliki cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat kelak. Sedangkan yang tidak menjaganya maka tidak akan memiliki cahaya, bukti dan keselamatan pada hari itu. Pada hari itu ia akan dikumpulkan bersama Fir’aun, Qarun, Haman, dan Ubay bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad, al-Darimi dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih. Syeikh Shu’aib Al-Arnauth mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan).

Sebahagian ulama berpandangan, “Bahawa orang yang meninggalkan solat dikumpulkan bersama Fir’aun, Qarun, Haman, dan Ubay bin Khalaf kerana dia telah menyibukkan diri dengan harta, kekuasaan, pangkat dan kedudukan, dan perniagaannya dari solat. Jika dia disibukkan dengan kekuasaannya dia akan dikumpulkan dengan Fir’aun. Jika dia disibukkan dengan pangkat dan kedudukannya dia akan dikumpulkan dengan Haman. Dan jika dia disibukkan dengan perniagaannya akan dikumpulkan bersama Ubay Bin Khalaf, seorang yang kafir di Mekah pada masa itu.”

Dewasa ini apa yang menyedihkan ibadah solat seolah-olahnya dipandang remeh oleh sebahagian umat Islam. Mereka merasakan bahawa ibadah solat lima waktu sangat membebankan. Mereka sibuk mengejar harta duniawi tanpa memaknai jasad dan ruh yang telah dipinjamkan sementara oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Munafiqun ayat 9:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَٰلُكُمۡ وَلَآ أَوۡلَٰدُكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Para ulama tafsir menjelaskan, “Maksud `mengingat Allah’ dalam ayat ini adalah solat lima waktu. Sesiapa yang disibukkan oleh harta perniagaannya, kehidupan dunianya, sawah ladangnya, dan anak-anaknya dari mengerjakan sembahyang dalam waktunya, maka dia termasuk orang-orang yang rugi.”

Tidakkah pernah terfikir bahawa akan tiba satu saat, setiap diri akan merasai mati “pemusnah” segala kenikmatan yang sementara. Ingatlah, saat mata terus pejam gelap buat selamanya, ketika itulah solat menjadi penyelamat diri daripada diazab di alam kubur dan pada hari akhirat kelak.

Mencintai solat, bersegera mengerjakannya dengan sebaik-baiknya merupakan bukti dan tanda cinta dan rindu seseorang kepada Allah SWT. Solat adalah tanda syukur dan terima kasih seorang hamba atas nikmat-nikmat yang dikurniakan. Sikap meninggalkan solat dengan sengaja merasa berat dalam mengerjakannya, menangguh-nanguh merupakan tanda kekosongan hati dari rasa cinta kepada Allah SWT. Tidak takutkah setiap diri andai tergolong dalam kalangan mereka yang diceritakan oleh Allah dalam surah Maryam ayat 59 yang bermaksud:

۞فَخَلَفَ مِنۢ بَعۡدِهِمۡ خَلۡفٌ أَضَاعُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُواْ ٱلشَّهَوَٰتِۖ فَسَوۡفَ يَلۡقَوۡنَ غَيًّا ٥٩

Maksudnya:

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam Neraka),

Solat adalah ibadah yang wajib dikerjakan pada waktunya dengan penuh sabar. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 132:

وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡهَاۖ لَا نَسۡ‍َٔلُكَ رِزۡقٗاۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَۗ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ ١٣٢

Maksudnya:

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ يَحْيَى بْنِ يَعْمَرَ عَنْ رَجُلٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَلَاتُهُ فَإِنْ كَانَ أَتَمَّهَا كُتِبَتْ لَهُ تَامَّةً وَإِنْ لَمْ يَكُنْ أَتَمَّهَا قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَتُكْمِلُونَ بِهَا فَرِيضَتَهُ ثُمَّ الزَّكَاةُ كَذَلِكَ ثُمَّ تُؤْخَذُ الْأَعْمَالُ عَلَى حِسَابِ ذَلِكَ

“Sesungguhnya amal hamba yang pertama kali akan dihisab pada hari kiamat adalah solatnya. Apabila solatnya baik, dia akan mendapatkan keberuntungan dan keselamatan. Apabila solatnya rosak, dia akan menyesal dan merugi. Jika ada yang kurang dari solat wajibnya, Allah SWT mengatakan, ’Lihatlah apakah pada hamba tersebut memiliki amalan solat sunnah?’ Maka solat sunnah tersebut akan menyempurnakan solat wajibnya yang kurang. Begitu juga amalan lainnya seperti itu.” (Ahmad, Nombor Hadis 16501).

Para Ulama berbeza pandangan berkenaan dengan hukum orang yang meninggalkan solat. Imam Malik, Syafi’i dan Ahmad berpendapat hukum orang yang meninggalkan solat adalah dipancung dengan pedang. Seterusnya mereka berbeza pendapat tentang adakah dia kafir jika dia meninggalkannya tanpa uzur sehingga habis waktunya. Ibrahim an-Nakha’iy, Ayyub as-Sikhtiyaniy, Abdullah bin Mubarak, Ahmad Bin Hanbal, dan Ishaq bin Rahuyah menyatakan bahawa dia kafir. Mereka berhujjah dengan sabda Nabi SAW:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْعَهْدَ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

“Beza antara kita dengan mereka adalah solat. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah kafir. (al-Nasa’i, kitab al-Salat, bab al-hukm fi Tarik al-salat, no. hadis 463).

Ingatlah juga penegasan Allah SWT dalam surah al-Muddathir ayat 42 hingga 48 berikut:

مَا سَلَكَكُمۡ فِي سَقَرَ ٤٢ قَالُواْ لَمۡ نَكُ مِنَ ٱلۡمُصَلِّينَ ٤٣ وَلَمۡ نَكُ نُطۡعِمُ ٱلۡمِسۡكِينَ ٤٤ وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلۡخَآئِضِينَ ٤٥ وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤٦ حَتَّىٰٓ أَتَىٰنَا ٱلۡيَقِينُ ٤٧ فَمَا تَنفَعُهُمۡ شَفَٰعَةُ ٱلشَّٰفِعِينَ ٤٨

Maksudnya:

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan. Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.

Dalam isu berkaitan pemandu yang tidak berhenti atau dalam erti kata lain melarang penumpang untung melaksanakan solat, maka pengusaha bas perlu merangka dan mengimplimentasikan semua peraturan serta prosedur bagi menjaga kebajikan penumpang yang beragama Islam. Tanggungjawab dan kewajipan umat Islam terhadap tuntutan agamanya amat perlu bagi memastikan perjalanan mendapat barakah dan terselamat daripada malapetaka yang tidak diketahui. Sikap ingat mengingati akan kepentingan solat dan budaya tegur menegur perlu disemarakkan sesama pemandu dan para penumpang muslim bagi menjamin semaian hubungan yang baik sesama mereka.

Pendek kata, siapapun diri kita sama ada yang bekerja di sektor awam atau swasta, berkhidmat di udara, daratan dan lautan semuanya tidak terkecuali dari melaksanakan ibadah solat. Meskipun sibuk dengan tuntutan duniawi ia masih tidak dapat menggugurkan kewajipan solat pada waktunya. Umar bin Khattab RA berkata, “Sesungguhnya tidak ada tempat dalam Islam bagi sesiapa sahaja yang mensia-siakan solat.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih). Bagi majikan yang melarang para pekerjanya untuk melaksanakan solat, Ingatlah! Kalian bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan. Sesungguhnya solat sama sekali tidak akan membuat rezeki terhalang, bahkan solat adalah bukti ketakwaan yang dapat menghadirkan kasih sayang Allah SWT kepada setiap hamba yang melaksanakannya. Allah SWT akan memberi rezeki tanpa disangka.

Justeru, tidak terdetikkah persoalan di hati bagaimana diri ingin bertemu Allah SWT. Bagaimana diri akan ingin mengecap redha Allah SWT sedangkan diri hanya memandang acuh tidak acuh terhadap perintah solat? Istiqamahlah dalam segala sesuatu, dan janganlah menghitung amalan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan adalah solat.

Saat diri disentak, saat pintu hati di ketuk untuk menginsafi kejadian diri, Bangunlah!! Sedarlah akan kealpaan diri. Ingatlah!! Allah SWT letak satu panggilan untuk diri, mengajar untuk kembali mengingati Dia, Allah Yang Maha Kuasa. Sambutlah seruan Allah SWT itu dan tunaikanlah solat selama hayat di kandung badan.

Wallahu A’lam bi al-Sawab,

MOHD NORZI BIN NASIR
Felo Penyelidik Muda
Institut Kajian Hadis (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra,
4 Disember 2017/15 Rabiulawal 1439 H.

Please follow and like us:
0

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.233.226.151

December 2017
M T W T F S S
« Nov   Feb »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial