Home » ISU SEMASA » 2017 » NOVEMBER » PERTIKAIAN TERHADAP SIFAT MAKSUM NABI MUHAMMAD SAW SERTA KESEMPURNAAN BAGINDA

PERTIKAIAN TERHADAP SIFAT MAKSUM NABI MUHAMMAD SAW SERTA KESEMPURNAAN BAGINDA

Semenjak kebelakangan ini sudah semakin agresif bibit-bibit penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang kononnya dilakukan secara berfakta dan ilmiah. Isu yang paling lantang dipertikaikan antara tentang maksum dan kesempurnaan sifat Baginda sebagai Nabi akhir zaman.

Perkara utama yang perlu dinyatakan di sini bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi pilihan yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing umat-Nya. Satu-satunya insan yang menerima wahyu dari Allah SWT dan bertugas untuk menyampaikannya kepada umat akhir zaman. Kedudukan Baginda yang mulia ini mesti difahami secara tuntas. Allah SWT berfirman:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا ٦٥

Maksudnya:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(al-Nisa’ 4 : 65)

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

Maksudnya:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(al-Ahzab 33 : 36)

Maka, mempertikaikan Baginda secara wewenang adalah satu kesilapan yang nyata! Kesilapan yang akan membawa kepada kesilapan yang kedua dan ketiga dan seterusnya. Pertikaian-pertikaian yang timbul terhadap Baginda sejak sekian lama adalah kerana kesilapan untuk memahami siapa Baginda yang sebenarnya.

Penulisan ini akan memfokuskan kepada dua bentuk pertikaian berkaitan sifat Baginda yang maksum iaitu :

Pertama : Pertikaian dan penafian terhadap maksum Baginda secara total

Nabi Muhammad SAW bersifat maksum dan ia meliputi setiap tingkah-laku Baginda dalam melalukan tugas dakwah yang ditaklifkan terhadap dirinya. Ini dinyatakan Allah SWT dalam firman-Nya:

سَنُقۡرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰٓ ٦

Maksudnya:

Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa.
(Surah al-‘A’la; 87:6)

مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمۡ وَمَا غَوَىٰ ٢

Maksudnya:

Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar) dan dia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).
(Surah an-Najm; 53:2)

Merujuk ayat al-Quran diatas, jelas bahawa Allah SWT telah menjamin dan memelihara Nabi Muhammad SAW dari penyakit lupa dan tersilap dalam misi Baginda menyampaikan risalah Islam kepada manusia dan kaumnya. Mempertikaikan maksum Baginda bererti mempertikaikan ayat-ayat di atas serta banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang lain.

Kedua : Menerima sifat maksum tetapi menafikan kesempurnaan Baginda sebagai seorang Nabi.

Dakwaan ini adalah kerana kegagalan untuk memahami beberapa tindakan Baginda seperti mensolatkan jenazah Abdullah bin Ubay bin Salul, toleransi Baginda terhadap golongan yang tidak melibatkan diri dengan perang Tabuk, kisah tawanan perang Badar serta beberapa peristiwa lain yang mendapat teguran dari Allah Taala di dalam al-Quran.

Hakikatnya, maksum tidak menjadikan Baginda “malaikat suci”. Sebaliknya Baginda masih lagi mempunyai sifat sebagaimana manusia biasa dalam urusan keduniaan dan perkara selain dari tugas menyampaikan wahyu. Logiknya, adakah Allah SWT menghantar seorang Rasul sebagai petunjuk kepada manusia tetapi bersifat seperti seorang malaikat?

Maksum adalah anugerah yang tertulis di dalam al-Quran. Teguran daripada Allah SWT terhadap beberapa keputusan Baginda juga termaktub di dalam al-Quran dan ianya sudah pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Tindakan yang kelihatan seperti “kesilapan” ini sebenarnya mesti difahami dari tiga aspek yang penting :

Pertama, ia lebih berbentuk ijtihad Baginda terhadap sesuatu isu, terutama yang tidak mempunyai petunjuk dari nas al-Quran. Satu ijtihad yang tidak dilakukan secara wewenang kerana ia mengambil kira pendapat para sahabat terdekat.

Kedua, ia bukanlah satu kesilapan, malah merupakan salah satu langkah ke arah pembinaan hukum dan kerangka contoh ijtihad. Sesuatu yang akan menjadi panduan kepada umat Islam selepas ini dalam menyelesaikan banyak isu yang berbangkit.

Ketiga: sekiranya ia kelihatan seperti satu kesilapan, Baginda sama sekali tidak berdosa sebagaimana manusia biasa kerana ia terus sahaja mendapat teguran dan pembetulan dari Allah SWT.
Apa yang berlaku ini, sama sekali tidak merosakkan maksum Baginda, malah tidak juga merosakkan kesempurnaan Baginda sebagai seorang Nabi. Nabi adalah maksum dan sempurna sifatnya dengan tafsiran Baginda adalah manusia, bukan malaikat.

Perlu difahami dengan jelas bahawa tindakan Baginda itu adalah yang terarah dan sememangnya telah ditentukan oleh Allah SWT untuk kemaslahatan umat Islam. Ia amat berbeza sekali dengan “kesilapan” yang direka dan dicipta serta dimanipulasikan oleh si pendakwa untuk menggambarkan ketidaksempurnaan Baginda. Paling malang apabila dakwaan itu tidak berasas, tidak menggunakan kaedah yang betul, mengikut hawa nafsu, berlandaskan akal dan logik dan emosi semata.

Semakin memburukkan keadaan, apabila ketidaksempurnaan itu dikaitan dengan isu wanita yang sensitif dan berbaur emosi seperti poligami, penceraian, hubungan suami isteri dan seumpamanya. Sememangnya ia isu yang panas, tetapi kaum wanita perlu bijak membezakan antara ketidakpuasan tentang isu-isu tersebut dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Tidak puas hati terhadap poligami, jangan sesekali dijadikan senjata untuk menyerang Baginda. Geram dengan masalah penceraian, jangan jadikan Baginda sebagai kambing hitam. Mempertahankan hak wanita dalam hubungan suami isteri, jangan pula Baginda dijadikan contoh paling buruk?! Ini adalah kesilapan yang paling besar dalam penghinaan terhadap Baginda Rasul yang mulia. Jangan sesekali dilupakan bahawa Baginda bukan seperti manusia lain, Baginda adalah manusia yang paling mulia, pilihan Allah SWT. Jangan sesekali lupa tentang itu.

Jangan dilupa juga, senjata dan hujah yang digunakan untuk menyerang Baginda dalam isu-isu seperti ini. Sekiranya menggunakan hujah hadis, maka ia mesti menggunakan disiplin dan kaedah dalam pengajian hadis, bukan menggunakan logik dan akal semata-mata. Jika tidak, ia hanyalah semata-mata dakwaan yang mempunyai niat yang buruk dan busuk terhadap Baginda. Orang yang mendakwa juga mesti mempunyai ilmu dan kepakaran tentang hadis, jika tidak ia hanyalah satu dakwaan yang kotor dan keji terhadap Baginda.

Mengambil kira itu semua, dapat disimpulkan bahawa Baginda Rasul adalah insan terpilih yang maksum serta sempurna sifatnya dengan takrifan Baginda sebagai manusia. Kesimpulan ini dibuat dengan menolak semua dakwaan yang tidak menggunakan kaedah yang betul serta berlandaskan emosi dan akal yang tidak munasabah.

Wallahu A’lam bi al-Sawab,

Rosni binti Wazir
Felo Penyelidik Muda
Institut Kajian Hadis (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra,
30 November 2017/11 Rabiulawal 1439 H.

Please follow and like us:
0

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.233.226.151

November 2017
M T W T F S S
    Dec »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial