Home » ISU SEMASA » 2017 » NOVEMBER » WANITA, AURAT DAN KERJAYA: ANTARA HUKUM AGAMA DAN TUNTUTAN KERJA

WANITA, AURAT DAN KERJAYA: ANTARA HUKUM AGAMA DAN TUNTUTAN KERJA

Polisi larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja perlu diteliti bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat. Isu tersebut tidak sepatutnya timbul memandangkan Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam agama rasmi selain memperuntukkan kebebasan untuk rakyat negara ini mengamalkan agama masing-masing. Malahan perkara itu juga tidak adil bagi golongan wanita muda yang kebanyakannya bertudung, dan sedang mencari pekerjaan. Justeru penilaian baik ataupun tidaknya sesuatu perkara perlu merujuk kepada hukum syarak dan bukan menurut perspektif manusia yang kerdil.

 

Menutup aurat bagi seorang Muslimah di hadapan golongan yang bukan mahramnya adalah suatu kewajipan yang tidak boleh disamarkan dengan apa jua pandangan logik pro liberal. Dalam hal ini wahyu yang bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah mesti berada di atas seluruh hukum buatan dan polisi manusia. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 59:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٥٩

 

Maksudnya:

 

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Dalam ayat lainnya, surah Al-Nur ayat 31 juga dinyatakan:

 

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآئِهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآئِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوۡ نِسَآئِهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِي ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٰتِ ٱلنِّسَآءِۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ  ٣١

 

Maksudnya:

 

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

 

Begitu juga sabda Rasulullah SAW yang memperingatkan kaum wanita muslimah untuk menutup aurat dengan sempurna:

 

حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ سُهَيْلٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا (Muslim, No. 2128) وَكَذَا

 

Maksudnya:

 

Telah menceritakan kepadaku [Zuhayr ibn Ḥarb], telah menceritakan kepada kami [Jarīr], daripada [Yaḥyā], daripada ayahnya, daripada [Abū Hurairah] berkata, bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; Kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mendorong orang lain dekat kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh.”

 

Dengan begitu, mana-mana pihak yang menentang wanita bertudung bekerja perlu menyedari bahawa tidak ada salahnya wanita Islam menutup aurat daripada bekerja di mana-mana jua seksyen dan bahagian.

Selain itu, tidak didapati mana-mana kajian untuk dijadikan sokongan yang menunjukkan bahawa wanita ini mengoyak maruah, menepikan fitrah, dan melanggar etika pemakaian di tempat kerja sekiranya menanggalkan tudungnya. Tambahan pula wanita bertudung akan dilihat lebih manis, bersopan, beradab dan menjaga tingkah laku. Dengan demikian maruah diri mereka terjaga sehingga mampu menjaga imej dan nama baik syarikat di mana mereka bekerja. Dari Ka’ab ibn Iyad RA, Rasulullah SAW bersabda:

 

عَنْ كَعْبِ بْنِ عِيَاضٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ لِكُلِّ أُمَّةٍ فِتْنَةً وَفِتْنَةُ أُمَّتِي الْمَالُ .

[al-Tirmidhi, No. Hadis 2336].

 

Maksudnya:

 

Setiap umat memiliki ujian. Dan ujian terbesar bagi umatku adalah harta.

 

 

 

Memahami hadis ini, mungkin akan mengingatkan kita tentang keadaan terkini sebahagian umat Islam yang agak kritikal, terutama mereka yang menghadapi dilema antara kehidupan duniawi dengan hukum agama. Malahan tidak sedikit daripada mereka yang kecundang dan sanggup menjual harga diri demi kerjaya dan jawatan. Jelas di sini bahawa Islam mengangkat darjat dan martabat wanita setingginya agar kedudukan mereka dihormati masyarakat. Wanita Islam telah membuktikan bahawa peranan mereka dengan berimej menutup aurat juga mampu menjulang nama syarikat mereka.

Walau bagaimanapun, fenomena ini dapat memberi kesedaran bagi majoriti Muslimin di Negara ini bahawa semakin kuat gelombang tekanan yang menala ke wajah mereka justeru makin menguatkan tali persaudaraan di antara mereka. Hal sebegini tidak disedari oleh musuh-musuh Islam, sebenarnya mereka hanyalah mengikuti persangkaan yang dianggap menguntungkan, padahal sebenarnya merugikan mereka sendiri. Seperti dalam kes ini, ketika mereka makin menekan kaum Muslimah, justeru semakin menguatkan kaum Muslimah yang bertudung untuk memperjuangkan haknya yang ditepikan. Sehingga citra buruk pihak atasan yang mempersoalkan penggunaan tudung semasa bekerja telah mencelikkan pandangan khalayak ramai, dan akan terus mendapat penentangan daripada usaha keji mereka. Allah SWT berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 54:

 

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ ٱللَّهُۖ وَٱللَّهُ خَيۡرُ ٱلۡمَٰكِرِينَ ٥٤

 

Maksudnya:

 

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa) dan Allah pula membalas tipu daya (mereka) dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

 

Hal ini membuktikan bahawa orang-orang kafir ataupun munafik di dunia ini telah bersusah payah dalam menghalang Islam, namun tidak membuahkan hasil, hanya menambah sakit hati mereka; sedangkan kelak di akhirat hanya seksa yang perih di dalam neraka lah tempat mereka dengan api yang menyala-nyala selama-lamanya. Na‘udhu billah min dhalik. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 10:

 

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضٗاۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ ١٠

 

Maksudnya:

 

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

 

Ringkasnya, yang perlu menjadi keutamaan adalah pada integriti dan kualiti kerja, bukan pada penampilan semata-mata. Apa yang diharapkan isu picisan seperti ini tidak perlu ditimbulkan lagi di masa hadapan. Semua pihak perlu menjaga sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Isu-isu yang mengundang kemarahan penganut agama atau bangsa lain perlu dielakkan agar masyarakat mampu hidup secara aman makmur dan sejahtera.

 

Wallahu A’lam bi al-Sawab,

 

Dr. Abur Hamdi Usman

Ketua Unit Hadis

Institut Kajian Hadis (INHAD)

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra,

13 November 2017/24 Safar 1439 H.

Please follow and like us:
0

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Visitor counter

Visits since 2014

Your IP: 3.233.226.151

November 2017
M T W T F S S
    Dec »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial